Depan pintu lif

Anuar membetulkan t-shirt Nirvananya di hadapan pintu lif. Kaki kanannya menghentak-hentak lantai mengikut irama lagu Titanic yang sentiasa di dalam kepalanya. Dengan sedozen bunga ros ditangan Erra pasti setuju kali ini, bisik hatinya. Every night in my dream, I see you I feel you.

Ahh…masih terngiang di minda Anuar saat-saat matanya jatuh ke muka Erra. Sungguh ayu. Memang seperti orang tua-tua berkata; muka bujur sireh, kulit kuning langsat, rambut mengurai berkilat-kilat bagai dikiwi. Pendek cerita, saling tak tumpah bagai Brooke Shields.

Sehingga sekarang Anuar masih teringat dialog pertama antara mereka. Dialog pada hari yang bukan matanya saja terjatuh ke atas Erra.

"Uh maafkan saya, cik," kata Anuar cepat-cepat bangun dan menghulurkan tangannya kepada Erra. "Saya…saya…saya tak nampak cik di depan tadi. Saya tengah tengok …tengok benda lain," Anuar cuba memberi penjelasan.

Erra bangun tanpa bantuannya. Muka Erra merah padam. Anuar melihat sekeliling. Ramai orang sedang memerhati mereka berdua. Tentu dia marah.

"Tak apa," ujar Erra sebelum dia bergegas beredar dari situ. Anuar terpaku melihat Erra berjalan laju meninggalkannya. Tidak marah langsung, gerak hati Anuar berkata. Kalau orang lain sudah tentu dia dimaki, dihamun. Baik sungguh budak ini.

Ting!

Anuar tersentak dari lamunan. Pintu lif terbuka dan mata Anuar liar mencari Erra di antara orang ramai yang keluar. Tiada Erra. Mungkin dia masih ada sedikit kerja yang belum selesai. Tak mengapa. Anuar terus menunggu dan memberi senyuman kepada tiga empat orang perempuan yang keluar dari lif dan tersenyum sinis melihatnya.

Mereka cuba menggoda aku tapi hatiku hanya milik Erra, hati Anuar berkata. Dia menoleh ke arah lain dan terpandang Pak Leman sedang berdengkur di kerusi. Pak Leman jaga Wisma Adabi ini. Pak Leman orang yang memberitahu Anuar nama gadis idamannya.

Fikiran Anuar melayang lagi.

Sebaik saja Erra hilang dari pandangannya, Anuar melompat terkejut bila dia terasa sesuatu di bahunya. Pak Leman hanya tersenyum melihat gelagatnya.

"Tu dia. Tengok perempuan sampai tak ingat dunia," Pak Leman ketawa. Anuar membisu. Memang dia tidak ingat dunia lagi. Hanya wajah Erra yang terpahat dikepalanya. "Kalau kau nak tahu, nama budak tu Erra," sambung Pak Leman lagi. Anuar hanya mengangguk berterima kasih kepada Pak Leman dalam diam.

Erra. Cantik nama itu. Secantik orangnya. Sambil melangkah keluar dari Wisma Abadi, Anuar terasa seperti takdir meletakkannya di situ pada hari itu semata-mata untuk bertemu dengan Erra. Adakah Erra sememangnya untuknya? Adakah dia untuk Erra? Adakah Erra sudi menerimanya? Adakah Erra masih single? Jam pukul berapa, bang?

Ha? Anuar terkejut dan menoleh ke arah budak lelaki yang menariknya keluar dari masa lampau. Pukul satu dua puluh, jawap Anuar pantas.

Ting!

Anuar cepat-cepat membetulkan t-shirtnya sekali lagi dan berdiri tegak sambil melihat pintu lif terbuka. Berpusu orang keluar dari lif yang penuh sesak itu. Erra masih tiada. Mungkin banyak kerja yang perlu diselesaikannya. Seorang gadis yang keluar dari lif mengucapkan selamat tengahari kepada Anuar. Belum sempat Anuar menjawap, gadis itu ketawa bersama rakan-rakannya dan mereka berbisk sesama mereka. Semakin jauh mereka darinya semakin kuat ketawa mereka.

Muka Anuar seperti berasap-asap kepanasan dengan bahang kemarahannya. Hanya kata-kata Tok Ustaz Haji Din yang menahannya dari berdiri hadapan gadis-gadis itu dan memberi kuthbah tentang dosa mengumpat.

