AL-MANAHIL Suku Kaum Melanau Sarawak

gerak7.gif (42442 bytes)

Suku Kaum Melanau Sarawak

Bumi Kenyalang sememangnya kaya dengan pelbagai hasil bumi, kehijauan dan masyarakat penduduknya yang pelbagai suku dan etnik. Setiap suku mempunyai keistimewaan dan warisan budaya masing-masing yang unik. Dan setiap suku kaum mempunyai tanggapan kepada kefahaman keagamaan yang berbeza di antara satu sama lain.

Sebahagian daripada mereka telahpun mendapat petunjuk daripada Tuhan Yang Maha Esa dan sebahagian lagi masih kekal dengan fahaman animisme yang diwarisi sejak turun temurun. Pengaruh Kristian juga agak hebat merebak di kalangan mereka

Di antara suku kaum ini yang agak penting ialah suku kaum Melanau yang merupakan komoniti penting dalam kemasyarakatan Borneo. Menurut bancian pada tahun 1960, suku kaum Melanau yang menetap di Sarawak berjumlah 44, 661 orang.

Fahaman Keagamaan:

Suku kaum ini juga tidak terlepas daripada menerima pengaruh daripada agama Islam. Malah Islam adalah agama utama masyarakat Melanau. Daripada sejumlah 44,661 penduduk menurut bancian 1960; 31,770 daripadanya adalah beragama Islam. Ini bererti sejumlah 71 peratus adalah Islam. Satu jumlah yang besar. Manakala sejumlah 10,841 daripadanya masih lagi menganut fahaman tradisional yang berbentuk penyembahan roh, semangat dan sebagainya. Jumlah penduduk Melanau yang menganut Kristian pula berjumlah 2,050 orang.

Kadar kelahiran yang tinggi di kalangan masyarakat ini menyaksikan pertambahan penduduk yang agak pesat. Contohnya; menurut bancian pada tahun 1992, jumlah suku kaum Melanau adalah seramai 96,000 orang; pertambahan lebih daripada sekali ganda dalam jangka masa tiga puluh tahun. Jumlah ini mewakili 5.8 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Sarawak1. Tetapi perangkaan penduduk berdasarkan klasifikasi agama yang terkini tidak dapat dikesan.

Penempatan utama:

Penempatan utama masyarakat Melanau tertumpu di kawasan muara sungai dan juga di kawasam persisiran pantai. Ini kerana mereka agak bergantung hidup dengan bertani dan menangkap ikan. Mereka juga adalah penanam utama rumbia di Sarawak dan mempunyai kebolehan yang tiada tandingannya dalam penyedian makanan berasaskan rumbia seperti sagu dan biskut.

Kawasan penempatan mereka boleh dibahagikan dua seperti berikut;

1- kawasan berhampiran laut: Rajang, Paloh, Bebuai, Daro, Matu, Igon, Oya, Mukah dan Bintulu

2- kawasan pedalaman: Dalat, Medong, Kut. Norub, Balingian dan Tatau2.

Keadaan muka bumi yang berbukit bukau, paya dan hubungan yang sukar di antara satu kawasan dengan satu kawasan yang lain menyebabkan wujudnya perbezaan yang ketara di dalam dialek pertuturan mereka. Walaupun ada perbezaan dialek sesama mereka tetapi mereka masih lagi boleh dikelaskan di dalam satu kumpulan budaya dengan watak sosiobudaya tertentu.

Organisasi sosial:

Suatu masa dahulu; klafikasi masyarakat berdasarkan pangkat dan kedudukan wujud dalam kehidupan seharian masyarakat Melanau. Kedudukan seseorang di rumah panjang menentukan pangkatnya. Contohnya golongan atasan akan tinggal di bahagian tengah rumah panjang; sementara golongan yang lebih rendah akan tinggal di bahagian yang agak kepenghujung rumah. Masyarakat bawahan akan tinggal di penghujung rumah panjang dan bertindak sebagai pengawal. Secara amnya pengkelasan masyarakat yang pernah wujud suatu ketika dahulu adalah berdasarkan turutan berikut;

a) bangsa Pengeran: pangkat tertinggi dan merupakan bangsawan Brunei yang mewakili sultan Brunei dan bertugas mengumpul cukai.

b) bangsa sembilan Pikul (A-Metahei) pangkat tertinggi Melanau

c) bangsa Tuju' pikul : bangsa kelas pertangahan

d) bangsa Tuju' Betirih: orang tahanan dan hamba

e) Dipen : golongan hamba abdi3.

