This is an article from our local paper in Bahasa Malaysia

    Projek petrokimia pemangkin ekonomi Kelantan

    DI BACHOK PADA KETIKA INI, Kadar Dalam Negeri Kasar
    perkapita yang dicatatkan oleh Kelantan adalah terendah di
    Malaysia dengan meletakkan dua jajahan di negeri itu, Tumpat
    dan Bachok memiliki kadar rakyat termiskin tertinggi.

    Malah jika dibandingkan dengan Perlis sekalipun, negeri itu
    masih tidak mampu menonjolkan persaingannya walaupun
    memiliki barisan rakyat yang rajin.

    Penemuan simpanan gas di pantai Kelantan nampaknya mampu
    menukar senario ini pada masa akan datang.

    Khabar, simpanan yang ada pada masa ini bernilai RM20 bilion
    dan jika ia diusahakan secara hiliran ia boleh menjangkau
    sehingga RM100 bilion.

    Justeru itu, pembangunan sekitar Pantai Senok dekat Bachok
    sebagai pusat gas dan petrokimia baru di negara ini sudah pasti
    menjadi pemangkin ledakan ekokoni baru Bachok dan Kelantan
    pada masa akan datang.

    Potensi ini digambarkan apabila dua buah syarikat, Keloil Sdn.
    Bhd, yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan
    Ekonomi dan Iktisad Negeri Kelantan (PKEINK) telah
    menandatangani perjanjian dengan KUB Malaysia Berhad untuk
    membangunkan industri gas dan petrokimia berkenaan.

    Ia membabitkan nilai pelaburan lebih RM2 bilion di atas tanah
    seluas hampir 2,000 hektar yang membolehkan indsutri gas dan
    petrokimia secara bersepadu dijalankan.

    Apa yang tersirat di sebalik kerjasama ini ialah kesediaan
    kerajaan negeri Kelantan melalui PKEINK menghapuskan segala
    prasangka politik yang timbul untuk berganding bahu dengan
    anak syarikat UMNO itu.

    Perbezaan pandangan politik sebenarnya tidak boleh dijadikan
    kendala di sebalik kerjasama ini kerana apa yang penting, setiap
    potensi yang ada di sebalik projek tersebut perlu diteruskan
    demi pembangunan rakyat dan Kelantan sendiri.

    Apakah ertinya pembangunan industri gas dan petrokimia ini
    kepada Kelantan? Umum mengetahui walaupun negeri tersebut
    memiliki simpanan gas, namun ia tetap terpinggir di segi
    pembangunan industri berkenaan sendiri.

    Berbanding negeri-negeri lain, hanya Kelantan tidak disalurkan
    gas sebagai bahan api paling murah dan bersih untuk kegunaan
    industri. Ekorannya, Kelantan terus ketinggalan dalam sektor
    industri yang memerlukan penggunaan gas.

    Kelantan juga terlepas peluang sebagai pusat pendaratan gas
    sumber pantainya sendiri walaupun negeri itu termasuk dalam
    lingkungan Malaysia-Thailand Development Area (JDA) yang
    selama ini dimanfaatkan oleh Petronas Carigali, Triton dari
    Amerika Syarikat dan Petrolium Authority of Thailand.

    Justeru itu, sudah sampai masanya pertikaian politik yang
    merugikan dan isu pengambilan tanah yang dipolitikkan
    dihentikan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan
    gas dan petrokimia di Pantai Senok itu.

    Projek tersebut adalah jawapan paling tepat untuk mereka yang
    sukar memajukan tanah sehinggakan terpaksa terus dibelenggi
    kemiskinan walaupun mempunai berhektar-hektar tanah.

    Justeru itu pemgambilan tanah yang luas yang diperlukan oleh
    Keloil dan KUB perlu mendapat sokongan penuh daripada
    rakyat bagi memastikan manfaat dan peluang di sebalik
    pembangunan di Pantai Senok tidak terlepas lagi.

    Dengan cara ini, diyakini Kelantan juga akan dapat
    menempatkan dirinya sebagai pusat penyaluran gas utama
    negara di sebelah timur selain Kertih, Trengganu dan Songkhla
    di Thailand.

    Buat permulaan ini KUB telahpun membelanjakan RM30 juta
    bagi membangunkan loji pengisian Gas Cecair Asli (LPG) di
    bawah jenama KUB Gas yang dijangka beroperasi pada
    pertengahan tahun depan.

    Projek ini merupakan pemangkin awal kepada usaha yang lebih
    berbentuk hiliran menjelang awal abad hadapan apabila
    kompleks petrokimia di Pantai Senok beroperasi sepenuhnya.