"Sebelum menasihati orang lain, kita perlu menasihati diri kita dahulu. Selagi diri sendiri tak betul toksahlah nak betulkan orang lain," pesan Tok Ustaz dua puluh tahun yang lalu. Anuar sedar dirinya masih terumbang-ambing.

Apatah lagi sejak bertemu Erra. Makan ke mana, minum ke mana, sembahyang pun kadang-kadang terlepas. Bahaya. Astafirullah. Dia mesti dapatkan kata setuju dari Erra dengan cepat sebelum sembahyangnya pun ke mana.

Anuar tersandar di tepi tong sampah tempat dia bertemu Erra kali kedua. Ketika itu Erra berjalan melepasinya tanpa menghirau dirinya langsung. Anuar terpaksa berkejar dari belakang.

"Cik Erra, nanti. Cik Erra," panggil Anuar.

Erra menoleh dan melihatnya dengan kehairanan. Mungkin dia tidak mahu mengingati peristiwa yang memalukan, bisik hati Anuar.

"Saya Anuar. Yang langgar awak tengahari tadi…"

"Oh Anuar," Erra tersenyum.

Hati Anuar bagaikan mahu meledak melihat senyuman Erra.

"Kenapa Anuar?"

"Err…saya nak ajak awak keluar. Sebagai tanda minta maaf dari saya," ujar Anuar dengan cepat. Mungkin terlalu cepat kerana muka Erra terus berubah. Erra memandangnya dari atas ke bawah. Tangan Anuar menggosok-gosok seluar jean koyaknya.

"Lain kali saja lah Anuar. Saya ada hal penting ni. Okay?" Erra melangkah tanpa menunggu jawapan dari Anuar.

Lain kali. Dia akan keluar dengan aku lain kali, jerit hati Anuar kegembiraan. Rupa-rupanya dia tidak bertepuk sebelah tangan. Tangan Erra menepuk tangannya. Akhirnya ada jua Hawa di dunia untuknya.

Hari itu hari yang paling bermakna kepada Anuar. Dia keluar dan membeli satu lagi t-shirt Nirvana. Saiz-S untuk Erra. Biar mereka pakai t-shirt yang sama. Biar orang lihat betapa sehati sejiwanya mereka berdua. Tiada yang boleh memisahkan dua hati yang sedang bercinta. Bagai Romeo dan Juliet. Bagai DiCaprio dan Winslet.

Ting!

Anuar terus menolak dirinya dari tersandar di dinding. Matanya pantas mencari Erra. Ahh…itupun dia. Secantik pertama kali dia menatap wajah ayu itu. Erra keluar dari lif bersama seorang rakannya. Kaki Anuar tak perlu disuruh-suruh. Anuar terus melangkah menghampiri Erra.

"Erra," ucap Anuar dengan perlahan.

Erra terus berjalan seoah-olah tidak mendengar panggilannya. Erra dan rakannya sedang berbual. Mungkin terlalu perlahan.

"Erra!" panggil Anuar sekali lagi.

Erra masih terus berjalan ke pintu keluar Wisma Abadi. Anuar berlari anak mengejar Erra dan berdiri dihadapannya. Langkah Erra terhenti. Rakan Erra memandang Anuar dengan tajam. Cemburu mungkin.

"Erra."

"Lain kali Anuar. Saya sibuk ni," ujar Erra. Rakan Erra menarik tangan Erra dan mereka melangkah meninggalkan Anuar.

"Kenapa kau tak suruh dia belah aje?" tanya rakan Erra setelah mereka keluar dari Wisma Abadi.

"Biarlah nanti dia boring dia belahlah sendiri," ujar Erra bersahaja. "Selebet macam tu ada hati nak takcle aku."

Di hadapan pintu lif, Anuar tersenyum. Lain kali. Tak mengapa. Biar sudah seminggu dia menunggu Erra di depan pintu lif. Biar sudah seminggu Erra berkata lain kali. Biar rakan Erra cemburu. Biar apa orang lain nak kata. Yang penting Erra kata lain kali. Dan Anuar akan terus menunggu…

 


MUA HAR-HAR dibina dan dibela oleh Aspocx Rozz. This page is sponsored TOTALLY by Geocities