Soalan esei dalam kertas peperiksaan SPM 1997 telah diselitkan dengan kemahiran berfikir.
Biar kita mengkaji beberapa contoh soalan esei dan cara menjawab soalan berkenaan.
Contoh 1 : [soalan
SPM no. 4 (b)]
Bahan G ialah serbuk yang mudah terbakar dan bertakat
lebur 120oC. Huraikan bagaimana anda menjalankan
eksperimen untuk menentukan takat lebur bahan G. Jawapan anda hendaklah menunjukkan
bagaimana takat lebur bahan G itu ditentukan.
Pengetahuan yang sedia ada :
Pelajar telah menjalankan eksperimen untuk menetukan takat lebur naftalena (80oC) dengan menggunakan air panas.
Kemahiran berfikir :
Bahan G yang diberi dalam soalan itu bertakat lebur 120oC
. Ini bermakna air tidak boleh digunakan untuk memanaskan bahan G sehingga lebur kerana
takat didih air hanya 100oC. Pelajar
haruslah berfikir apakah bahan kukus lain yang sesuai untuk menggantikan air. Bahan
yang sesuai digunakan ialah seperti minyak pelincir, minyak masak,
dan minyak galian.
Contoh 2 : [soalan
SPM no. 2 (b)]
(i) Dengan melukis gambar rajah susunan radas, huraikan satu eksperimen
untuk menunjukkan kehadiran mangkin kuprum(II) sulfat mempengaruhi kadar tindak balas
antara asid hidroklorik cair dengan zink untuk menghasilkan gas hidrogen.
(ii) Dalam eksperimen (b)(i) ion sulfat dalam kuprum(II) sulfat
tidak berperanan sebagai mangkin. Dengan menggunakan bahan tindak balas dalam
eksperimen (b)(i), huraikan dengan ringkas bagaimana anda membuktikan bahawa ion sulfat
tidak berperanan sebagai mangkin.
Pengetahuan yang sedia ada :
Pelajar telah menjalankan eksperimen untuk menunjukkan kehadiran mangkin boleh
mempengaruhi kadar tindak balas secara mengumpulkan gas yang terbebas dalam eksperimen
tertentu dan membangdingkan kadar tindak balas berdasarkan graf.
Kemahiran berfikir :
Pelajar boleh menjawab bahagaian (i) berdasarkan pengetahuan yang sedia ada. Untuk
menjawab bahagian (ii), pelajar haruslah berfikir bahawa ion
sulfat bukan mangkin maka ion kuprum(II) mestilah mangkin. Jika ion sulfat bukan mangkin ,
maka larutan garam sulfat lain tidak akan memberi kesan kepada kadar tindak balas.
Jadi, pelajar boleh mengulangi eksperimen yang dihuraikan dalam bahagian (i) dengan
menggunakan larutan garam sulfat lain seperti larutan natrium
sulfat, larutan kalium sulfat dan lain-lain.
Kesimpulan
Semasa menjawab soalan esei yang terselit dengan kemahiran berfikir, anda haruslah mengambil langkah-langkah berikut:
1. Baca soalan dengan teliti, gariskan atau bulatkan maklumat penting yang diberikan.
2. Berfikir dahulu sebelum anda menjawab :
(i) Adakah pengetahuan yang sedia ada boleh
digunakan untuk menjawab secara 100% ?
(ii) Perlukah bahan kimia tertentu digantikan dengan bahan kimia lain ?
(iii) Perlukah susunan radas diubahsuai ?
(iv) Perlukah keadaan eksperimen seperti suhu, tekanan, atau kepekatan
larutan diubah ?