Anda adalah pelawat yang ke:
 

Laman 12
 

 BERHATI-HATI MEMBUAT TUDUHAN
 

Nampaknya ramai anggota masyarakat cuba dipengaruhi
untuk mengetahui siapa yang sesat daripada apa yang
sesat. Oleh itu mereka terdorong untuk menuduh satu
golongan atau individu itu sebagai sesat. Contohnya
yang terbaru menuduh Nik Aziz, Haji Hadi, Dr. Mahathir
atau orang-orang dakwah seperti ustaz Ashaari dan
sebagainya dengan berbagai-bagai tuduhan sesat
walaupun dalam masa yang sama mereka sendiri tidak
tahu apakah perkara yang sesat. Saya rasa cemas
memikirkan hal ini jesteru sesat adalah satu tuduhan
yang sangat berat.

Jika kita sedar betapa beratnya implikasi dan akibat
yang terpaksa ditanggung di akhirat kerana menuduh
orang sesat, pasti kita lebih berhati-hati kerana
sesat adalah tuduhan yang boleh berbalik. Jika orang
yang kita tuduh tidak sesat, kitalah yang sesat.
Tegasnya, cepat menuduh sesuatu pihak sebagai sesat
(tanpa bukti yang jelas dan nas yang kukuh) adalah
satu kesesatan.

Perkataan sesat tidak boleh ditafsirkan mengikut
selera dan kehendak hawa nafsu semata-mata. Kayu ukur
menilai kesesatan bukan fikiran dan perasaan, tetapi
Al Quran. Kemudian disusuli oleh hadis Nabi Muhammad
saw. Kalaulah dalam kehidupan kita sendiri Al Quran
tidak jadi panduan malah jarang sekali dibaca…..
bagaimana sewenang-wenangnya kita tergamak menuduh
orang lain sesat? Kalau begitu sikap kita samalah
keadaannya dengan Firaun yang menyesatkan Nabi Musa,
Abu Lahab yang menyesatkan Nabi Muhammad saw atau
Namrud yang mengatakan Nabi Ibrahim itu sesat.
Musuh-musuh Allah itu merasa diri merekalah yang
paling benar walaupun hakikatnya merekalah orang yang
sesat lagi menyesatkan.

Hal yang terbalik dan songsang ini telah terjadi
sekali lagi. Manusia yang hidupnya bergelumang dengan
riba, mendedahkan aurat, bergaul bebas, cuai
sembahyang, hasad dengki, takbur, sombong, pembohong
dan lain-lain sifat mazmumah telah tampil ke tengah
masyarakat sebagai juara memerangi atau menuduh
kekesatan.

Begitu juga dengan media yang saban waktu menyiarkan
gambar pendedahan aurat, cerita fitnah dan
melaga-lagakan umat, sibuk-sibuk bercakap mengenai
kebatilan dan kesesatan. Sepatutnya marilah kita
sama-sama berdialog dalam diri, muhasabah seluruh
lisan dan tindakan, lahir dan batin, apakah ciri-ciri
kesesatan ada dalam diri kita? Kalau kita melihat
orang lain itu berada dalam kesesatan, sepatutnya kita
membimbing dan mendoakan mereka, bukan dengan jalan
membuat tuduhan atau menyisihkan mereka. Contohnya,
kita melihat orang yang tidak sembahyang, jangan kita
cepat menuduh dia sesat dan sebagainya, kita bimbing
dan doakan mereka. Begitu juga di masa yang sama kita
fikirkan diri kita yang sudah berbuat sembahyang ini,
apakah ibadah kita ini sudah diterima oleh Allah swt
atau tidak, jangan kita merasa yang kita sudah
mengerjakannya, kita sudah merasa selamat.

Kumpulan-kumpulan dakwah atau harakah juga, tidak
boleh mengatakan kumpulan dakwah atau harakah dia
sahaja yang betul, kumpulan dakwah dan harakah orang
lain tidak betul. Termasuk juga individu-individu yang
sudah beramal atau menjadi pejuang agama, boleh
mengatakan pihak individu lain tidak betul amalannya
atau perjuangannya.

Begitu juga, kita jangan memandang hina kepada orang
kafir kerana kekafiran mereka, kita sepatutnya
mendakwah dan mendoakan mereka, moga-moga dia akan
beriman kepada Allah swt. Mana tahu dengan izin Allah
swt dia mendapat taufik dan hidayah dan mati dalam
beriman kepada Allah swt dan kita yang sekarang sudah
boleh beramal dan beriman ini, ditakuti nanti mati
dalam kekufuran. Sesungguhnya nasib kita belum tahu
apakah mati dalam iman atau mati dalam kekufuran,
patutnya inilah yang kita fikirkan dan tangisi selalu.
Janganlah kita menjadi orang yang tertipu dalam
beramal.

