Aidilfitri |
Pegawai Sistem Maklumat Pusat Komputer Universiti Sains Malaysia 11800 Pulau Pinang adnanhamid@hotmail.com Computer (Instructor) Course 7 Oktober 1999 - 28 Mac 2000 |
![]() Coordinator |
Assalamualaikum
Kini tiba giliran saya untuk pulang ke tanahair pada 30 Mac 2000 setelah 6 bulan berada disini. 6 bulan, satu tempoh yang agak lama dimana bermacam dugaan dan rintangan yang harus ditempohi. Dua peristiwa sedih berlaku sepanjang saya berada disini. Pertamanya, datuk saya meninggal dunia 2 hari selepas saya tiba disini (9 Oktober 1999) dan seorang lagi datuk saya meninggal dunia 2 minggu sebelum saya pulang ke tanahair iaitu pada Hari Raya Aidil Adha (16 Mac 2000). Sudah ditakdirkan semuanya pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya tanpa sempat saya menatap wajah mereka buat kali terakhir. Saya menyambut bulan Ramadan, Hari Raya Aildil Fitri dan Hari Raya Aildil Adha disini. Inilah pertama kali saya menyambutnya di perantauan tanpa keluarga tercinta, ayah, ibu, isteri, anak saya yang baru berusia satu setengah tahun dan keluarga yang lain. Terus terang saya katakan yang perasaan sedih itu tetap ada dan saya tidak yakin dan tidak percaya jika ada yang menyatakan yang perasaan sedih itu langsung tidak wujud sama sekali. Walau bagaimanapun, suasana gembira menyambut ketiga-tiga perayaan tersebut dapat juga dirasai disini terutama dengan adanya Kak Halela dan orang-orang Islam di Kem Tentera Amerika disini seperti Brother Hafiz, Ali, Rasul dan lain-lain lagi. Seperti biasa, kami mengadakan sembahyang Tarawikh berjemaah di salah satu bilik bacaan disini. Setiap malam, hampir 10 orang Islam berjemaah bersama-sama. Kadang-kadang Kak Halela dan orang-orang Islam dari Kem Tentera Amerika juga datang untuk berjemaah dan berbuka puasa bersama-sama kami. Tahun ini seperti biasa, sembahyang Hari Raya Aildil Fitri diadakan di OIC. Alhamdulillah, Hari Raya Aidil Fitri jatuh pada hari Sabtu (cuti). Ramai orang-orang Islam dari seluruh Okinawa datang untuk sama-sama berjemaah. Alhamdulillah, semakin lama semakin ramai orang Islam disini. Selepas sembahyang raya, kami pergi beramai-ramai berhari raya di rumah terbuka Kak Halela. Banyak terdapat kuih-kuih raya orang Malaysia dirumahnya. Jadi, taklah kempunan sangat. Kak Halela buat rumah terbuka sampai ke petang. Ramai orang-orang Islam yang berkunjung ke rumahnya. Hari Ahad pula, orang-orang Islam di Kem Tentera Amerika mengadakan jamuan Hari Raya Aildil Fitri. Banyak juadah disediakan dan boleh dikatakan semua orang-orang Islam di Okinawa ini telah hadir. Selepas melihat ramai orang Islam yang hadir untuk bersembahyang Hari Raya Aidil Fitri, pihak pengurusan tidak lagi membenarkan orang-orang Islam untuk bersembahyang beramai-ramai di OIC lagi. Jadi, sembahyang Hari Raya Aildil Adha tahun ini telah diadakan di Kem Tentera Amerika (Kem Foster). Kesian, mereka datang untuk menjemput kami pada pukul 6.30 pagi kerana hari raya jatuh pada hari Khamis (16 Mac 2000), dan tiada cuti disini. Sembahyang raya diadakan pada pukul 7.50 pagi dan selepas itu ada sedikit jamuan dan mereka menghantar semula kami pulang ke OIC dalam pukul 9.00 pagi kerana kami semua ada kelas. Jamuan Hari Raya Aidil Adha telah juga diadakan di Kem Foster pada hari Sabtu (18 Mac 2000). Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kak Halela yang selalu menjenguk saya dan sentiasa menghulurkan bantuan ketika saya memerlukan. Dan juga tidak lupa kepada semua orang-orang Islam di Kem Tentera Amerika yang sentiasa menganjurkan perjumpaan serta jamuan dan sentiasa tidak lupa untuk menjemput kami orang-orang Islam disini. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik kalian semua. Juga tidak lupa kepada teman baik saya disini, Bapak Riris dan Bapak Waluyo dari Indonesia yang sentiasa menemani saya ke mana sahaja sepanjang saya berada di sini dan juga kepada Matsuno San (orang Jepun yang suka belajar Bahasa Indonesia/Malaysia) yang sentiasa membawa kami bersiar-siar di sekitar Okinawa. Sekian. Jumpa lagi. |
home | index nama | index tahun |