    Ciri-ciri utama kompleks termasuklah sebagai pusat pendaratan
    dan pemprosesan gas asli, pengeluaran produk petrokimia
    hiliran dan huluan, pengeluaran bahan mentah untuk industri
    plastik, penjanaan kuasa dan perkhidmatan logistik dari
    pengkalan marin dan jeti untuk pelbagai produk.

    Pengeluaran produk petrokimia terasuk penghasilan pewarna,
    pengawet, pelincir, plastik, PVC, polystyrene, nylon dan
    lain-lain yang seterusnya menjadi peangkin pula kepada
    perusahaan pembungkusan, perubatan, kasut, tekstil dan
    sebagainya.

    Kesannya Kelantan dijangka mampu menjadi pusat pendaratan
    utama gas di sebelah sini berbanding Kertih di samping
    menjamin kestabilan bekalan gas di semenanjung Malaysia.

    Ia juga boleh dijadikan pusat pendaratan dan

    penyaluran alternatif gas di antara negara-negara Asean.

    Di samping itu, rakyat Bachok dan Kelantan umumnya akan
    menikmati limpahan ekonomi melalui perusahaan gas dan
    petrokimia ini yang kelak memungkinkan negeri iitu sendiri
    menjadi pintu masuk utama ke Thailand Kemboja, Vietnam,
    Laos dan Myanmar apabila AFTA 2003 dilaksanakan kelak.

    Kesemuanya ini dengan secara tidak langsung akan
    membangunkan pula corak infrastruktur di Kelantan dengan
    lebih pesat.

    Apa yang pasti, tahap perkhidmatan rel antara Kota Bharu -
    Kuala Lumpur sudah pasti dipertingkatkan, pembinaan
    lebuhraya terus dari Karak ke Kota Bharu, prestasi dan
    penggunaan pelabuhan yang lebih baik, peningkatan taraf
    lapangan terbang dan yang lebih membanggakan turut
    memasukkan Kelantan untuk dilengkapi dengan infrastruktur
    multimedia.

    Sesungguhnya, industri gas dan petrokimia di Pantai Senok ini
    memberi manfaat yang bukan sedikit kepada orang-orang di
    Bachok dan Kelantan khasnya.

    Pokok pangkalnya, sejauh mana masyarakat Bachok bersedia
    menghadapi ledakan ekonomi yang mendatang itu akan
    menentukan masa depan mereka kelak.

    Oleh: LOKMAN OTHMAN     Utusan Malaysia 4/8/97

    Bachok jadi pentas pembangunan

    MASYARAKAT di Bachok harus menerima hakikat bahawa
    dalam keadaan apa sekalipun mereka perlu bersedia
    menghadapi ledakan ekonomi berikutan pelaksanaan projek
    pembangunan gas dan petrokimia di jajahan itu.

    Projek yang menelan pelaburan sehingga RM2 bilion itu bererti
    mereka perlu bersedia untuk merebut setiap peluang atau
    potensi yang ada, bukan sebagai pemerhati semata-mata.

    Jika orang Bachok ingin maju dan mengeluarkan diri mereka
    daripada jaring kemiskinan yang selama ini membelenggu
    (bilangan keluarga termiskin kedua tertinggi di Malaysia adalah
    di Bachok selepas Tumpat), kehadiran projek tersebut perlu
    diterima secara terbuka.

    Ini kerana ia akan mengubah wajah lesu Bachok menjadi antara
    yang membangun bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di
    Malaysia keseluruhannya.

    Tidak ada yang perlu dibimbangkan atau tidak ada yang akan
    tertindas jika arus pembangunan yang mendatang ditangani
    sebaik mungkin.

    Ketua Eksekutif KUB Malaysia Berhad, Datuk Hassan Harun
    berkata, Bachok akan menjadi gelanggang sebenar dalam
    menentukan kesungguhan rakyat Kelantan dalam perdagangan
    dan perkhidmatan.

    (KUB merupakan pemegang separuh kepentingan dalam projek
    berkenaan selain anak syarikat PKEINK, Keloil Sdn. Bhd).

    Beliau berkata jika selama ini rakyat Kelantan terkenal kerana
    kegigihan mereka walaupun berada di luar negeri tersebut, tidak
    dinafikan pembangunan gas dan petrokimia di Bachok akan
    menjadi pentas utama kegigihan itu.

    Ini kerana di situlah kelak akan terbukanya peluang-peluang
    pekerjaan dan perniagaan yang pelbagai jenis, berkembangnya
    sektor pembangunan infrastruktur, kewangan dan sebagainya.

    ''Jadi siapakah yang akan merebut sebahagian besar peluang-
    peluang yang ada selain anak-anak Bachok dan Kelantan
    sendiri,'' katanya dalam satu pertemuan.

