Allah menjadikan Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam untuk menjadi penghibur
setia Nabi Adam di dalam syurga. Siti Khadijah banyak membantu dalam
menyuburkan jiwa dan memberi semangat kepada Rasulullah pada masa
awal Islam mula disebarkan ke tengah masyarakat. Kewafatan
Siti Khadijah dirasakan sebagai kehilangan besar bagi baginda sehinggakan
tahun kewafatan Siti Khadijah dinamakan 'tahun dukacita'. Demikianlah peranan
isteri sebagai pemulih semangat suami. Bahkan isterilah satu-satunya tempat
berhibur suami yang dihalalkan oleh Allah.
Lihatlah betapa bahagianya para sahabat dahulu kala; walaupun letih
berjuang tetapi apabila balik ke rumah, isteri menyambut kepulangan mereka
dengan senyuman manis.
Pernah Saidina Ali yang baru pulang dari medan pertempuran dan mengharungi
padang pasir dengan segala kepayahan dan keletihan, terasa segar apabila
kepulangannya disambut dengan senyuman oleh Siti Fatimah. Walhal
kalau dikaji sejarah kehidupan Saidina Ali dan Siti Fatimah merekalah antara
pasangan suami isteri yang paling miskin. Siti Fatimah seringkali
ditinggalkan berbulan-bulan oleh Saidina Ali yang sering keluar berjuang.
Biasanya dia ditinggalkan tanpa barang keperluan dapur yang mencukupi.
Namun sedikitpun Siti Fatimah tidak merungut, apalagi untuk memarahi suaminya.
Bahkan beliau berusaha sendiri menguruskan keperluan rumahtangganya.
Namun anak kesayangan Rasulullah ini, yang tebal iman di hatinya, masih
mampu melemparkan senyuman manis menyambut kepulangan suaminya.
Para isteri, terutamanya isteri-isteri pejuang memainkan peranan penting
dalam pembentukan jiwa suami. Isteri yang terlalu banyak membawa
masalah kepada suami akan menghalang perjuangan suami. Bahkan ada
kemungkinan suami akan mengalami sakit jiwa.
Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan 72% daripada jumlah pesakit
otak terdiri dari kaum lelaki. Pakar-pakar perubatan dalam kajian
mereka mendapati bahawa salah satu punca utama suami sakit jiwa ialah kerana
isterinya terlalu mendesak suami menyediakan segala bentuk kemewahan walaupun
di luar kemampuan suami. Kepulangan suami dari pejabat atau dari
tempat kerja tidak disambut dengan layanan mesra bahkan belumpun sempat
suami meletakkan punggung dia telah diserang dengan pertanyaan demi pertanyaan.
Selagi suami tidak menunaikan permintaannya, selagi itulah isteri akan
mendesak si suami.
Menurut lapuran dari Penasihat Persatuan Pesakit-pesakit jiwa Pulau
Pinang, kebanyakan lelaki yang sakit jiwa adalah mereka yang sering
berdepan dengan ragam isteri yang gilakan kemewahan. Tidak kurang
juga yang menderita sakit jiwa kerana isteri tidak dapat menerima hakikat
poligami (bagi yang berpoligami). Begitulah amat berkesannya jarum
yang dicucuk oleh para isteri sehingga menyebabkan suami menderita.
Pada umumnya ada dua punca utama suami sakit jiwa. Pertama, kerana
kelemahan suami itu sendiri, dan kedua, kerana ragam isteri.
Allah telah menetapkan lelaki (suami) sebagai pemimpin bagi kaum perempuan.
Sebagai pemimpin, dia berhak membuat keputusan dan perempuan (isteri) mahu
tidak mahu mesti mentaati keputusan itu walaupun bertentangan dengan kehendaknya.
Sekiranya suami tegas mengikuti kehendak syariat di samping berusaha mendidik
isteri, insyaAllah tidak berlaku kes isteri mendesak-desak suami, apatah
lagi mengarah-ngarahkan suami mengikut kehendaknya. Apabila hal seperti
ini terjadi, ini adalah kecuaian suami mendidik ahli keluarganya.
Bagi pihak isteri pula, sekiranya dia mengetahui peranannya yang sebenar,
maka tidak mungkin dia akan queen-control suaminya. Walaupun isteri
mempunyai hak dalam rumahtangga, tetapi hak tersebut ada batasannya.
Di antara hak yang wajib isteri laksanakan:
- mentaati perintah suami (yang tidak bertentangan dengan syariat).
- sentiasa malu terhadap suami dan menghormatinya.
- diam tatkala suami sedang bercakap.
- merasa cukup dengan pemberian suami walaupun sedikit.
- tidak meminta-minta sesuatu yang di luar kemampuan suami termasuk
perhiasan atau perabut yang mahal-mahal.
- sentiasa berhias tatkala berhadapan dengan suami.
- tidak keluar rumah tanpa izin suami.
- menghormati keluarga suami dan kaum kerabatnya.
- sentiasa melayan keinginan suami untuk bergurau senda.
Demikianlah antara kewajipan isteri. Jika para isteri dapat melaksanakannya,
insyaAllah tidak timbul masalah yang menyusahkan suami. Sabarnya
seorang isteri di dunia akan Allah gantikan dengan ganjaran pahala dan
balasan syurga di akherat kelak.
Sekiranya isteri boleh berlebih kurang dengan haknya, kerana suami
tidak mampu menyediakan segala keperluan rumahtangga, alangkah bahagianya
kehidupan mereka. Isteri yang begini akan merasa cukup dengan pemberian
suami malah menghargai sungguh-sungguh segala pemberian suami. Sehingga
dengan itu akan terasalah oleh suami, isterilah penghibur dan penyubur
jiwa. Di dunia lagi pasangan suami isteri yang begini telah merasai
'syurga yang disegerakan' sebelum menikmati syurga yang kekal abadi di
akherat kelak.
INDEX
PANDUAN | IKLAN TERKINI |
BONUS PAGE