Bar Council Resolution


October 10, 1998

Resolusi-resolusi yang diluluskan oleh Badan Peguam Malaysia pada Mesyuarat Agung Luar Biasa pada hari Sabtu, 10 Oktober 1998, pada jam 10.00 pagi bertempat di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

RESOLUSI PERTAMA

Badan Peguam Malaysia dalam melaksanakan tugas-tugasnya sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 42 (1) (a) Akta Profesion Undang-Undang, 1976 bagi menegakkan keadilan tanpa menghiraukan kepentingannya sendiri atau kepentingan ahlinya tanpa dipengaruhi perasaan takut atau memihak kepada sesiapa

- melihat dengan keprihatinan yang amat mendalam akan penahanan beberapa individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan perkembangan perundangan terkini yang berhubung kait dengannya;

- mengulangi penegasannya bahawa ISA merupakan satu undang-undang yang amat jijik yang mencemarkan hak asasi manusia, prinsip-prinsip asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang.

- menyeru supaya semua orang yang ditahan di bawah ISA sama ada dibebaskan atau didakwa secepat mungkin di mahkamah dan supaya hak untuk mendapat perbicaraan yang adil dan keadilan dikekalkan.

- menuntut supaya semua anggota Badan Peguam Malaysia yang bertindak membela anakguam mereka dibenarkan menjalankan tugas mereka dengan bebas tanpa sebarang gangguan, halangan atau sekatan oleh pihak berkuasa.

RESOLUSI KEDUA

BAHAWASANYA

1. Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi yang menyemadikan hak-hak asasi dan kebebasan rakyat.

2. Hak seseorang untuk dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang yang dipilih sendiri, hak untuk dilayan secara adil di depan pihak berkuasa serta hak kepada perlindungan yang saksama oleh undang-undang, hak kepada kebebasan bersuara dan menyatakan perasaan, hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, hak menubuhkan persatuan serta hak untuk bergerak secara bebas ke seluruh Persekutuan merupakan hak-hak dan kebebasan yang sedemikian.

3. Kesetiaan mematuhi kedaulatan undang-undang serta prinsip-prinsip keadilan asasi mengesyorkan sebuah masyarakat yang bebas, adil dan berteladan.

DAN BAHAWASANYA

4. Sejak kebelakangan ini, beberapa orang telah ditangkap serta ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 (ISA) (Akta 82):-

(a) kerana pertuduhan kesalahan-kesalahan, menyebarkan khabar angin, mengklonkan telefon dan melindungi pendatang haram;

(b) kerana menyuarakan pandangan yang menentang;

(c) kerana menjadi ancaman untuk disoal siasat atas hal-hal yang tidak dibayangkan oleh Akta tersebut.

5. a) Kesalahan-kesalahan yang tersebut di permulaan 4 (a) boleh didakwa di bawah beberapa undang-undang lain yang telah digubal oleh Parlimen;

b) Menyatakan pandangan yang menentang adalah hak asasi seorang individu;

6. Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 (Akta 82) secara berterusan serta menghalang perundingan guaman bagi orang-orang yang ditahan di bawahnya merupakan penyalahgunaan serta salahperlakukan kuasa.

7. a) Pihak polis telah menghendaki pengamal-pengamal undang-undang yang mewakili orang-orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 sejak kebelakangan ini, menghadirkan diri untuk disoal siasat dalam keadaan yang sama seperti gangguan yang berkali-kali serta campur tangan dalam perlaksanaan tugas-tugas mereka.

b) Pihak polis, baru baru ini, telah menahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960, Encik Zulkifli Noordin dan Encik Ruslan Kassim, ahli Badan Peguam Malaysia;

8. Penuntut dan pegawai-pegawai awam telah diberi amaran bahawa tindakan tata tertib akan diambil terhadap mereka sekiranya didapati mereka telah menghadiri perhimpunan yang diadakan untuk menyatakan pandangan yang menentang. Orang-orang awam juga telah diberi amaran supaya tidak menghadiri perhimpunan yang sedemikian.

9. Pihak polis nampaknya telah menggunakan kuasa yang keterlaluan serta berlebihan-lebihan ketika:-

a) menyuraikan perhimpunan yang aman serta menahan orang yang terlibat dalam perhimpunan itu;

b) menahan Dato' Seri Anwar Ibrahim. 10. Dengan membatasi hak orang awam serta wartawan menziarahi Datin Seri Dr. Wan Azizah, pihak berkuasa, secara tidak wajar, telah menyekat kebebasan bersuara, bergerak serta pergaulan.

