Panduan Hidup
DEWASA
BUKAN PADA UMUR
Pengalaman hidup boleh mempengaruhi peribadi atau sahsiah diri
individu. Ada pengalaman yang menjadikan individu lebih matang dalam
berfikir dan bertindak. Ada juga pengalaman yang menjadikan individu
bersikap penakut dan lemah.
Kedewasaan atau 'maturity' bukan semata-mata bergantung pada usia individu.
Ada yang sudah berusia lanjut tetapi tahap dan pemikiran masih setahun
jagung. Ada yang masih muda , tetapi cara berfikir seperti orang
yang sudah benar-benar dewasa.
Kedewasaan banyak dipengaruhi oleh pengalaman hidup. Ada orang
sejak di peringkat awal hidupnya ditimpa kesusahan dan kekurangan kasih
sayang. Dari situ ia belajar erti kehidupan berbanding dengan orang
yang sejak awal hidupnya penuh dengan kesenangan. Keperitan hidup itu akan
menjadikan seseorang itu samada lebih tabah menempuh usia mendatang, mampu
berdikari ataupun menjadi seorang yang lemah apabila berhadapan dengan
hidup yang lebih mencabar.
Lihat sendiri dalam masyarakat kita hari ini. Orang yang berdiri
teguh adalah orang yang dulunya lemah. Dia bangkit hasil dari kesedaran
bahawa dia tidak harus mengaku kalah dengan keadaan. Individu itu sendiri
yang mesti berusaha, bukan dengan hanya berserah kepada takdir. Tepat
seperti kata-kata, ' beras secupak tidak akan menjadi segantang'.
Islam mengajar manusia agar berusaha dan berikhtiar, bukan hanya duduk
goyang kaki. Mengenai hasil yang bakal diperolehi, kita serahkan saja pada
Allah.
Orang yang dewasa dalam tindakan dan fikiran akan dihormati.
Pendapatnya akan diambil kira. Sebab itu dalam kepimpinan, usia bukan menjadi
syarat. Sejarah memaparkan kepada kita bahawa Usamah yang berusia
18 tahun dilantik mengetuai angkatan tentera Islam. Ini berbeza dengan
keadaan dalam mayarakat kita hari ini yang lebih mengambil berat soal umur.
Biasanya yang tua dilantik sebagai ketua. Terkadang lantikan yang
dibuat bukan berdasarkan kewibawaan individu tetapi kerana hendak mengambil
hati.
Sudah lumrah bahawa orang yang lebih tua biasanya mahu cakap-cakapnya
didengar dan diambil kira, kerana kononnya dia lebih dahulu makan garam.
Mereka akan merasa tercabar kalau cakap-cakap mereka tidak diambil kira.
Sepatutnya pendapat orang-orang di bawah perlu juga diambil perhatian.
Mungkin mereka mempunyai pandangan yang lebih bernas. Kalau perasaan ego
sudah bersarang dalam hati, memang payah untuk tunduk pada orang bawah.
Berbagai-bagai alasan dikemukakan untuk membela diri. Apa salahnya
merendah diri? Bukannya rugi, malah sikap sedemikian akan membuat
orang lain senang dengan kita.
Orang yang berfikiran dewasa, akalnya panjang. Dia tidak mudah
bertindak melulu. Dia akan memikirkan samada tindakannya itu akan
membawa keuntungan atau tidak. Tapi bagi orang yang tidak dewasa,
dia akan buat apa yang serasi dengan nafsunya ; biarlah orang lain susah
asal diri sendiri senang.
Kedewasaan yang dipandu oleh Al Quran dan Sunnah akan membuatkan hidup
lebih bermakna dan lebih berkat. Islam itu meliputi seluruh aspek kehidupan.
Jika kedewasaan itu ada pada seorang pemimpin dan bergabung pula
dengan fikiran Islam, ketokohan orang itu akan terserlah. Orang di
bawahnya akan dengan senang hati meneriam kepimpinannya. Tidak akan
timbul soal siapa yang mahu menggulingkan siapa. Tetapi kalau kedewasaan
itu bergabung hanya dengan logik akal. mungkin tak semua orang dapat menerima
kepimpinannya. Pendapatnya mungkin diterima tetapi bukan oleh semua peringkat.
Bagaimana untuk menjadi dewasa? Belajarlah dari alam dan
belajarlah dari pengalaman. Untuk lebih bermakna, pandulah fikiran
menurut Al Quran dan Sunnah. Apabila kita sudah 'dewasa' kita akan
lebih tabah berdepan dengan kehidupan. Tetapi kalau fikiran 'tak
dewasa', nafsu akan sentiasa meronta-ronta. Oleh itu, belajarlah
menjadi orang dewasa.
Teguran
adalah diterima atas mana-mana kesilapan untuk ingatan dan panduan bersama
(Artikel dari pembacaan saya).
MY EMAIL
No. of visitor
INDEX
PANDUAN | IKLAN TERKINI |
Get Free Homepage From