Kepimpinan adalah beban ke atas bahu beberapa kerat daripada manusia
yang Allah tentukan nasibnya jadi pemimpin. Pemimpin itu ada yang
adil, ada yang zalim. Ada yang soleh ada yang fasik. Ada yang diiktiraf,
ada yang tidak diiktiraf. Ada yang berkuasa penuh, ada yang tidak.
Lazimnya pemimpin yang adil ditentang oleh orang-orang yang zalim.
Pemimpin yang zalim , ditentang oleh orang-orang yang mahukan keadilan.
Pemimpin yang soleh ditentang oleh orang-orang fasik. Pemimpin fasik
ditentang oleh orang-orang soleh. Siapa sahaja yang menjadi pemimpin,
dia akan sentiasa menghadapi tentangan daripada musuhnya.
Ada orang menganggap pemimpin yang berjaya itu adalah pemimpin yang
dapat mengekalkan kuasanya sampai mati. Lain orang lain pula anggapannya.
Mereka menganggap pemimpin yang berjaya itu ialah yang berjaya menjalankan
dasar perjuangannya dan melaksanakan polisi perjuangannya semasa ia berkuasa.
Di atas 'platform' apa juga yang dipegang oleh seorang pemimpin,
ia mesti dapat sokongan majoriti barulah ia terpilih sebagai pemimpin.
Setelah sokongan terhadapnya menjadi minoriti maka ia sepatutnya berundur.
Sekiranya tidak mahu, ia terpaksa memerintah secara diktator.
Syarat utama memudahkan seorang pemimpin memimpin negaranya atau pengikutnya
ialah dengan mendapat mandat dan kepercayaan padu dari pengikutnya atau
rakyatnya. Dengan adanya kepercayaan penuh, banyak kejayaan akan
dapat dicapai hasil dari kerjasama sepenuhnya daripada rakyatnya.
Oleh itu menjadi tugas pemimpinlah untuk berusaha membuat perkara-perkara
yang menyebabkan orang percaya kepadanya dan meninggalkan hal-hal yang
menghilangkan kewibawaannya serta kepercayaan orang kepadanya. Di
antaranya, ia kena berusaha mengkotakan apa yang dikata. Berlaku
adil pada diri, keluarga dan pengikut atau rakyatnya. Membina kemajuan
lahiriah seperti kemajuan pertanian, kemajuan pelajaran dan mengisi keperluan
rohani dengan memasukkan rasa gembira ke hati pengikut. Contohnya
menyamakan kehidupannya dengan kehidupan rakyat, samada pada pakaian, makanan
atau tempat tinggal.
Di antara penyakit yang sering menimpa pemimpin ialah cemburu.
Harinya merasa sangat pedih apabila ia mengetahui pengikutnya berjumpa
dan bermesra dengan pemimpin saingannya. Satu lagi penyakit yang
banyak menjangkiti pemimpin ialah tidak mahu mendengar nasihat orang.
Tidak mahu mendengar teguran orang lain terutama daripada musuhnya.
Dengan 2 sebab inilah ramai di antara pemimpin yang telah dijauhi dan
dibenci orang. Setelah semakin ramai orang benci kepadanya, ia tidak
berhak lagi mengekalkan kuasanya.
Di antara perkara yang sangat sulit hendak dipertahankan oleh pemimpin
ialah sikap merakyat atau sikap berjiwa rakyat. Kebiasaannya, pemimpin
itu semakin merosot jiwa rakyatnya setelah menjadi pemimpin. Ia menuju
arah feudal atau diktator. Hanya bilangan jari sahaja pemimpin yang dapat
mempertahankan jiwa rakyatnya; dan jiwa rakyatnya itu terpancar di dalam
hidupnya. Kebanyakan pemimpin sekarang, jiwa rakyatnya hanya tinggal di
dalam ucapan-ucapan sahaja.
INDEX
PANDUAN | IKLAN TERKINI |
KEDAI KOPI | HOME