Panduan Hidup
 



MEMBERSIHKAN HATI

Telah dikatakan dalam bab yang bahawa krisis tidak akan berlaku dalam masyarakat yang mempunyai akhlak mulia atau hati yang bersih dan jiwa yang sufi.  Ini dapat dibuktikan dengan melihat sejarah hidup para sahabat di zaman Rasulullah SAW.  Walaupun terjadijuga selisih pendapat dan kesilapan teknikal,tetapi sikap memaafkan, tolak ansur, baik sangka dan kasih sayang antara mereka membuatkan krisis (pergaduhan) tidak pernah berlaku.  Tidak pernah terjadi kecaman peribadi.  Ini adalah kerana berjayanya Rasulullah didik manusia sezaman untuk benar-benar mempunyai akhlak yang agung dan benar-benar melaksanakan ajaran Al Quran dan Sunnah.
Tapi sesudah Rasulullah, manusia kembali mengotori jiwa mereka.  Maka terjadilah krisis lepas satu, satu lagi. Di zaman salafussoleh krisis sudah bermula, (tapi bentuknya tidak melulu) dan berlaku terus dalam generasi berikutnya, hingga ke zaman ini krisis sudah  jadi mainan yang lumrah dalam kehidupan seluruh manusia.  Untuk bebaskan manusia dari bencana ini, tiada jalan lain yang mesti diikut melainkan jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullha.  Hanya itu saja caranya untuk mengurangkan krisis dalam masyarakat kalaupun tidak dapat dihapuskan semuanya.
Ketika dalam perjalanan pulang dari medan perang Badar, bersabda Rasulullah pada para sahabat yang bermaksud:
Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil, menuju kepada peperangan yang lebih besar.

Sahabat terperanjat lantas bertanya, "Peperangan apa yang besar itu ya Rasulullah?"  Jawab baginda, "Peperangan melawan hawa nafsu."

Di waktu lain Rasulullah berkata begini:

"Di dalam diri anak Adam ada seketul daging, jika baik daging itu, baiklah manusia itu.  Jika busuk maka jahatlah ia. Ketahuilah itulah hati."

Hati adalah tempat bersarangnya nafsu.  Manakala nafsu adalah musuh ketat manusia.  Ini diberitahu sendiri oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:
"Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan."
Yusuf:53

Kalau begitu benarlah bahawa peperangan yang besar, sengit dan panjang ialah peperangan untuk mengalahkan  diri sendiri, yakni nafsu yang bersarang dalam diri (hati).

Kemudian Allah SWT mengisyaratkan betapa pentingnya amalan membersihkan hati dari kejahatan nafsu.
FirmanNya yang bermaksud:
"Beruntunglah orang-orang yang membersihkan hatinya.  dan rugilah siapa yang mengotorinya."
Asy Syams:9 &10

Keuntungan yang Allah maksudkan ialah keuntungan dunia dan akherat.  Untung di dunia kerana dapat sifat-sifat baik, seperti berbaiksangka, suka meminta maaf dan memberi maaf, pemurah, tolak ansur, merendah diri, berkasih sayang, ikhlas(buat sesuatu kerana Allah bukan untuk kepentingan diri dan duniawi), takut dosa, jujur, tiada sentimen perkauman dan lain-lain nilai yang baik (mahmudah).  Dengan sifat-sifat ini masyarakat akan tersusun cantik.

Ulama menjadi obor, menerangi masyarakat dengan syiar Allah. Pemimpin menjadi payung, menaungi manusia dengan keadilan dan kemakmuran.  Orang kaya jadi bank, menghulur derma bakti pada simiskin, tanpa menagih bayaran atau faedah.  Orang miskin tidak meminta-minta atau merampas, sebab redha dengan kehendak Tuhannya.  Tentera jadi pagar untuk membenteng kebenaran ummah dan keselamatan negara .  Suami jadi ketua yang bijaksana, si isteri jadi pembantu yang taat.  Ibu bapa jadi pendidik yang bijaksana, anak-anak jadi murid yang patuh.  Wanita jadi tiang negara yang membangunkan masyarakat akhlak sopan santun, malu, taat, menutup aurat dan berkhidmat pada rumah dan ahli rumah.
Ciri-ciri masyarakat beginilah yang boleh mewujudkan negara yang dimaksudkan oleh Allah :
"Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah."

Itu keuntungan di dunia, manakala di akherat Allah berfirman:
"Pada hari itu tiada berguna anak dan harta kecuali mereka yang pergi mengadap Allah membawa hati yang selamat."
Asy Syura:88 & 89

Dengan hati  yang bersih sahajalah Allah akan bebaskan manusia dari azab api neraka di akherat.  Hanya hati yang suci saja yang layak masuk ke Jannatun Naim.