11. Pihak berkuasa telah membatasi secara tidak wajar, penyebaran maklumat dengan menyekat laporan berita oleh pihak media massa.

12. Penyebaran melalui media, empat afidavit yang difailkan bagi pihak pendakwa berkaitan dengan permohonan yang difailkan oleh Datuk Nallakaruppan untuk dikembalikan ke penjara Sungai Buloh, kenyataan yang dibuat, antara lain, oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Perdana Menteri berhubung dengan dakwaan kesalahan melakukan seks yang tidak sopan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, membangkitkan isu-isu yang serius termasuk mencampur tangan dalam perlaksanaan keadilan, perbicaraan melalui media serta penghinaan mahkamah.

13. Kenyataan oleh Ketua Hakim Negara bahawa sesuatu afidavit, setelah difailkan, menjadi dokumen awam, adalah tidak wajar memandangkan bahawa isu yang berkenaan masih belum diputuskan oleh mahkamah.

14. Dengan cara beliau memecatkan Menteri Kewangan dari jawatannya pada 2/9/98, Perdana Menteri seolah-olah kurang mempedulikan Perlembagaan, khususnya Artikel 43 (5) dalam Perlembagaan.

15. Terdapat juga kejadian di mana pihak Peguam Negara seolah-olah gagal melaksanakan tugas beliau dengan sewajarnya.

DAN BAHAWASANYA

16. Badan Peguam Malaysia mempunyai tugas statutori, antara lain, menegakkan keadilan, tanpa menghiraukan kepentingannya sendiri atau kepentingan ahli-ahlinya, tidak dipengaruhi oleh ketakutan atau memihak kepada sesiapa, serta melindungi dan membantu pihak awam dalam semua hal yang menyentuh, bersampingan serta berhubung dengan undang-undang.

17. Badan Peguam Malaysia menganggapkan perkara-perkara di atas sebagai peristiwa-peristiwa yang tidak berpatutan serta sikap tidak mengendahkan yang terang-terangan terhadap Perlembagaan Persekutuan, Kedaulatan Undang-Undang, doktrin pemisahan kuasa dan prinsip-prinsip keadilan asasi.

18. Badan Peguam Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap menegakkan dan membela Kedaulatan Undang-Undang, Perlembagaan Persekutuan serta prinsip-prinsip keadilan asasi tanpa ketakutan atau memihak kepada sesiapa serta tepat pada masanya.

DENGAN INI DIPUTUSKAN:-

1. Agar Badan Peguam Malaysia menyeru kepada Kerajaan supaya

(a) menghormati dan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang, Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip keadilan asasi;

(b) menghormati, mempertahankan serta memberi perlaksanaan sepenuhnya terhadap hak-hak dalam Perlembagaan bagi kebebasan bergerak, berhimpun, bergaul, bersuara serta menyatakan perasaan bagi semua orang;

2. Badan Peguam Malaysia menyeru kepada pihak Eksekutif, Badan Perundangan serta Badan Kehakiman supaya mematuhi dan mengekalkan pemisahan kuasa sepertimana dibayangkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

3. Agar Badan Peguam Malaysia menyeru kepada Peguam Negara:

(a) supaya menjalankan tugasnya yang sebenar sepertimana bersesuaian dengan peranannya sebagai pemelihara kepentingan pihak awam;

(b) supaya memastikan bahawa sistem keadilan terpelihara dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengadakan perbicaraan melalui media;

(c) supaya bertindak tanpa perasaan takut atau memihak kepada sesiapa;

(d) supaya memiliki sebagai keprihatinan utamanya untuk memelihara kedaulatan undang-undang agar tidak akan berlaku huru-hara;

(e) supaya memelihara nilai-nilai dalam kehidupan awam dan sektor swasta.

