TEKNIK PEMBUATAN KOMPOS

Oleh

MOHD RADZl BIN MD NOOR

Bahagian Pengurusan Tanah,
Jabatan Pertanian,
Teluk Chengai, Kedah

|| Home ||

 

1.    APA DIA KOMPOS

Kompos ialah sejenis baja organik asli yang diperbuat daripada bahan organic seperti sisa-sisa buangan tanaman dan ternakan melalui proses penguraian oleh mikroorganisma ke bentuk yang memudahkan zat-zat nutrien yang terkandung didalamnya diserap oleh tumbuh-tumbuhan.

2.   KEBAIKAN KOMPOS

i)    Sebagai Pemulih Tanah

Baja kompos membaiki struktur tanah, mengekalkan kelembapan tanah, mengurangkan larutresap nutrien, membaiki pengudaraan dan membaiki pergerakan air.

ii)    Sebagai Penyubur Tanah

Kompos mengandungi nutrien yang lengkap. Nutrien ini dikeluarkan secara perlahan dan diserap oleh akar tumbuhan. Kompos juga mempunyai keupayaan pertukaran kation (KPK) yang tinggi (>60 meq/100 g).KPK yang tinggi menambah keupayaan tanah memegang baja.

3.    FAKTOR PENTING DALAM MEMBUAT KOMPOS

i)    Nisbah C:N

Bahan asas kompos mempunyai nisbah C:N (karbon-nitrogen) yang tinggi, melebihi 30 dan boleh mencapai 500. Proses pereputan bahan kompos dibantu oleh mikroorganisma. Secara purata, mikroorganisma menggunakan 30 bahagian C dan satu bahagian N. Oleh sebab itu, nisbah C-N dalam lingkungan 30:1 dalam media kompos memberikan imbangan zat makanan yang sempuma untuk kecekapan aktiviti mikroorganisma.

ii)    Suhu

Semasa proses penguraian bahan organik oleh mikroorganisma, suhu akan meningkat dan boleh mencapai 60°C. Suhu tinggi ini menunjukkan proses pereputan dan pembentukan kompos berlaku.

iii)    Kandungan kelembapan

Aktiviti mikroorganisma bergantung pada kelembapan. Tanpa kelembapan sebarang aktivitian terhenti. Kandungan kelembapan sebanyak 50%-60% adalah memadai. Pada takat ini, bahan kompos nampak lembap tetapi tidak terlalu basah dan air tidak mudah meleleh apabila diperahkan dengan tangan.

iv)    Oksigen

Mikroorganisma memerlukan oksigen untuk pertumbuhan dan aktif. Apabila proses pereputan terhenti (suhu menurun), kita perlu dibalik-balikkan timbunan untuk menambah pengudaraan.

v)    Inokulum dan pH

Mikroorganisma yang terlibat dalam pembuatan kompos ialah bakteria, kulat dan actinimycetes. Proses penguraian organik menyebabkan keasidan kompos. Penggunaan kapur pada peringkat pembinaan longgokan adalah digalakkan.

4.    CARA MEMBUAT KOMPOS

i)    Bahan-Bahan

Sisa-sisa tanaman yang mengandungi bahan karbon yang tinggi dan mudah reput sesuai dijadikan sebagai bahan kompos. Antara bahan-bahan yang mudah diperolehi ialah jerami padi, batang jagung, sisa sayur-sayuran dan buah-buahan, batang tembakau dan sisa dapur. Selain itu najis-najis haiwan seperti tahi ayam, tahi lembu, tahi kerbau, ikan baja dan sisa pasar boleh juga digunakan. Bahan-bahan ini penting sebagai bahan tanambahan dalam timbunan kompos kerana nisbah C-N yang rendah dan terdapat banyak mikrob didalamnya. 

Bahan-bahan kimia seperti baja urea untuk membaiki nisbah C:N dalam timbunan. Baja CIRP untuk memberi tenaga permulaan dan mengaktifkan mikroorganisma. Baja kapur untuk menstabilkan kemasaman timbunan semasa proses penguraian bahan kompos.