Jika kita sibuk berjuang mendedahkan kesesatan atau
kebatilan, mengapa hanya separuh-separuh sahaja
contohnya; mendedahkan aurat itu satu kesesatan, tidak
ada tapi-tapinya lagi. Alasan yang mengatakan ia perlu
untuk hiburan, sukan dan apa juga sebab, tidak
diterima. Jika tidak percaya, cuba tanya ulama-ulama
yang punya autoriti (kalaupun segan pada ulama-ulama
yang rasmi). Jika ada ulama yang berani bekata:
mendedahkan aurat harus kerana bersukan, berlakon,
menari dan lain-lain, jelaslah ulama Us Suuk (ulama
jahat). Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
yang dipaparkan melalui media hiburan atau ruangannya
di dada akhbar adalah sesat…. jika tidak percaya, sila
tanya ulama….

Jangan lupa untuk tanyakan lagi mengenai riba,
mengenai ramalan bintang-bintang, memaparkan
cerita-cerita rogol, iklan wayang, karenah bintang
filem dan para artis, jangan lupa! Tanyakan semuanya
pada ulama. Kemudian paparkan jawapan mereka dalam
ruangan istimewa, supaya seluruh masyarakat tahu.

Kesesatan tetap satu kesesatan, walaupun ia nampak
gagah dengan pendukungnya yang ramai, punya kuasa dan
banyak harta. Kebenaran tetap satu kebenaran walaupun
ia kelihatan dhaif, pendukungnya sedikit dan kelihatan
seolah-olah akan kalah untuk mengatasi kebatilan. Yang
menang tidak semestinya benar, yang kalah tidak
semestinya salah. Kita ada hari lagi yang mana ketika
itu yang benar pasti menang dan yang salah pasti
kalah. Ketika itu pasti tiba, kerana kebenaran itu
pasti dibela oleh Allah. Firman Allah swt yang
bermaksud:

“Yang haq (benar) dari Allah, jangan kamu menjadi
orang yang menentang.”

Nampaknya pada saat ini, ketika ini, yang batil masih
gagah dan lanjut usianya. Sengaja Allah sunnahkan
begitu buat menguji pendukung kebenaran dan sebagai
satu cara untuk lebih menyesatkan golongan yang sesat.
Agar dengan itu tersaring pejuang Islam yang palsu dan
pendukung kesesatan pula akan merasa “confident”
dengan kesesatan.

Bila ada golongan yang bising-bising mengenai zikir,
konon ada kumpulan yang berzikir hingga lupa tegak
kemajuan dan lupa tanggungjawab, tentulah golongan
yang langsung tidak berzikir rasa betul kerana mereka
tidak pun dapat teguran. Malah tidak ada siapa pun
berani menegur orang yang lupa untuk sembahyang
maghrib dan isyak ketika satu-satu perlawanan sukan
diadakan di stadium-stadium besar. Bukan itu sahaja,
penonton siaran itupun tidak pernah ditegur agar
sembahyang maghrib. Kalau peribadi pemain lagi-lagilah
tidak…. Sepatutnya para ulama bersuara tentang hal
ini, jangan bila soal cara berzikir sampai nak patah
leher kita berhujjah tapi bila soal waktu sembahyang
yang terang-terang dilanggar tidak pula diendahkan.

Saya berterima kasih atas teguran jujur lagi ikhlas
yang bertujuan membetulkan sesuatu kesilapan. Tapi
jika ia dilontarkan penuh prasangka dan tidak bertolak
ansur, saya rasa itu di luar batas peri kemanusiaan.
Ada pihak yang menyeru anak muda jangan dekati
kumpulan dakwah, yang katanya menyeleweng dan
menyesatkan…. teguran itu bagus. Tapi perlu juga
ingatkan anak muda jangan dekati kumpulan rock,
panggung-panggung wayang, pita-pta vcd atau Video dan
aktiviti-aktiviti yang terlibat dngan pergaulan bebas
lalaki perempuan. Kenapa diam membisu dalam
perkara-perkara yang jelas haram tetapi lantang dalam
soal-soal yang masih boleh dipertikaikan.

Mengapa kita tidak berhati-hati juga dalam
perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah
seperti membina dan menghormati patung-patung
berbentuk manusia dan binatang? Mengapa kita tidak
sensitif dengan ucapan:

“Kalau semua nak ikut Islam susahlah….”  “Hukum Islam
tak sesuai lagi zaman ni…..”  “Hukum rejam dan rotan
pada para penzina tidak berperikemanusiaan.”  “Tidak
logiklah kalau semua nak ikut Quran dan sunnah.”

Ucapan-ucapan ini, sesungguhnya boleh menjejaskan
akidah. Dan ia selalu kedengaran diucapkan oleh ramai
orang, tidak kira orang besar atau orang kecil, yang
berkuasa mahupun rakyat jelata, yang kaya atau yang
miskin.

