*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  hizb@hizbi.net         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke iklan@hizbi.net     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
                  Subject:     Sebak Yang Kian Terasa..                                                               
                                                                                                                                             
                                                                                                                          



Assalamualaikum,

Membaca rencana di akhbar Berita Harian hari ini (artikel dilampirkan),
membuatkan hati saya merasa cukup sebak dan sedih teramat.

Dimanakah nilai kemanusiaan masyarakat kita hari ini. Mungkin benar apa
yang dikata, "Kisaran nilai-nilai hidup dan terhakisnya kesantunan
masyarakat adalah akibat dari kecuaian kita sendiri."

Mungkin ini yang dikatakan salah satu 'dosa' demokrasi. Jurang perbezaan
semakin ketara. Yang kaya bertambah kaya dengan sifat ego dan nafsu menjadi
panduan hidupnya. Dan yang miskin bertambah miskin dengan desakan
hidup dan dendam yang kian bergelora.

Atau mungkinkah 'pembunuh' sebenar adalah agama samar di dalam bingkai
minda penganut yang tak berjiwa, juga demi hanya pemilikan kecil wang yang
menjadi syarat rebutan.

Atau mungkinkah benar ramalan Gandhi ," and the whole world will be
blind...."

Untuk menyelami apa sebenarnya yang saya rasa, sila hayati rencana dibawah.

Berita Harian: Rencana
Dialog: Nyawa manusia diperlekeh kerenah birokrasi

BARU-BARU ini, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti
Malaya dikejutkan dengan berita kematian seorang pelajar tahun akhir,
Suryani Ahmad kerana kanser tulang.

Penyakit Suryani dikesan akhir Mac 2002 dan beliau cuma tinggal tiga bulan
untuk hidup. Itu tidak mematahkan semangatnya untuk berusaha mencari
rawatan. Suryani dirawat di Hospital Taiping, Hospital Ipoh dan Pusat
Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bapanya seorang pesara tentera dan bergantung hidup daripada wang pencen
serta perniagaan kecil-kecilan di pasar malam.

Apa yang menyedihkan, Suryani tidak diberi rawatan percuma di PPUM. Beliau
terpaksa menanggung kos perubatan, antaranya satu dos ubat berharga RM62
sekali suntikan sedangkan ubat yang diperlukan lebih daripada lima dos.

Saya hairan apabila Suryani tidak diberi rawatan percuma meskipun sudah
menunjukkan kad pelajar, malah perlu ada surat pengesahan bahawa beliau
adalah pelajar universiti itu.

Saya rasa prosedur itu relevan jika pesakit belum mencapai tahap kritikal
tetapi dalam kes Suryani, beliau amat memerlukan ubat, malangnya terpaksa
menunggu dan tidak dapat menerima rawatan sempurna kerana tidak mempunyai
wang yang cukup.

Beliau bernasib baik kerana mempunyai sahabat yang sanggup menawarkan wang
membayar kos itu.

Persoalannya, di manakah letaknya perikemanusiaan PPUM hingga sanggup
melambatkan rawatan hanya kerana tidak ada wang untuk membayarnya. Ketika
arwah meninggal dunia, PPUM tidak mahu menghantar jenazah pulang ke kampung
untuk dikebumikan kerana bapanya tidak dapat membayar kos ambulans RM370.

Selepas puas bapanya merayu barulah mereka setuju menghantarnya dengan
syarat bayaran mesti dijelaskan pada hari yang sama. Lalu bapanya menyuruh
keluarga di kampung mengutip derma untuk menanggung kos penghantaran
jenazah.

Setibanya di kampung, pemandu menuntut bayaran RM370 walaupun harga yang
dipersetujui adalah RM300 dan katanya, tambahan itu untuk bayaran tol
sedangkan kenderaan jenis itu tidak dikenakan tol.

Saya kecewa dengan perkhidmatan PPUM. Sepatutnya, hospital kerajaan
memudahkan rakyat terutama yang berpendapatan rendah. Saya tidak menyangka
prosedur di hospital lebih penting berbanding nyawa manusia. Ini
menunjukkan berlaku ketidakadilan di Malaysia antara golongan miskin dengan
kaya.

ANTIKEJAM,
Kuala Lumpur.


source: Berita Harian rabu 03 Julai 2002


Pengirim: "Fauziah Mustaffa" <jeey@bnm.gov.my>