CERITA KEDAIKOPI #37[25.12.99]

Irama tanpa lagu...

Semasa pulang kekampung dua minggu yang lepas,aku mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di Pantai Irama bersama anak bungsuku Munir yang baru berusia 10 tahun.Oleh kerana cuaca selalu redup dan hujan di kawasan pantai timur di bulan Disember ,kami bertolak dari  rumah jam 7:00 pagi.Matahari sudah keluar tetapi tidak kelihatan kerana dilindungi awam hitam disana sini.Semasa sampai kami dapati ada dua orang anak muda sedang mengail ikan.

Suasana dipantai diwaktu begini amat tenang,hanya bunyi deruan ombakberkejaran sesama mereka dan ombak  kecil memecah dipantai.Biasanya aku boleh melihat pulau-pulau berdekatan,tetapi cuaca redup dan kabus menghalang penglihatan.Sambil berjalan menyisiri gigi air,anakku mengambil peluang bermain mengejar bueh-bueh yang membasahi pantai.Sambil berjalan aku bercerita kepadanya beberapa kisah lama semasa aku seusia dengannya bermain bersama rakan dan ahli keluarga di Pantai Irama yang agak tersohor di Kelantan.Pantai Irama terletak di Jajahan Bachok dan lebih kurang 20km dari Kota Bharu.Ianya masih lagi dikunjungi anak muda dan keluarga dihujung minggu untuk berehat dan bermain pantai...

Semasa mencari ruang letak kereta,ingatanku terimbas kembali ketahun 60'an dulu semasa pantai ini masih kekal dengan kecantikan semula jadinya.Aku mencari-cari tempat ibadat seorang alim terkenal bergelar Tokwi Bachok.Beliau hidup seorang diri dalam sebuah pondok kecil yang dibuat dari daun dan pelepah kelapa sahaja.Kerjanya hanyalah beribadat dan sentiasa dikunjungi orang ramai jauh dan dekat.Malang sekali ,semua ciri-ciri terdahulu telah hilang ditelan pembangunan untuk mengindahkan pantai.Di dekad 80'an ,pantai ini berubah wajah untuk dijadikan satu resort dengan terbinanya chalet,restoran,gerai makanan,tempat permainanan kanak dan seni taman landskap.Malang sekali,sebagaimana ditempat lain juga kemudahan-kemudahan sebegini tidak terjaga dan terurus sewajarnya.Kita amat ghairah membina tetapi keseluruhan gagal mengurus dan menjagainya.Bachok adalah sebuah daerah yang paling mundur di Kelantan dari semua aspek pembangunan-tidak kira dizaman pemerintahan BN atau PAS.Tidak keterlaluan jika saya katakan ianya adalah daerah yang termundur dan termiskin dalam Malaysia.Alaf baru tidak membawa apa-apa makna bagi Bachok kerana ianya masih ketinggalan 20 tahun dalam abad ke 20.Kesedihan dihati aku lebih muram dari suasana pagi itu....

Sambil berjalan dan bercerita kepada anakku ,aku terpandang sebuah binaan berupa kotak besar  berwarna gelap dihujung pantai.Ianya sebuah kubu binaan Inggeris semasa berperang dengan Jepun dalam Perang Dunia Ke-2 dulu.Apabila sampai dikubu,aku amat terkejut melihat keadaannya yang terbiar tanpa jagaan dan separuh darinya ditenggelami pasir! Jika keadaan ini berlarutan,bahan sejarah saperti ini akan hilang ditelan laut.Mengikut cerita orang tua yang aku temui dipantai pagi itu,Inggeris membina banyak kubu dari Tumpat ke Kuala Besut.Mengikut beliau,di Bachok hanya tinggal lima kubu sahaja di Perupuk,Pulau Belonggeng,Nipah,Tok Burung dan di Kubang Golok.Begitulah nasib bahan sejarah di Pantai Irama yang gagal dimanfaatkan oleh pihak berkuasa dan masyarakat setempat.

Semasa berjalan pulang kekeretaku,aku hampir terpijak ketulan najis manusia yang masih panas lagi!Rupanya,masih ada lagi segelintir masyarakat Bachok yang tinggal di persisiran pantai yang masih mengamalkan budaya berak ditepi pantai waktu pagi.Walaupun negara sudah Merdeka 42 tahun,mereka ini masih hidup dengan budaya tahun 50'an.

Aku amat sedih memikirkan nasib Bachok dan terus balik kerumah ibuku untuk tidur.
Nasib,nasib...



Nota:Kisah ini berdasarkan lawatan ke Pantai Bachok pada 18/12/99