Tanah atas berorganik boleh juga ditambah sebagai sumber mikroorganisma.

ii)    Peralatan

Alat-alat yang dipedukan ialah cangkul, skop, pencakar, penyiram dan kayu pancang dan tikar plastik. Alat-alat ini diperlukan untuk penyediaan tapak, membaja bmbunan, menyiram, mengalih dan menentukan kelembapan dan suhu.

iii)    Pemilihan kawasan:

Tapak untuk diletakkan timbunan kompos sebaiknya hendaklah rata, air tidak mudah bertakung. Sekiranya perlu di sekeliling tapak dibuat parit kecil untuk menyalir air yang berlebihan.

Ukuran tapak timbunan kompos yang biasa disyor dan digunakan ialah 1.2m hingga 1.5m lebar dan 2.5m hingga 3.0m panjang. Saiz ini adalah didapati bersesuaian.

iv)    Cara membuat

Letakkan bahan kompos selapis demi selapis hingga mencapai ketinggian 1.5m iaitu 5 lapisan. Setiap lapisan adalah 0.3m tinggi. Turutan bagi setiap lapisan ialah lapisan batang jagung/jerami padi yang telah dipadatkan (lebih kurang 50 kg). Diatasnya ditabur baja tahi ayam sebanyak 30 kg (1 kampit) dan diikuti dengan 1-2 kg urea dan 1-2 kg CIRP. Kemudian timbunan ini disiram dengan air sebanyak 10 liter. Ulang dengan cara yang sama untuk lapisan kedua.

Pada lapisan kedua ini, selepas batang jagung/jerami dan tahi ayam, sebanyak 1-2 kg kapur dan 1-2 kg CIRP ditabur diatasnya dan disiram. Perlu diingat, penggunaan kapur dan urea pada lapisan yang sama tidak digalakkan kerana akan berlaku perwapan N.

Selepas siap 4 lapisan, bahagian atasnya di tutup dengan batang jagung/jerami iaitu sebagai lapisan kelima dan disiram.

Pacak pancang kayu ditengah timbunan. Tujuan pancang ini ialah untuk menentukan samada penguraian timbunan beriaku atau tidak. Proses penguraian akan menghasilkan haba dan ini dapat diketahui apabila pancang kayu terasa panas. Sekiranya pancang ini kering siraman perlu dibuat.

Sekiranya pancang kayu ini tidak terasa panas lagi, ini menunjukkan proses penguraian telah berhenti atau periahan. Balik-balikkan timbunan ini supaya timbunan mendapat pengudaraan semula.  Biasanya keda-keda membalik-balikkan timbunan dilakukan setiap 3-4 minggu sekali sehingga semua batang jagung/jerami menjadi reput. Masa yang diambil untuk reput keseluruhan ialah diantara 2.5 hingga 3 bulan.

Selepas 60 % reput, adalah digalakkan timbunan kompos ini ditutup dengan tikar plastik atau dipindahkan ke kawasan berbumbung untuk mengelak daripada ditimpa hujan dan melarutlesapkan nutrien yang telah terurai.

Kompos yang telah matang kemudiannya dimasukkan ke dalam beg plastik dan sedia untuk digunakan atau diproses supaya kelihatan lebih menarik.

5.    INDEKS KEMATANGAN KOMPOS

Proses penguraian bahan-bahan organik akan menghasilkan kompos. Kompos yang matang berwama kehitam-hitaman coklat dan ringan, tidak berbau busuk, mudah hancur, bebas daripada bijibenih rumpai dan organisms perosak tanaman dan mudah digunakan.

Dari segi kimia, dalam kompos terdapat kira-kira 3% asid humik dan 5% asid fulvik. Kehadiran asid organik (humik dan fulvik) sangat penting dalam sistem tumbuhan. Asid organik ini mempermudahkan pergerakan nutden melalui sel tumbuhan dan bertindak sebagai 'pembawa' nutrien yang tak mobil melalui sel -sel tumbuhan.