Kekalutan kita terhadap perkara-perkara yang masih
boleh diperbahasakan secara baik, yang masih kabur
antara masalah iktikad atau masalah furuk, janganlah
sampai menutup mata kita terhadap perkara-perkara yang
jelas betul tapi belum ditegakkan, yang jelas salah
tapi belum dihapuskan. Saya rasa belum ada ulama yang
menghalalkan judi, tetapi mengapa judi masih
berleluasa malah diiklankan di khalayak ramai? Begitu
juga dengan arak, mengapa kilang-kilang arak terus
didirikan atas alasan ekonomi dan kita tidak pernah
pun menentangnya secara lantang?

Mengapa kita tidak pernah memikirkan jutaan umat Islam
yang masih terjebak dengan riba melalui pinjaman
berbunga di bank-bank sedangkan kita telah sepakat
mengatakan riba adalah haram dan balasannya neraka?
Mengapa kita tidak menangis memikirkan berapa ramai
anak gadis kita yang masih mendedahkan aurat?

Ketika kita sibuk menyesatkan orang lain, musuh-musuh
Islam telah menyelinap masuk ke dalam rumah kita
menyiarkan program-program tv yang jelas mungkar
tetapi kita tidak sedar dan masih sibuk mencari sesat
orang lain. Apakah program tv, pertunjukan rokc,
tarian, pendedahan aurat oleh artis tempatan dan luar
negeri itu hukumnya halal? Sila jawab.

Tapi jika kita masih mengatakan itu haram, mengapa
kita tidak memeranginya? Entah berapa ramai orang
Islam yang mengaut dosa mata, tergeliat fikirannya,
rosak hatinya kerana program-program itu…. tapi kita
masih terima hujjah yang mengatakan: “Kita tengok
hiburannya bukan auratnya…” Apakah hujjah ini diterima
Allah swt? Apakah hujjah ini yang akan kita jawab di
padang Mahsyar… terpulanglah pada para ulama
menjelaskan hal ini sejelas-jelasnya, tanpa
selindung-selindung lagi.

Oh…. mungkin kita boleh berhujjah lagi,
perkara-perkara itu memang jelas haram tapi
memandangkan keadaan dan situasi, kita perlu
berhikmah, bertolak ansur dan membuat peningkatan amal
secara bertahap-tahap. Kita perlu berbincang untuk
menyebarkan kefahaman kepada semua kaum tentang Islam,
jika tidak, Islam dianggap menyusahkan. Begitulah
suara yang selalu kita dengar.

Tapi peliknya, mereka hanya berlembut dengan orang
yang ada kuasa dan ada harta, sebaliknya sangat keras
dengan harakah Islam atau kumpulan-kumpulan dakwah.
Kalau mereka boleh bertolak ansur dengan orang lain
atas alasan masyarakat berbilang kaum, masyarakat
masih kurang ilmu dan sebagainya, kenapa tidak
berlembut dengan harakah Islam atau gerakan dakwah
atas alasan sama-sama ingin kebenaran? Kalau dengan
pihak yang jelas mengiklankan kemungkaran kita boleh
bekerjasama, mengapa tidak dengan orang yang
bercita-cita ingin menegakkan kebaikan. Walaupun
mungkin cara orang yang bercita-cita untuk menegakkan
kebenaran itu tidak kita setujui, tapi itu lebih baik
daripada orang yang terang-terang menjadi pelupur
hiburan Barat, dedah aurat dan pergaulan bebas. Tapi
inilah yang tidak berlaku. Kita tegas dan kasar dengan
orang yang bercita-cita baik tapi duduk semeja dengan
pelupur kemungkaran.

Bingkisan kata-kata Hikmah untuk tatapan dan renungan
bersama.

Dengan kebenaran yang kita perjuangkan itu,
Tidak mesti kita tidak bersalah,
Kerana kesalahan itu bila-bila boleh berlaku,
Walaupun di dalam masa memperjuangkan kebenaran.

Perjuangan yang salah itu tetap salah,
Sekalipun yakin menegakkan kebenaran.

Di dalam kita berjuang jangan anggap kita benar,
Tetapi katakanlah:
Moga-moga kita di dalam kebenaran,
Kerana kesalahan itu amat halus,
Ada yang tersurat dan ada yang tersirat.

Berjuang ertinya memberi tenaga,
Berjuang ertinya memberi fikiran,
Berjuang ertinya memberi pengorbanan apa saja,
Berjuang ertinya membaiki hati dan melawan nafsu,
Berjuang ertinya membendung kekuatan musuh,
Berjuang bererti mengatur strategi,
Berjuang ada yang mengarah dan ada yang kena arah,
Oleh itu bukan dianggap perjuangan itu mendengar
pidato dan mengutuk musuh semata-mata.

Bila hati tidak keluh kesah dengan ujian.
Tidak terhina dengan cacian,
Tidak terhibur dengan pujian,
Menderita dengan dosa, Tanda hati bersih,
Suluhlah hati kita agar dapat menilai diri.

