PRAKATA

HOMEPEJ ini terbit dari Kertaskerja untuk Projek Pembangunan Semula Madrasah Al-Jihad dimana ia merupakan suatu perancangan terperinci dan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan program fizikal, pembangunan minda dan Dakwah Tarbiyah sama ada jangka pendek atau jangka panjang bagi Madrasah Al-Jihad mencapai matlamatnya.

Natijah daripada pembinaan HOMEPEJ ini adalah untuk memberi penjelasan lengkap tentang matlamat murni Madrasah Al-Jihad yang adalah sebahagian daripada ribuan madrasah, surau dan masjid di bumi Malaysia, sekali gus memberi satu keyakinan yang mutlak kepada DERMAWAN untuk mencarum dalam Saham Dunia dan Akhirat sebagaimana yang ditawarkan.

Madrasah Al-Jihad menggunakan pendekatan `KAEDAH PENDIDIKAN SOKONGAN` didalam menjalankan aktiviti Dakwah Tarbiyah dan Kemasyarakatan (terutama bagi pelajar sekolah selepas waktu persekolahan rasmi) dimana madrasah ini akan meneruskan tugas mendidik mereka. Disamping itu, kaedah `perigi` dan `hujan` akan terus dititik beratkan.

Adapun perumpamaan orang-orang yang menafkahkan harta mereka kepada jalan Allah adalah sebagaimana sebiji benih yang tumbuh lalu menerbitkan tujuh tangkai, dimana setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji (Mafhum ayat 261: Surah Al-Baqarah). Ini merupakan suatu perangsang amal solleh yang kuat untuk kita rebuti.

PENDAHULUAN

Pengisian, penghayatan dan pengimarahan masjid/madrasah adalah menjadi matlamat utama pembinaannya. Kejayaan sesebuah masjid/madrasah ialah bergantung kepada sejauhmana ianya telah berjalan di dalam melaksanakan peranan dan fungsinya. Sejauh mana ianya diimarahkan.

Apabila sesebuah madrasah dibina tidak berdasarkan taqwa, tetapi kerana tujuan-tujuan yang menyeleweng dan terkeluar dari dasar-dasar Islam seperti untuk kemegahan atau mencari pengaruh duniawi, maka ia akan mendatangkan perpecahan kepada ummat Islam, madrasah tersebut hanyalah merupakan sebuah bangunan indah tersergam tetapi tidak mempunyai roh dan semangat.

Sesuatu madrasah hendaklah berperanan khusus dan umum. Ianya merupakan pusat ibadat khusus (solat, wirid, zikir, tilawah dan tawajjuh), juga pusat muamalat, pusat penyebaran Islam, pusat pentadbiran, gedung ilmu pengetahuan, pusat pendidikan, khazanah hikmat dan pusat pembentukan akhlak juga merupakan pusat kegiatan yang mendatangkan manfaat kepada Islam dan ummatnya.

Pengurusan masjid/madrasah seharusnya bertukar halatuju sekarang, iaitu dari "bersemangat penyelenggaraan" (maintenance) kepada semangat yang bercirikan kreativiti dan pembangunan (development). Yang akhirnya akan jelas melahirkan :

1. Pekerja-pekerja agama dan masyarakat (pejuang) yang beraqidah tepat dan unggul, beriltizam tinggi serta mampu menjadi tenaga utama didalam "MEMASYARAKATKAN MADRASAH" sekaligus berkeupayaan "MEMADRASAHKAN MASYARAKAT".

2. Madrasah yang kelengkapan dalamannya bercirikan "TEKNOLOGI CANGGIH TERKINI" sebagai alat bantu di dalam dakwah menjelang abad ke 21. Alatan audio-visual seperti overhead projector (OHP), slide projector, kamera video dan lain-lain sangat perlu didalam pendekatan dakwah masa kini.

3. Madrasah yang mampu bersaing dengan lain institusi didalam teknologi maklumat dan perhubungan. Komputer sebagai contohnya adalah sebagai asas didalam mewujudkan "LEBUHRAYA MAKLUMAT" bagi era globalisasi kini, seperti Internet yang telah memungkinkan berbagai pertukaran maklumat yang positif.