RE: Suara Sekularis Melayu-Islam


Mohd Nazmi Yaakub

Saudara Pengarang,

Membaca artikel Rahmat Haron, "Suara Sekularis Melayu-Islam" mendesak saya mengulang-ulangnya. Mesej Rahmat cukup besar dan dalam beberapa keadaan mengelirukan, sehingga mencetuskan idea-idea yang agak mengejutkan.

Saya memang pada mula-mulanya tertanya-tanya maksud sebenar, walaupun, pada latarnya kelihatan Rahmat mahu memperjuangkan kebebasan peribadi dan ketidakwajaran negara ikut campur dalam soal peribadi. Ia kemudiannya meleret kepada pemahaman makna sekularisme.

Adalah benar kepercayaan sesuatu yang peribadi sifatnya - seperti anggapan Rahmat dan tidak ada mana-mana pihak boleh memaksa individu menganut sesuatu kepercayaan. Ia sudah pun digazetkan dalam al-Quran berdasarkan ayat 256 dalam surah al-Baqarah, "Tidak ada paksaan untuk [memeluk] agama [Islam]. Sesungguhnya kebenaran telah jelas [terpisah] daripada kesesatan. Justeru, barangsiapa mengengkari taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang amat kuat dan tidak akan terputus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Tegahan dalam paksaan ini kerana iman memerlukan hujah dan dalil, bukannya unsur kekerasan. Apabila Allah melarang memaksa orang bukan Islam memeluk Islam, yang sudah tentu agama yang tinggi dan tidak ada yang tinggi daripadanya, tentulah adalah lebih tidak wajar memaksa mana-mana individu memeluk agama atau mengambil kepercayaan lain. Meski pun begitu, kebebasan ini tidak bererti orang Islam boleh pula memeluk agama lain, atau dengan makna paling tepat, murtad.

Apabila seseorang menerima seruan Islam dan berada dalam lingkungan keimanan ini sudah tentulah dia meyakini kebenaran Islam. Islam datang dengan hujjah dan dalil, sehingga keimanan bukan semata-mata taqlid atau ikut-ikutan, sebaliknya keyakinan terhunjam kukuh, seperti pohon kukuh berakar memegang erat bumi. Dalam keadaan ini tentu adalah sesuatu yang tidak logik dan waras, kalau dia meninggalkan sesuatu yang paling tinggi dan paling baik, untuk berada dalam lingkungan paling rendah! Sebab itulah, dalam konteks riddah, maka hukum had adalah hukum bunuh setelah diberikan tempoh tertentu untuk bertaubat .

Sekira-kiranya seseorang itu sudah berada dalam kawasan yang cerah, aman dan bahagia, apakah logik dan waras kalau dia menuju ke tempat yang gelap, kacau dan resah?

Islam tidak lahir hanya berdasarkan iman, tetapi Islam lahir dengan syariat yang menggalurkan alur kehidupan manusia. Justeru, Islam tidak hanya diperintahkan di Makkah, sebaliknya perintah hijrah dipatuhi supaya Islam kemudiannya dapat dipraktikkan sepenuhnya. Maka, pada zaman Madaniah, banyak hukum-hakam sama ada berkaitan ibadat, mu'amalat, munakahat dan jinayah diturunkan.

Apabila saya membaca pertanyaan Rahmat seperti, "Berapa ramai - manusia yang dilahirkan sebagai Melayu Islam - yang telah diperkosa kemerdekaan peribadinya kerana dosa ber'khalwat', ber'zina', minum 'arak' atau mempraktikkan kebebasan seksualiti mereka?" saya pun tertanya-tanya adakah ia bermakna kebebasan perlu diberikan kepada 'Melayu Islam' ini untuk melakukan apa-apa sahaja tanpa perlu berdasarkan Islam yang dianuti? Justeru, apa guna Islam kalau kita bebas melakukan apa sahaja, termasuk menunggang-langgangkan tegahan? .