Pejuang-pejuang Islam akhir zaman, Banyak main politik
dan memikirkan strategi, Kurang sekali memikirkan
dosa,
Cuai berzikir kepada Allah,
Malas bangun malam,
Sedangkan perkara ini merupakan dha’bussolihin

Di dalam memperjuangkan Islam
Memang tidak dinafikan hal-hal strategi
Dan melengkapkan kekuatan lahir,
Tapi syarat kemenangan dari Allah ialah
Kalau kita ajak orang kepada Islam,
Jika diterima bersyukurlah
Kalau ditolak jangan dimarah dan dicerca
Kerana kita buat kerja itu bagi pihak Allah,
Bukan bagi pihak diri kita.

Orang yang berjuang fisabilillah
Jika dikalahkan oleh musuh lahir,
Dapat syurga,
Tapi kalau kita dikalahkan oleh musuh batin
Iaitu nafsu dan syaitan,
Nerakalah padahnya.

Beribadah kepada Allah itu ialah
Untuk melahirkan sifat kehambaan,
Jika tidak lahir sifat kehambaan dari ibadah,
Itu bukan ibadah namanya.

Bertauhid dengan berilmu tauhid tidak sama,
Orang yang bertauhid
Orang yang boleh mematuhi perintah Allah,
Orang yang berilmu tauhid orang yang boleh
Menetaokan rasa adanya Allah.

Amal soleh adalah buah iman,
Tempat pandangan manusia,
Tapi nilai manusia di sisi Allah ialah hatinya.

Amalan lahir dianggap Islam,
Amalan batin dianggap Iman,
Islam dan Iman lazim melazimi,
Adakalanya amalan Islam itu dapat dilihat
Tidak mesti dari beriman,
Tetapi seseorang yang beriman,
Mesti membuahkan Islam.

Bila membuat dosa
Hati tidak rasa menderita,
Melihat kesalahan orang
Dia menghina
bukan kesihan kepadanya,
Tanda hati telah rosak dan lalai.

Siapa yang tidak faham
Mengapa Allah datangkan ujian,
Dia belum kenal Allah.
Siapa yang beroleh kejayaan
Merasa kemampuan dirinya
Dia bermazhab Qadariah
Siapa yang menganggap
Sebab-sebab yang memberi bekas
Dia Syirik,
Siapa yang menyerah sahaja kepada takdir
Tanpa berusaha, bekerja dan berjuang
Dia adalah berfahaman Jabariah.

Cuba jawab soalan ini:
- Adakah kita orang yang bersembahyang?
- Adakah kita istiqamah bersembahyang?
- Adakah kita sembahyang di dalam waktu?
- Adakah kita faham bacaan Sembahyang?
- Adakah kita rasakan makna-makna bacaan itu di
masa sembahyang?
- Adakah kita merasa lazat di dalam sembahyang?
- Adakah kita dapat melaksanakan
kehendak-kehandak sembahyang di luar sembahyang?
- Adakah kita dapat selaraskan segala tinda
tanduk kita di dalam kehidupan kita dengan kehendak
sembahyang?
 


 

 MAHU DISAYANGI SUAMI?

Kalau adalah seorang isteri mengatakan dia tidak
mengharap kasih sayang dari suaminya, itu bermakna dia
telah berbohong. Sebab, memang tidak ada seorang
manusia pun yang tidak ingin dikasihi oleh orang lain
kecuali orang gila.

Tapi sayang, suami isteri hari ini kebanyakannya
renggang hati mereka, tipis kasih sayang mereka dan
selalu bermasam muka. Malah perceraian menjadi perkara
biasa. Ertinya ramai sekali wanita kita yang sedang
menderita.

Kenapa isteri gagal menjadikan suami sangat
menyintainya hingga tidak mahu berpisah dengannya?

Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh semua wanita
hari ini. Mudah-mudahan jawapan ini dapat memberi
jalan penyelesaian pada masalah yang mengancam
keamanan di dalam rumahtangga.

Mula-mula sekali tanya kenapa seorang lelaki sanggup
berbelanja beratus malah beribu ringgit atau
berjuta-juta Rupiah semata-mata untuk mendapatkan
seorang isteri? tentu kerana untuk mengisi permintaan
hati (fitrah)nya yang ingin kepada belaian dan
penyerahan seorang wanita, layanan dan kemanjaan serta
pengurusan dirinya oleh isteri dan lebih jauh dari itu
untuk mendapatkan anak dan keriangan dalam
rumahtangga. Semua itu adalah tuntutan semulajadi yang
ada dalam diri semua lelaki dan tidak boleh tidak,
wajib dipenuhi.