Maka langkah-langkah membersihkan hati ini hendaklah menjadi program penting hidup kita.  Sebagaimana pembangunan lahiriah kita melakukan mengikut kaedah yang sungguh saintifik maka patutnya pembangunan rohani ini lebih diutamakan lagi.  Sebab pembangunan lahiriah kalau tidak berjaya tidak merosakkan negara tetapi kalau pembangunan rohani tidak berjaya kesannya ialah masasyarakat dipenuhi pesakit jiwa, pencuri, pembunuh, penzina, penipu, pemakan rasuah, pendendam, pemarah, pendengki, pengadu domba, penabur fitnah, penghasut, perosak dan lain-lain lagi.  Kalau ini terjadi bukan saja pembangunan lahiriah tidak bermakna lagi, tapi bangsa itu mungkin ranap dan hancur.

Pepatah Arab ada berkata yang maksudnya:
"Sesungguhnya sesuatu bangsa itu dianggap wujud bilamana ada akhlaknya.  Tapi bila budi pekerti hilang, bangsa itu dianggap tidak ujud lagi."

Dasar penerapan nilai-nilai Islam oleh kerajaan kini sebenarnya sungguh penting dan besar  faedahnya kalau kaedah untuk sampai kepada matlamatnya bertitik tolak dengan melakukan mujahadatunnafs yakni peperangan melawan hawa nafsu.  Dengan kata lain, mendidik umat membuang kejahatan nafsunya diganti dengan nafsu yang baik (mahmudah), yakni usaha-usaha membangunkan jiwa yang suci dan akhlak yang agung.  Hanya akhlak mulia boleh bangunkan tamadun bangsa.  Dan hati yang suci yang boleh bina keadilan dan keamanan.

Program ini mesti dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik.  Mula dari peringkat individu, rumahtangga, sekolah, pejabat, maktab, universiti, hospital, kilang-kilang, ladang-ladang, kampung dan bandar, laut dan darat dan di mana juga ada manusia.  Biar semua  manusia dengar, tahu dan ikut perjuangan membina akhlak dan membersih hati ini.  Supaya semua umat Islam bercita-cita untuk capai darjat mahmudah yakni nafsu yang baik (terpuji).

Perlu diketahui bahawa peranan pendidikan bentuk ini bukan boleh diserah pada sebarang professor atau doktor.  Kalau bukan oleh ulama sufi yang 'amilin (praktikal), berwibawa, mementingkan akherat dari dunia, program ini tidak akan berhasil apa-apa.  Umpama kita suruh bapa ketam mengajar anaknya berjalan betul. Sampai bilapun kita tidak akan lihat hasilnya.
Sekiranya langkah ini dapat dijayakan, insyaAllah lama kelamaan kita akan dapat masyarakat yang kita inginkan. Sebaliknya kalau tugas ini diabaikan atau diusahakan oleh orang yang tidak cukup syarat, alhasil membiakkan huru hara dan kacau bilau dan krisis yang sedia ada kini.
Secara detail kaedah membersihkan hati ini atau melawan hawa nafsu digariskan oleh Imam Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin.  Cara yang ringkas dinyatakan di sini banyak terdapat dalam buku-buku Tasawuf yang banyak dijual di kedai-kedai buku.  Untuk pengetahuan dan panduan, bacalah kitab-kitab itu.  Tapi untuk mengamalkan, kita kena berguru.  Paling tidak guru yang melakukan apa yang dia tahu sebab belajar dengan guru yang tidak beramal akan membuatkan kita juga tidak beramal.  Ini berdasarkan kepada kata-kata Saidina Umar:
" Jika seorang alim itu tidak bertakwa menjadilah kata-katanya kepada hati manusia umpama mencurah air di atas batu yang licin atau di atas telur burung kasawari."
Maknanya, pengajaran orang itu tidak berkesan apa-apa dan tidak boleh menjadikan manusia lebih baik dari sebelumnya.  Dalam pada itu, tidak boleh juga kita belajar sendiri tanpa guru.  Sebab orang yang belajar sendiri maka syaitanlah gurunya. 




Teguran adalah diterima atas mana-mana kesilapan untuk ingatan dan panduan bersama (Artikel dari pembacaan saya).
 

MY EMAIL
 

INDEX PANDUANIKLAN TERKINI
  



 
Get Free Homepage From  Geocities