Akan tetapi sistem pengkelasan berdasarkan pangkat ini hampir tidak wujud lagi sekarang. Lebih-lebih lagi mereka sekarang menghuni di rumah-rumah berasingan bukan lagi rumah panjang.

A d a t  d a n  k e p e r c a y a a n :

Seperti mana kebanyakan masyarakat pribumi setempat lainnya, masyarakat Melanau tidak terlepas daripada mewarisi adat istiadat dan kepercayaan yang bercorak animisme. Terutamanya mereka yang masih lagi menganut agama tradisional. Menurut kepercayaan mereka, makhluk halus biasanya menetap di anak sungai, pokok, batu dan sebagainya. Bagi makhluk halus yang lebih tinggi, ia akan tinggal di kawasan yang lebih strategik dan luas seperti muara sungai, laut dan hutan. Ianya dikenali sebagai ipok dan dipuja setiap tahun dalam Perayaan Kaul.

Kepercayaan seperti ini membawa kepada pemujaan makhluk-makhluk halus tersebut untuk menghindari pengaruh kuasa ghaib. Di sinilah munculnya peranan bomoh sebagai perantara dalam sistem kepercayaan masyarakat ini. Suatu yang menarik mengenai kepercayaan animisme Melanau ialah; tuhan yang menguasai segala aspek kehidupan dikenali sebagai Allah atau Allah Taala4. Tetapi perlu diingat, hanya istilah yang dipinjam bukan isinya. Ini dengan jelas menunjukkan pengaruh agama Islam yang telahpun sampai ke Nusantara sejak berdekad lamanya.

Beberapa perayaan utama masyarakat melanau ialah:

i- perayaan Kaul: dirayakan setiap tahun dengan tujuan memuja semangat laut (ipok kala) supaya mewujudkan kedamaian dan menambahkan hasil tangkapan.

ii- Permainan Tibow: merupakan upacara kesuburan. Semasa memainkan permainan itu, mereka akan menyanyikan pantun-pantun tertentu mengharapkan agar pokok dan tumbuhan berbuah lebat dan ikan banyak membiak.

Selain itu, tahyul dan pantang larang merupakan antara asas dalam kepercayaan animisme. Hampir semua kegiatan harian mereka mempunyai larangan dan pantang yang perlu dijauhi. Sebagai contoh; sekiranya seseorang itu hendak pergi menebang dan terserempak dengan tikus di pertengahan jalan, maka dia perlu berpatah balik kerana bagi mereka tikus adalah jelmaan iblis atau amow.

Pantang larang ini juga melibatkan semua peringkat umur seseorang. Bermula daripada ibu mengandung, selepas bersalin, zaman kanak-kanak, cukur rambut, zaman bujang, selepas berkahwin dan mati semuanya dipenuhi dengan pantang larang yang perlu dipatuhi5. Sekiranya dilanggar pantang larang tersebut maka tulah akan mengenai orang tersebut.

Itulah secara sepintas lalu mengenai Kaum Melanau yang merupakan komoditi keempat terbesar di Sarawak selepas kaum Iban, Cina dan Bidayuh6.

Secara amnya; kita bersyukur kerana majoroti masyarakat ini mempunyai iktikad yang sama dengan kita. Kebanyakan mereka adalah Islam dan kebanyakan mereka beriman dengan keesaan Allah. Cuma yang menjadi kebimbangan kepada kita ialah usaha yang semakin hebat daripada golongan Kristian dalam usaha mereka melebarkan cengkaman Kristian di kalangan masyarakat pribumi Borneo. Justeru itu prihatin dan tumpuan yag lebih serius daripada semua pihak yang bertanggungjawab amatlah diharapkan semoga Islam terus subur di sana dan berkembang. ª

_________________

1 A. Nizamuddin Sulaiman: Integrasi Kaum Di Sarawak:2

2 Yassir Abd Rahman: Melanau Mukah: 2

3 Yassir Abd Rahman: Melanau Mukah:11-15

4 Yassir Abd Rahman: Melanau Mukah: 19.

5 Pantang larang tersebut boleh di dapati dalam "Yassir Abd Rahman: Melanau Mukah:35-52.

6 A. Nizamuddin Sulaiman: Integrasi Kaum Di Sarawak:2.

1