Kalau tuntutan itu tidak diisi, jadilah kekosongan dan
kesyunyian dalam ruang dada si suami itu. Kalau begitu
tiadalah bermakna lagi rumahtangga, isteri dan
anak-anak padanya. Suami tidak akan bahagia dan
hatinya tidak akan tenang sekalipun rumahnya besar,
wangnya bertimbun dan dililiti dengan segala
kemewahan.

Untuk mengisi dan menunaikan kemahuan hati suami, para
isteri perlu menjawab soalan ini;

1. Setiap masa ketika suami di rumah, adakah anda
melayan keperluan dan kemahuannya serta memberi
sepenuh perhatian dalam urusan itu?
2. Setiap kali ketika suami pulang ke rumah, adakah
anda menantinya dan menyiapkan untuknya apa sahaja
yang diperlukan?
3. Rumahtangga dan anak-anak, sudahkah anda jaga
begitu teratur dan kemas hingga tiada satu sudut di
dalamnya yang boleh mencacatkan hati suami bila
memandangnya?
4. Sikap anda, percakapan anda, kasih sayang dan
gerak-geri anda, adakah semuanya menampakkan pada
suami bahawa anda benar-benar merelakan dan
menyerahkan sepenuh ketaatan dan kesetiaan hanya
padanya?

Kalaulah anda gagal untuk mengiakan semua pertanyan di
atas, bermakna anda seorang isteri yang sedang atau
telah gagal. Sesungguhnya tiada seorang suami pun di
dunia ini yang suka hati kalau isteri tidak melayani
kehendaknya. Tidak ada seorang suami pun yang suka
hati bila didapati isteri tiada di rumah ketika dia
keletihan pulang dari kerja.

Tidak akan terhibur hati suami kalau rumahtangga dan
anak pinak berkecamuk, tidak terurus. Tidak akan
bahagia suami yang berdepan dengan sikap dan
cakap-cakap isteri yang tidak menumpukan sepenuh kasih
sayang padanya. Bertambah-tambah tidak bahagia lagilah
bagi seorang suami itu bila isterinya lebih menjaga
kepentingan diri sendiri dari memenuhi kehendak dan
kemahuan suami.

Dalam keadaan itu isteri mesti memuliakan suami dan
memandang tinggi padanya, di samping merasakan diri
sendiri “memerlukan” suami dan rela untuk berkhidmat
serta taat sepenuhnya padanya. Pandangan dan sikap
begini amat penting kerana darinya akan lahir sikap
tolak ansur, kerjasama dan kasih sayang antara suami
isteri.

Sebaliknya kalau isteri beranggapan suami setaraf
dengannya, tiada keistimewaan apa-apa, tidak perlu
dimulia dan dipandang tinggi, apalagi untuk diberi
perkhidmatan dan ketaatan sepenuh masa. Maka itulah
punca utama terjadinya ketegangan dalam rumahtangga.

Bila isteri mahu bertindak macam suami, terjadilah
cerita dalam satu kapal mempunyai dua orang nakhoda.
Saling tarik-menarik dan akhirnya pecah lalu karam.
Adalah mustahil suami akan reka dia di “control” oleh
isteri. Bukan hati lelaki namanya kalau suami meminta
dia diarah dan diperintah oleh isteri.

Sedangkan perempuan hatinya kalau bersih dari nafsu,
memang rela menyerahkan apa saja khidmat pada suami.
Tanyalah hati masing-masing adakah suka berhias untuk
suami? Tentu “ya” jawabnya. Maka begitulah dalam soal
yang lain, hati perempuan memang rela untuk dia
digunakan oleh suaminya.

Tiada pilihan lain bagi isteri untuk dapatkan kasih
sayang suami dan kebahagiaan rumahtangga, kecuali
meletakkan dirinya sebagai “hak” suami dan rela untuk
berkhidmat pada bial-bila masa. Untuk itu, mungkin
berbagai-bagai pengorbanan perlu dibuat misalnya:

Memasak sendiri di rumah, dengan masakan yang boleh
memuaskan hati suami. Menjaga anak-anak dengan
pendidikan yang sebaik-baiknya. Menjaga kesihatan
diri, kemudaan dan kebersihan badan supaya sentiasa
diminati suami. Membina akhlak yang mulia semoga
dengannyalah suami akan terhibur dan terelak dari rasa
marah dan tawar hati.

Pendek kata, isteri mempunyai peranan yang cukup besar
dalam membina rumahtangga bahagia. Isteri yang bijak,
berilmu dan tahu cara-cara membentuk kebahagiaan
sahaja yang berjaya.

Perlu sangat diinsafi bahawa kasih sayang dan
ketenangan hati suami isteri adalah kurniaan Allah
swt. Ertinya, ia bukan bikinan manusia yang boleh
dibuat-buat, direka dan dirancang-rancang. Sebab soal
kasih sayang dan ketenangan adalah soal hati, yang
bergerak dan hidup tanpa kawalan lahiriah dan
kebendaan. Ia dikawal sendiri oleh Allah swt, secara
ghaib dan menggunakan syarat-syarat yang Allah sendiri
tentukan.

