Penulisan Buku Online
Penulisan Buku Online/ Book Writing Online
.

ALAM PERSEKOLAHAN TAHUN LIMA PULUHAN

Pertandingan Bola Sepak


Pertandingan bola sepak antara sekolah-sekolah sering diadakan dan ia menjadi acara kemuncak bukan sahaja bagi warga sekolah, tetapi juga masyarakat setempat. Ia melibatkan seluruh warga pekan dan kampung serta berjalan dengan amat meriah sekali; kerana,barangkali, itulah sahaja bentuk hiburan yang ada; tiada TV, tiada komputer, tiada set ""Hi-Fi"dan tiada internet. Selain itu sekolah-sekolah menyertai pertandingan senaman seramai-ramai secara besar-besaran di padang besar pekan itu. Ia juga meriah dan mendapat sambutan seluruh penduduk pekan dan kampung. Penulis seronok melihat murid-murid membuat bermacam bentuk dan pergerakan senaman di mana beratus-ratus peserta mengambil bahagian. Ada yang membentuk kumpulan mereka menjadi kapal terbang; ada yang membentuk kumpulan mereka menjadi piramid. Pendek kata, semua kumpulan cuba memperagakan pelbagai macam bentuk yang menarik. Beribu-ribu penonton memenuhi ruang keliling padang untuk melihat acar yang meriah tersebut.

Menjual Minuman Dalam "Circus"

Pekan kecil itu menjadi lebih meriah bila ia didatangi oleh satu rombongan pertunjukan "circus lengkap dengan khemah besar dan bermacam jenis binatang seperti gajah, kuda, harimau dan singa. Mereka mengadakan pertunjukan siang dan malam. Penulis sering pergi melihat pertunjukan yang diadakan. Selain itu penulis juga menjadi penjual minuman dengan menerima upah daripada pihak "circus". Upah yang diperolehi tidak sampai seringgit dan ini merupakan kenangan yang sukar penulis lupakan.

Guru Melanjutkan Pelajaran Ke Maktab


Bila seorang guru dapat memasuki maktab semua orang melihatnya sebagaimana orang melihat mereka yang dapat memasuki universiti sekarang ini. Itulah kehebatan guru yang dapat melanjtkan pelajaran ke maktab. Guru lelaki ke Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim manakala guru perempuan ke Maktab Perguruan Melayu di Melaka. Bila lulus daripada maktab dan pulang semula untuk mengajar, rotan panjang sentiasa di tangan. Pantang silap sedikit, rotan akan singgah di badan. Mujurlah, kerana ibu bapa zaman itu menyerahkan anak mereka bulat-bulat kepada sekolah; asalkan jangan dilukakan, buta dan patah sudahlah.

Siaran Radio Ke Sekolah-sekolah


Sebenarnya, pada masa itu sudah ada siaran radio ke sekolah-sekolah. Penulis masih ingat tentang lakunan dalam pelajaran sejarah yang disiarkan di mana peristiwa Portugis menyerang Melaka disiarkan menerusi radio sekolah itu. Kami mengikutinya di sebuah bangsal tepi bangunan yang menempatkan pejabat sekolah . Radionya besar dan menggunakan tenaga bateri kereta. Seorang guru yang pandai menggunakan radio ditugaskan mengendali siaran radio tersebut. Agaknya, kalau dibiarkan guru lain menggunakannya, radio akan rosak. Kira-kira macam guru komputer sekaranglah agaknya. Jika perkara begini masih berlaku sekarang, ia tentu melucukan. Sejarah berulang. Sekarang (1998)hanya segelintir guru celik komputer sebagaimana seorang dua yang celik radio dalam tahun lima puluhan. Sesetengahnya pula terhenti setakat celik radio; tidak pula berpindah kepada celik TV, celik video dan setrusnya celik komputer mengikut peredaran zaman.

WANG BELANJA KE SEKOLAH


Wang Saku Ke Sekolah


Penulis masih tidak lupa jumlah wang belanja yang dibawa ke sekolah ketika itu. Penulis dibekalkan sebanyak 15 sen setiap pagi. Dengan wang itu penulis dapat membeli mee goreng dan segelas air. Mereka yang berada pula barangkali membawa lebih banyak wang. Penulis tergolong dalam kumpulan yang kurang berada, kerana penulis tinggal bersama nenek pada waktu itu. Nenek hanya berniaga kecil-kecilan di pasar. Penulis sendiri pernah juga berniaga di sekolah untuk menampung perbelanjaan. Penulis membawa biskut atau kadang-kadang kuih untuk dijual pada waktu rehat hinggalah pada suatu hari penulis ditegah oleh pengusaha kantin sekolah. Selepas itu penulis tidak lagi berniaga.

Nilai wang cukup tinggi. Harga sehelai baju-T cuma seringgit lebih sehelai. Beras pula harganya seringgit lebih segantang. Harga petrol cuma $1.50 (Ringgit) segelen. Pada hujung minggu bila penulis tidak ke sekolah, biasanya penulis pergi membeli sebungkus sate daripada sepasang suami isteri Indonesia depan sebuah kedai kopi dalam pekan. Sate dibungkus dalam daun pisang dengan lidi sate terpacak keluar. Harga sebungkus sate bersama secucuk sate daging cuma 15 sen.

Motosikal Honda 50 cc Yang Pertama


Pekan itu melihat motosikal Honda Cub 50 cc buat kali pertama. Semua orang kagum melihatnya, kerana enginenya yang senyap dan gearnya boleh ditukar tanpa menggunakan clutch. Pemiliknya seorang guru di sekolah Inggeris tempat penulis belajar. Setiap petang beliau menunggang motosikalnya itu ke sana ke mari. Kami merasa sungguh terpikat dengan motosikal yang senyap enginenya itu. Dalam hati ini tersimpan perasaan ingin memiliki motosikal seumpama itu, tetapi tentunya kami tidak mampu. Superbike waktu itu merupakan jenis BSA, Norton dan Tryumph 500 cc atau Tryumph "Bungkus" 350 cc. Bagaimanapun, tidak ramai yang mampu menggunakannya, kecuali beberapa orang pegawai dan seorang polis berpangkat sarhan.