Musuh Dalam Selimut
Dari hikayat yang diturunkan oleh Tok Merah kepada anaknya dan kepada anak kepada anaknya, di masa lampau ketika orang masih berperang dengan pedang ada satu negeri yang aman damai sentosa bernama Negeri Aman Damai Sentosa atau nama singkatnya Adasa.
Raja Adasa iaitu Raja Azrin Shah adalah seorang raja yang adil dan saksama. Akan tetapi memanda menteri dan penasihat peribadinya Tambi bin Chik yang berasal dari tanah India merupakan seorang kaki pembelit sama seperti bila dia bercakap. Berbelit sampai susah nak faham.
Akan tetapi Tambi bukanlah bercita-cita untuk menjatuhkan rajanya seperti ramai rakyat Adasa gossipkan. Sesungguhnya Tambi amat terhutang budi dengan Raja Azrin setelah Raja Azrin menyelamatkan nyawanya dari mati lemas dua puluh tahun yang lalu. Memang sungai itu cetek airnya tapi kalau Raja Azrin tidak menjerit dari tebing sungai menyuruh Tambi berdiri sudah tentu Tambi masih terkapai-kapai cuba berenang ke tepi kerana sebetulnya Tambi tak tahu berenang.
Jesteru itu, Tambi sentiasa mengambil mengambil berat tentang rajanya dan negeri Adasa. Tiada sebarang peristiwa yang berlaku di Adasa yang tidak diketahui oleh Tambi. Semuanya diambil kira agar keselamatan Raja Azrin terjamin.
Pernah sekali seorang pembunuh upahan maut. Seorang deadly assassin cuba meracun Raja Azrin tetapi dapat dikesan oleh Tambi apabila bau kopi yang dihidangkan seperti bau air serbat. Assassin itu ditangkap dan sejak hari itu Raja Azrin memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Tambi. Dan sejak hari itu juga Tambi menjadi lebih paranoid.
Suatu hari satu rombongan dari negeri Nun di Sana yang terletak beratus batu notika dari Adasa datang membuat lawatan rasmi ke Adasa. Rombongan empat orang yang diketuai oleh Raden Indera bertujuan untuk membuka laluan perdagangan dengan negeri Adasa.
Sesampai saja Raden di balai rong, Tambi terus mengajaknya berborak sambil pekena kopi O dan biskut marrie.
"Aman sungguh hari ini ya, Raden. Burung berkicauan, angin menderu perlahan, anak ayam berlari-lari, anak itik berenang-renang," kata Tambi bersahaja sambil mencicah biskut.
"Err…ya," setuju Raden walaupun dia tak faham langsung apa tujuan Tambi berkata demikian.
"Anak ayam dan itik tu bila sudah besar elok di bawa ke Nun di Sana," sampuk rakan Raden, Wak Sirat, yang sedang menggulung rokok daunnya. "Atau kami boleh datang sendiri ambil di sini nanti. Tapi bukan setakat ayam itik sahajalah," Wak Sirat ketawa berdekah-dekah dengan lawak bodohnya.
Hati Tambi tersentak. Mukanya berkerut cuba mencari makna sebenar kata-kata Wak Sirat.
"Kenapa Memanda?" tanya Raden. "Ada yang tak kena?"
Tambi lantas bangun. Raden dan rakan-rakannya turut bangun bersama.
"Petang semalam ada seorang saudagar menjual permaidani kepada Raja kemudian saudagar itu belayar pulang ke negerinya," ujar Tambi. "Sebelum itu saudagar itu sudah membawa kapalnya ke seberang dunia dan berdagang di sana hampir sepuluh purnama. Kononnya saudagar itu orang kenamaan di negerinya. Orang sebarangan juga."
Mereka berlima diam seketika selepas itu.
"Kenapa kita berdiri?" soal Wak Sirat.
"Hamba mahu pergi melihat permaidani yang baru dibeli," jawap Tambi yang hairan kenapa mereka tidak faham selepas dia memberikan penjelasan.
"Ohh," sahut Raden dan rakan-rakannya.
Tambi meninggalkan mereka berempat selepas itu dan terus mencari Raja Azrin di bilik tidur diraja kerana Raja Azrin suka benar tidur selepas santapan tengahari.
"Ahem, Tuanku," panggil Tambi selepas menjengok masuk melihat Raj Azrin terlentang di atas kusyen.
"Ada apa memanda?" tanya Raja Azrin dengan selebah matanya dibuka.
"Ada perkhabaran buruk tuanku," jawab Tambi.
Raja Azrin terus bangun.
"Rombongan dari Nun di Sana mahu kita menghantar bunga emas kepada negeri mereka atau mereka akan datang melanyak negeri kita, tuanku," jelas Tambi.
"Apa? Tak patut betul. Apa yang kita telah lakukan sehingga mereka berhajat demikian?" tanya Raja Azrin lagi.
"Kita tangkap mereka, tuanku. Mereka musuh nombor satu negara sekarang," jawap Tambi ikhlas.
Setelah berfikir panjang, Raja Azrin setuju tetapi semua ahli rombongan itu mesti ditangkap diam-diam agar negeri Nun di Sana tidak tahu apa yang menimpa mereka.
Raja Azrin dan Tambi duduk bersila sehingga waktu Asar berbincang cara yang terbaik untuk melaksanakan tujuan mereka. Akhirnya mereka bersepakat untuk menangkap keempat-empat orang Nun di Sana ketika mereka tidur. Semasa mereka di dalam selimut masing-masing.
Kala malam menjelma, Raja Azrin melayan Raden Indera dan rakan-rakannya dengan meriah. Makanan yang enak-enak serta tari-tarian dipersembahkan untuk mengaburi mata Raden, musuh yang sudah mengambil tempat nombor satu daripada Soros.
Selepas keraian, Raja Azrin masuk beradu dan diikuti oleh orang lain. Tambi pula hanya menunggu rombongan Nun di Sana masuk tidur. Apabila bulan tegak di atas kepala, Tambi dan beberapa pengawal istana menyusup masuk ke dalam bilik tetamu diraja dan seperti yang dirancang, mereka berempat sedang nyenyak tidur di dalam selimut mereka.
"Inilah musuh kita," bisik Tambi kepada pengawal terdekat.
"Musuh dalam selimut," ujar pengawal tersebut seraya menarik selimut keempat-empat wakil Nun di Sana dan menghumban mereka yang masih mamun antara tidur dan jaga ke dalam penjara bawah tanah.
Sejak dari hari itu istilah musuh dalam selimut terus digunakan untuk musuh yang berpura-pura menjadi kawan walau pun keempat-empat rombongan dari Nun di Sana tidak ada sangkut paut langsung dengan istilah tersebut.
Sekian adanya.
MUA-HAR-HAR dibina dan dibela oleh Aspocx Rozz.
This page is sponsored TOTALLY by Geocities