Apatah lagi, saya makin keliru apabila Rahmat menyebut, "Untuk mereka yang bernasib baik, lahir sebagai bukan Melayu Islam, saya dapat faham mengapa mereka begitu risau dengan agenda anti-sekular, negara Islam Pas." Apakah maksud Rahmat apabila menyebut mereka bernasib baik dilahirkan dalam keadaan kufur? Adakah ini bermakna mereka yang lahir dengan syahadah bernasib malang?

Paling mengejutkan saya apabila membaca tulisan Rahmat, "Dan saya kira, mereka yang dilahirkan sebagai Melayu Islam setelah melalui proses sosialisasi, pengalaman, pendidikan dan pembacaannya, juga punya hak untuk menjadi apapun, sebagai pilihan peribadinya. Kerana sekularisme tidak menjadikan mereka yang lahir sebagai Melayu Islam sebagai kekecualian praktisnya. Seharusnya dia bebas memilih untuk menjadi Islam, untuk menjadi atheis, untuk menjadi agnostik dan untuk memilih anutan agama-agama lainnya. Pilihlah apapun; agama, atheisme dan kepercayaan-kepercayaan yang ada, sejauh ia tidak akan menyebabkan campurtangan negara ke dalam hidup peribadi."

Saya cuba mengelakkan daripada menghukum, tetapi apa yang mahu saya tegaskan iktikad seperti ini amat berbahaya sekiranya diyakini mana-mana individu yang beragama Islam. Ini bukan soal kebebasan dan kemerdekaan lagi, tetapi ia sudah menjadi soal melanggar had yang ditetapkan Allah. Adalah salah kepada mana-mana Muslim berpegang kepada kepercayaan bahawa umat Islam bebas memilih apa-apa sahaja agama. Ayat tegahan tadi hanya merujuk kepada larangan para du'at memaksa bukan Muslim memeluk Islam. Sebaliknya, cukup dengan mengemukakan dakwah berdasarkan hujah tentang kebaikan dan kebenaran Islam, sambil mengingatkan mereka hukuman di akhirat. Namun, ia tidak sekali-kali membenarkan mana-mana Muslim menjadi atheis atau murtad.

Begitu juga saya sendiri keliru dengan permis sekular yang dikemukakan Rahmat, apabila menyebut UMNO sebagai anti-sekular - sedangkan makna asasi kepada sekularisme adalah pemisahan antara agama dengan kehidupan dunia - terutama membabitkan pemerintahan. Kalaulah UMNO sudah disifatkan sebagai anti-sekular - adakah ia bermakna UMNO sudah mengamalkan Islam sepenuhnya - menerima kewujudan agama dalam soal pentadbiran?

Kalaulah begitu pemahaman Rahmat - maknanya hari ini saya perlu berdaftar sebagai ahli UMNO!

Mengamalkan Islam secara syumul dengan mempergunakan Islam dalam hal yang mendatangkan keuntungan adalah dua situasi yang cukup berbeza. Malanglah kalau Rahmat memukul-rata dua keadaan ini. Justeru apa pula beza Rahmat dengan penulis anti-sekular yang lain?

Mesej Rahmat yang kelihatan amat murni itu - memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan sebenarnya adalah logamaya semata-mata. Kalaulah saya bertanya kepada Rahmat apakah maksud kebebasan total itu - mampukah Rahmat menyebut ia bermaksud melakukan apa-apa sahaja?

Dalam dunia ini tidak wujud kebebasan seperti itu sebagaimana tidak wujud negara komunis sempurna seperti yang dicita-citakan Karl Marx.

Seperti yang dinyatakan Rahmat, betapa dia takut dan gementar untuk menulis kerana dibimbangi bersangkutan dengan Islam, maka saya menyarankan Rahmat berhati-hati dalam penulisan sebegini. Adalah lebih baik, Rahmat menyelidik lagi makna Islam sebelum menyentuh soal-soal sebegini.

.


" Ya Allah berikan kami kebahgian di dunia

dan kebahagian di Akhirat "