    Hassan berkata, masyarakat di Bachok yang selama ini
    dilingkungi suasana desa tidak perlu bimbang akan kehilangan
    identiti dan nilai budaya mereka di sebalik arus pembangunan
    yang dijangka melanda itu.

    Pokoknya, 'ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisa'
    demikianlah orang-orang di Bachok, nilai-nilai budaya yang
    mereka amalkan selama ini tidak akan hilang walaupun dilanda
    kemajuan asalkan kehendak hati inginkan sedemikian.

    Apa yang penting, orang-orang Bachok tidak kira sama ada
    tinggal di pekan Bachok atau kampung-kampung sekitar perlu
    meningkatkan lagi kemahiran mereka, mengasah bakat dalam
    menghidu peluang dan sebagainya.

    Menyentuh projek yang boleh dianggap mega itu, Hassan
    berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu Akta
    Pengambilan Tanah (Pindaan) 1997 diwartakan terlebih dahulu
    sebelum kerja-kerja pembangunan yang lebih giat dijalankan.

    Ia membabitkan pembelian tanah-tanah penduduk untuk
    pembangunan loji pemprosesan gas dan kemudahan
    infrastruktur yang lain.

    Difahamkan ia menyentuh pindaan terhadap peruntukan 3(b)
    akta tersebut yang antara lain mengenai pengambilan tanah
    untuk tujuan awam dan kemudahan awam.

    Pindaan tersebut kini dalam peringkat pewartaan setelah
    diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 15 Mei
    dan 5 Jun baru-baru ini.

    Bagaimanapun, katanya kerja-kerja awal seperti pembinaan
    terminal LPG dan selinder gas sedang dijalankan ketika ini
    kerana tapaknya telahpun dimiliki Keloil sebelum ini.

    Hassan berkata, sikap keterbukaan dan penerimaan
    orang-orang kampung yang terlibat adalah penting bagi
    memastikan projek berjalan lancar.

    Ini termasuk dalam soal-soal pengambilan tanah dan pampasan
    daripadanya.

    Tidak dinafikan, KUB dan Keloil terpaksa membayar sejumlah
    pampasan yang tinggi kepada para penduduk kampung.

    Misalnya, jika setiap ekar tanah berharga RM40,000 pihak
    pemaju terpaksa memperuntukkan sehingga RM200 juta untuk
    membayar pampasan terhadap kira-kira 5,000 ekar atau 2,000
    hektar yang akan dibangunkan.

    Satu cara yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan beban
    pemaju dalam soal pampasan di samping memberi faedah
    kepada pemilik tanah ialah kesediaan pemilik tanah sendiri
    menjadi rakan kongsi di sebalik projek tersebut.

    Melaluinya, penduduk-penduduk kampung boleh menjadikan
    tanah mereka sebagai modal atau menjadi saham.

    ''Dengan tidak secara langsung, pemaju telahpun memiliki
    RM200 juta tersebut dan untuk jangka masa panjang pemilik
    juga yang akan memperolehi faedah secara berterusan,''
    ujarnya.

    Cara ini lebih menguntungkan kerana para penduduk kampung
    telah mula mendekati diri dengan kegiatan pasaran modal
    berbanding menyerahkan wang pampasan bulat-bulat kepada
    mereka.

    Menurutnya, para pemilik juga tidak perlu gusar dengan nilai
    tanah mereka kerana ia akan sentiasa naik pada masa akan
    datang lebih-lebih lagi projek-projek pembangunan infrastruktur
    siap dilaksanakan dan apabila Bachok sendiri pesat berkembang
    kelak.

    Apa yang penting mereka tidak terpedaya dengan pihak-pihak
    lain yang ingin membeli tanah dan membuat spekulasi di sebalik
    pembangunan projek gas dan petrokimia itu.

    KUB juga mempunyai perancangan untuk menyediakan
    kemudahan perumahan yang lebih teratur untuk para penduduk
    yang terbabit yang turut dilengkapi dengan
    kemudahan-kemudahan lain.

    ''Sebaik sahaja pindaan akta tersebut diwartakan kelak, pihak
    pemaju akan menjalankan usaha-usaha berkempen dengan lebih
    aktif bagi mengikis setiap kesamaran yang timbul di kalangan
    penduduk-penduuk kampung,'' ujarnya.

    Mereka juga akan diberi penerangan bahawa projek ini paling
    selamat di segi alam sekitar dan keselamatan nyawa kerana ia
    dijalankan mengikut prosedur-prosedur alam sekitar yang
    dikenakan.

    Apa yang penting, rakyat Kelantan dan Bachok khasnya
    sepatutya tidak mampu lagi melepaskan peluang pembangunan
    mega ini setelah sekian lama terperangkap dengan konflik
    politik dan prasangka yang merugikan.

    UTUSAN 12/08/97