Jadi, untuk mencetuskan kasih sayang dan ketenangan
rumahtangga, faktor-faktor hubungan dengan Allah
adalah wajib diambil kira. Yakni dengan beriman,
beramal dengan syariat Islam serta membanyakkan
ingatan (zikir) kepada Allah swt. Suami isteri yang
membelakangkan Allah swt adalah pasangan yang sukar
untuk memperolehi ketenangan dan kasih sayang.

Hati mereka berpecah, kepercayaan antara satu sama
lain hilang dan rasa persefahaman kian luput hari demi
hari. Walaupun usaha-usaha lahir yang mungkin sudah
cukup dilakukan untuk membina kebahagiaan tetapi
selagi hati masih kosong dari mengingati Allah, cuai
menjalankan perintah-perintah Allah maka selama itu
kasih sayang tidak tumbuh dalam erti kata yang
sebenarnya. Sebab kasih sayang adalah pemberian Allah,
dimasukkan ke dalam hati suami isteri yang benar-benar
taat dan patuh padanya.

Barangkali sukar untuk diakui hakikat ini memandangkan
realiti kehidupan rumahtangga yang berbagai-bagai dan
tidak terikat pada kenyataan di atas. Orang kafir yang
tidak percayakan Allah itu kekal rumahtangganya. Orang
Islam yang tidak sembahyang pun ada yang berbahagia
nampaknya. Sementelahan rumahtangga ahli agama pun
kadang-kadang berkecai. Jadi apa bukti bahawa punca
ketenangan dan kasih sayang ialah ketaatan kepada
Allah?

Sebenarnya, untuk mengukur benar tidaknya sesuatu
kenyataan itu tidaklah boleh hanya menggunakan satu
kaedah saja. Sebab Allah swt telah mentakdirkan
sesuatu, bukan dengan satu maksud sahaja. Setengah
orang kafir beroleh bahagia di dunia kerana Allah mahu
merasakan nikmat yang tidak mungkin mereka dapat di
akhirat. Orang Islam yang tidak sembahyang dan tidak
fikir halal dan haram nampak bahagia juga. Ini adalah
kemurkaan Allh sudah tertimpa ke atas mereka dan
dengan nikmat itu Allah mahu melalaikan mereka terus
menerus hingga mati betul-betul dalam dosa dan terus
ke neraka. Manakala ahli agama kadang-kadang pecah
rumahtangga mereka, Allah bermaksud menguji dan mahu
menghapus dosa-dosa mereka.

Maka saya tegaskan sekali lagi, bahawa sumber kasih
sayang yang abadi ialah ketaatan kepada Allah oleh
suami dan isteri serta anak-anak mereka. Perceraian
yang menjadi-jadi dewasa kini adalah berpunca dari
tidak taatnya pasangan suami isteri kepada Allah swt.
Allah jadikan hati mereka berpecah belah hingga mereka
takut pada perceraian tetapi mereka tidak dapat lari
darinya. Biarpun rumah besar, harta banyak, kesihatan
sempurna dan dunia serba lengkap meliputi mereka, tapi
kalau hati berpecah, semua itu tidak boleh mengikat
suami isteri itu lagi.

Mahu tidak mahu mereka kenalah mengadap Allah swt.
Mengaku taat setia padanya dengan tawadhuk. Memohon
ketenangan dan kasih sayang untuk hati mereka..
 


 

PENENANG HIDUP BOLEH MENYELAMATKAN SUAMI DI AKHIRAT

Seorang lelaki yang belum berkahwin tentu bercita-cita
untuk memiliki seorang wanita yang boleh menjadi teman
hidup, boleh memberi kebahagiaan zahir dan batin dan
ketenangan dalam rumahtangga.Mereka yakin hanya wanita
yang ‘baik’ saja yang boleh memberi ketenangan.
Lantaran itu tidak pelik ada lelaki yang memesrai
ramai wanita lain sebagai teman berhibur, tetapi
enggan menjadikan mereka isterinya. Sebaliknya memilih
wanita yang terpelihara, yang belum dimesrai oleh
mana-mana lelaki sebagai suri dalam hidupnya.

Itulah sebenarnya fitrah semua lelaki. Inginkan agar
wanita yang menjadi teman hidupnya boleh  menjadi
sumber ketenangan pada hatinya dan kebehagiaan dan
kegembiraan dalam rumahtangga demi untuk menyambung
zuriatnya.