6.    KEGUNAAN KOMPOS

Penggunaan baja kompos secara berterusan dapat mengekalkan sifat-sifat kimia, fizikal dan biological tanah disamping membekal nutrien tumbuhan. Perusahaan pertanian yang intensif dan berterusan dengan penggunaan baja kimia menyebabkan kandungan bahan organik dalam tanah berkurangan, tanah menjadi padat dan 'mati'. Disamping itu, hasil tanaman juga semakin merosot. Di Malaysia, kehilangan karbon organik adalah tinggi (4.5 tan hektar setiap tahun). Baja kompos sesuai digunakan seperti berikut;

i)    Tanah campuran

Kompos boleh digunakan sebagai bahan organik dalam penyediaan tanah campuran. Kadar campuran 4 bahagian tanah, 2 bahagian kompos dan 2 bahagian pasir adalah bersesuaian untuk membaiki struktur, meningkat KPK dan keupayaan pegangan air yang baik.

ii)    Lapisan penggalak pertumbuhan dalam pasu dan polibeg

Isikan pasu atau polibeg dengan tanah campuran separuh penuh, kemudian tambahkan satu lapisan baja kompos setebal 2-4 cm dan seterusnya penuhkan pasu atau polibeg dengan dengan tanah campuran.

iii)    Baja asas

Untuk tanaman sayuran di tanah mineral, gunakan 1-3 tan hektar kompos sebagai baja asas ditabur diatas batas dan dibalik-balikkan tanah 1-2 minggu sebelum menabur benih.

Bagi tanaman seperti cili, tembikai dan tembakau, kompos boleh diletakkan didalam lubang tanaman semasa menanam dengan kadar 0.5-2 kg sepokok.

Untuk tanaman padi pula, kadar 3-6 tan hektar disyorkan dengan menabur sebelum menanam atau dalam tempoh sebelum pokok padi berumur satu bulan.

iv)    Baja lubang

ntuk pokok buah-buahan, masukkan baja kompos dengan kadar 10-20 kg didalam lubang tanaman dan digaulkan dengan tanah sebelum menanam anakbenih.Pembajaan kompos seterusnya dibuat tiap-tiap tahun dengan kadar 10-50 kg sepokok dengan memasukkan didalam lubang di empat penjuru pokok.

7.    PENUTUP

Kebaikan baja kompos adalah sebagai pemulih dan penyubur tanah disamping dapat membekalkan nutrien yang lengkap dan berterusan. Kompos tidak mengandungi bijibenih rumpai dan pathogen perosak tanaman. Kepada pencinta alam sekitar dan pengamal pertanian organik, kompos menjadi pilihan utama sebagai sumber baja. Hasil tanaman adalah lebih bermutu dan bebas dari pencemaran, walaupun jumlah hasil berkurangan sedikit (5-20%). 

Kombinasi baja kompos dan baja kimia dapat mengekalkan sifat kimia, fizikal dan biologikal tanah, disamping memaksimumkan pengeluaran secara berterusan.Kos pengeluaran juga dapat dikurangkan.

 

RUJUKAN

Haga, K. (1990).Production of compost from organic wastes.National Inst. of Agro-Environmental Sci.Japan.

Mohd Razi, M.N. (1995). Pemprosesan kompos lepas tuai. - Nota Kursus Kompos KPW Peringkat Kebangsaan di KPBT Perlis pada 16-18 Mei 1995.

Mohd Razi, M.N. (1997).Teknik pembuatan kompos.- Nota Kursus kepada pegawai-pegawai Jabatan Pertanian Negeri Perlis di KPBT Perlis pada 6 Disember 1997.

MohdRazi,M-N-danY.Azman.(1997). Pemerhatian pembuatan kompos jerami padi. - Laporan Teknikal Bahagian Penguruusan Tanah, Jab.Pertanian Teluk Chengai, Kedah.

Muhammad Pilus, Z. (1989). Status penggunaan baja organik dalam pertanian. - Kertas kerja 'Seminar Penggunaan baja Organik' di Pusat Latihan Pertanaian Charok Padang, Sik pada 5-6 Jun 1989 - Jabatan Pertanian Neged Kedah.

Norhayati Moris dan M. Verloo. (1984).Characterisation of organic matter in four soils of Peninsular Malaysia. 1. Extraction, fractionation and purification of humic subtances.J. Rubb.Res.Inst.Malaysia, 32(l), 30-39.

Zulkifli H. S., Ahnad Husni M. H. dan Anuar A.R. (eds.) (1994).Combined use of chemical and organic fertilizers.Proc. Proper use of chemical fertilizers combined with organic fertilizers in crop production.UPM. pp. 253.

17 Januaii 1998 

disalin oleh anirahim@tm.net.my 31 Januari 2001 9.00 malam

|| Home ||