4. Agar Badan Peguam Malaysia mengutuk penggunaan berterusan Akta Keselamatan Dalam negeri, 1960 yang bersifat menindas dan meminta:

(a) pemansuhan serta merta Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960;

(b) pembebasan serta merta semua tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960, dan sekiranya perlu mendakwa dan membicarakan mereka di Mahkamah;

5. Agar Badan Peguam Malaysia mengutuk halangan oleh pihak berkuasa berkenaan terhadap hak mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 untuk mendapat khidmat guaman dari peguam pilihan sendiri. 6. Badan Peguam Malaysia mengecam gangguan terhadap ahli-ahli profesion undang-undang ketika melaksanakan tugas-tugas mereka, oleh pihak polis;

7. Badan Peguam Malaysia mengecam sebarang penggunaan kekerasan yang keterlaluan serta berlebihan oleh pihak polis ketika menjalankan tugas mereka dan menyeru kepada pihak polis supaya mengamalkan sikap menyekat kekerasan yang sewajarnya pada setiap masa ketika menjalankan tugas mereka.

8. Badan Peguam Malaysia mengecam amalan jijik dan tidak diingini akan perbicaraan melalui media dan menyeru pihak media supaya memelihara peranannya yang sebenar dan bertanggung jawab.

9. Majlis Peguam akan mengambil tindakan segera yang bersesuaian untuk memberi keberkesanan terhadap resolusi-resolusi di atas dan Majlis Peguam harus, mulai sekarang, mengambil tindakan segera, apabila dan sebaik sahaja perkara-perkara berkenaan timbul, konsisten dengan tugas-tugas Badan Peguam Malaysia sepertimana tersebut dalam perkara permulaan 16 dan 18 di atas dan seksyen 42 Akta Profesion Undang-Undang, 1976.

RESOLUSI KETIGA

Badan Peguam Malaysia amat prihatin tentang dakwaan dipukul ketika dalam tahanan yang dibuat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Encik Tian Chua dan orang-orang lain yang ditangkap berhubung dengan perhimpunan-perhimpunan awam baru-baru ini;

Badan Peguam Malaysia tidak menganggap bahawa penubuhan Jawatankuasa Penyiasatan Polis sebagai langkah yang wajar diambil untuk menangani aduan mengenai kekejaman polis.

Badan Peguam Malaysia menyeru pihak Kerajaan supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Penyiasatan DiRaja Bebas yang terdiri daripada orang-orang yang integriti mereka tidak dipertikaikan, bagi menyiasat semua aduan-aduan mengenai kekejaman polis sejak kebelakangan ini. Suruhanjaya berkenaan akan menyiarkan kepada umum segala laporan dan cadangannya.

RESOLUSI KEEMPAT

BAHAWASANYA

1) Kebebasan menyatakan perasaan, pergaulan serta pergerakan adalah hak asasi manusia yang termaktub di dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sedunia dan diakui oleh ukuran-ukuran hak asasi manusia antarabangsa. 2) Tiada sesiapa yang harus dihukum dengan penangkapan dan penahanan, atau dengan mengenakan sekatan dan syarat-syarat terhadap penyuaraan perasaannya, pergaulannya dan/atau pergerakannya, tanpa didakwa dan dibicarakan di Mahkamah.

DENGAN ITU BADAN INI MEMUTUSKAN BAHAWA:-

1. Badan Peguam Malaysia menerima pakai pendirian bahawa semua undang-undang yang membenarkan penangkapan serta penahanan tanpa bicara, serta yang mengenakan sekatan dan syarat-syarat tanpa bicara adalah bercanggah dengan kedaulatan undang-undang dan ukuran-ukuran hak asasi manusia antarabangsa serta norma-norma dan nilai-nilai ugama yang menjadi pegangan.

2) Badan Peguam Malaysia menyeru untuk

(a) pemansuhan semua undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara, khususnya Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960, Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah), 1969, Akta Dadah Merbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas), 1985 dan Enakmen Penetapan Terhad, 1933; dan

(b) pembebasan segera tanpa syarat semua orang yang ditangkap dan ditahan di bawah ketiga-tiga undang-undang pertama tersebut dia atas;

(c) Penyingkiran segera dan/atau pembatalan semua perintah yang mengenakan sekatan dan syarat-syarat di bawah undang-undang yang tersebut di atas, keatas semua orang, berhubung dengan penyuaraan perasaan, pergaulan dan pergerakan, tanpa bicara;

(d) Majlis Peguam mengambil semua langkah yang perlu bagi merealisasikan resolusi-resolusi tersebut di atas.

Back to other Bar Council Statements


1