Tidak semua wanita boleh memberi ketenangan hidup pada
lelaki yang menjadi suaminya. Wanita yang ada
meletakkan cinta pada orang lain, tentulah tidak akan
dapat menggembirakan suami. Betapa ramai hari ini
isteri-isteri yang teralih pandangannya pada lelaki
lain yang ditemui setiap hari di tempat kerja, di
tempat menunggu bas, lelaki yang ditemui semasa
berurusan dengannya yang mana ada di antara mereka
lebih kacak, lebih mesra, lebih kaya dan memangnya
pandai memikat. Lelaki yang tidak pernah memikirkan
samada wanita itu isteri orang ataupun anak dara orang
sememangnya akan memburu dan membujuk rayu wanita itu
untuk dapat memuaskan dorongan nafsu jahat.

Isteri yang malang akan terperangkap dan akan
hilanglah keindahan hidup dalam rumahtangga kerana
hatinya sudah dapat digugat oleh lelaki lain. Cintanya
telah berbelah bagi. Perhatiannya pada suami sudah
tidak seseriuos seperti masa mula-mula kahwin dulu.
Makin hari makin hendak larikan diri daripada suami.
Apa lagi kalau semakin hari semakin nampak kelemahan
dan kecacatan suami. Maka berfikir dan beranganlah
mereka untuk hidup di samping lelaki lain yang ditemui
saban hari di tepi-tepi jalan, di tempat kerja atau di
mana saja. Sehingga kerana itu layanan pada suami
makin kurang.

Kasih begini memang telah berlaku dan pernah
diceritakan dalam kitab. Kisah seorang wanita muda
yang bersuamikan lelaki tua. Wanita muda yang jadi
isteri itu hari-hari ke pasar membeli barang
keperluaannya disebabkan oleh suaminya uzur dan sudah
tua. Bertemulah dia dengan seorang penjual yang muda
dan kacak. Pada mulanya dalam hati wanita itu biasa
saja, tiada apa-apa perasaan lain bila berurusan
dengan lelaki itu. Tetapi setelah kerap kali berjumpa,
timbul pula perasaan lain di dalam hatinya. Hatinya
mula membandingkan lelaki itu dengan suaminya. Mulalah
dia nampak suaminya tidak ‘handsome’ dan tua. Sehingga
hatinya mula terpikat pada pemuda itu. tetapi dia
wanita solehah. Tidak mahu syaitan mempermainkannya
dan tidak sanggup untuk curang pada suami yang banyak
berjasa padanya.

Lalu apabila balik ke rumah dia pun mengadu pada
suaminya tentang keadaan dirinya. Dia meminta pada
suaminya untuk tidak mahu ke pasar lagi. Dia tidak
mahu bertemu lagi dengan lelaki kacak pada pandangan
matanya, demi menjaga iman dan untuk taat pada
suaminya.

Begitulah kisah seorang wanita solehah. Apa jadi kalau
wanita yang tidak baik mengalami kisah begitu? Tentu
dilayan kemahuan hati untuk menjadi kekasih hati
lelaki lain apabila hati sudah tawar dengan suami. Ini
jugalah puncanya yang menyebabkan banyak rumahtangga
yang runtuh pada hari ini kerana isteri sudah tidak
merasa suami itu istimewa pada dirinya yang sepatutnya
dilayan sebaik-baiknya dan dimuliakan
setinggi-tingginya. Didahulukan segala kemahuan dan
hajatnya lebih dari orang lain walaupun kedua ibu
bapanya sendiri. Kebanyakan wanita hari ini memandang
perintah memuliakan atau mentaati suami sebagai tidak
patut dan menganggap perintah itu sebagai menghina
kaum wanita sehingga menjadi hamba abdi suami.

Isteri sebegini, yang tidak nampak lelaki lain yang
lebih hebat, lebih baik terhadap dirinya melainkan
suaminya akan meletakkan sepenuh kasih sayang, cinta
dan ketaatan pada suaminya. Dia akan sentiasa
mencari-cari apa saja perlakuan yang menyenangkan hati
suami. Mencari apa yang menjadi keghairahan suami dan
menjauhkan diri dari membuat perkara yang suami tidak
suka dan boleh menghilangkan bahagia pada hati suami.
Seterusnya sangat takut untuk melakukan perkara yang
boleh menggugat kebahagiaan dalam rumahtangga yang
telah dibina. Lebih takut lagi untuk derhaka pada
suami kerana takut kemurkaan Allah yang akan
melemparkan isteri-isteri yang derhaka dalam neraka.

Dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Di tanya orang, “Ya
Rasulullah manakah wanita yang baik?” Rasulullah saw
menjawab;

“Wanita yang baik ialah wanita (isteri) yang selalu
menggembirakan suaminya, bila suaminya melihat
kepadanya, ia selalu patuh, bila suaminya
memerintahnya, dan dia tidak mahu melanggarnya baik
pada diri peribadinya, mahupun harta bendanya menurut
yang tidak disukai suaminya.”

Siti Fatimah anak Rasulullah saw, pernah sekali secara
tidak sengaja telah membuat suaminya Sayidina Ali r.a
tersinggung hatinya. Lalu dia telah mengelilingi
Sayidina Ali sebanyak 72 kali meminta kemaafan dan
keredhaan dari suaminya itu. Perbuatannya mengelilingi
Sayidina Ali itu telah menyebabkan beliau ketawa,
yakni redha kembali pada isterinya Siti Fatimah. Tapi
Siti Fatimah masih bimbang dan terus mengadu terhadap
Rasulullah. Apa kata Rasulullah terhadap peristiwa
itu? sabda baginda:

“Wahai Siti Fatimah, kalau engkau mati dalam keadaan
Ali tidak redha padanya nescaya aku ayahandamu tidak
akan menyembahyangkan jenazahmu.”

Begitu sekali pentingnya isteri menjaga hati suami
agar jangan sampai kecil hati, apa lagi kalau
perbuatan itu menimbulkan kemarahan dan kebencian di
hati suami. Hendaklah dijauhkan agar tidak berlaku di
dalam rumahtangga kita. Biarlah kita jadi wanita
penenang dan penyejuk hati suami dalam rumahtangga
sepertimana sabda Rasulullah saw bahawa baginda
mencintai tiga perkara iaitu sembahyang, wangi-wangian
dan wanita solehah. Biarkanlah wanita yang tidak
solehah itu berkata perbuatan memuliakan dan
mentaatkan suami itu sebagai kerja menghina atau
mengabdikan kaum wanita, kerana tempatnya sudah
bersedia menunggu. Cuma kita sebagai orang Islam,
doakan mereka semoga dia insaf akan kata-katanya itu.

Wanita solehah akan jadi perhiasan yang tinggi
nilainya dalam rumahtangga, sumber penyejuk dan
kebahagiaan hati suami. Memandangnya sudah cukup
membuatkan suami lupa pada masalahnya. Atau pun merasa
ringan dari segala bebanan. Tenang untuk menghadapi
hari esok kerana di sampingnya ada satu sumber yang
memberi kekuatan dan ketenangan hati dengan izin Allah
swt.

Berbahagialah suami yang memiliki isteri-isteri yang
sepertimana difirmankan Allah dalam surah An Nisa ayat
34 yang bermaksud:

“maka sang isteri (wanita-wanita) yang baik itu ialah
mereka yang setia kepada suaminya, mereka selalu
memelihara kehormatan dirinya selama suaminya tiada di
rumah, sebagaimana Allah telah memeliharanya.”

Memang telah Allah jadikan wanita itu sebagai
pelengkap hidup bagi lelaki. Dengan memesrai dan
menggauli wanita yang jadi isterinya, lelaki boleh
melepaskan ketegangan seks dan ketegangan fikiran
setelah penat bertungkus lumus di tempat kerja.
Persoalan di tempat kerja kadang kala begitu berat dan
cukup meletihkan bagi kaum lelaki. Ketika itu lelaki
amat memerlukan hiburan. Hiburan yang tertinggi bagi
seorang lelaki ialah wanita, iaitu isterinya.

Wanita yang dihalalkan baginya ialah isteri yang telah
dikahwini secara sah di sisi syariat. Tetapi ada juga
lelaki yang mencari hiburan melalui wanita yang bukan
isterinya. Mereka dampingi wanita liar yang bebas,
yang boleh diajak ke hulu ke hilir, ataupun mereka
kunjungi wanita di rumah urut, tempat pelacuran, yakni
hiburan yang terpaksa dibayar setiap kali minta
dilayan. Duit habis, layanan pura-pura dan dosa kerana
buat maksiat akan memburu mereka di akhirat nanti.
Entah-entah kerana dosa itu mereka akan merempat hina
di neraka yang penuh seksa. Itulah pentingnya lelaki
memiliki seorang isteri yang sedia untuk melayan
suaminya. Samada layanan dalam keperluan makan minum,
pakaian dan fikiran juga lanan dari segi seksual.
Kerana layanan itulah yang akan dapat menyelamatkan
suami dari mencari hiburan dan ketenangan di tempat
lain. Seterusnya boleh menyelamatkan para suami dari
melakukan dosa.

Layanan dari segi seksual penting apabila suami
berhajat. Sehingga Rasulullah saw berpesan dalam
hadisnya kepada para isteri supaya mereka melayani
hajat suami sekalipun mereka berada di atas belakang
unta, mesti ditunaikan juga. Tetapi, wanita yang tidak
solehah akan memandang pesanan sabda Rasulullah saw
ini sebagai tidak ada otak dan semua kaum lelaki
bertuhankan nafsu seksual.

Ada diceritakan, di antara para sahabat Rasulullah saw
yang berpuasa apabila berbuka mereka menggauli
isterinya terlebih dahulu. Ini disebabkan melepaskan
dorongan seks akan mendatangkan ketenangan pada
lelaki. Apabila tenang barulah datang rasa khusyuk
sewaktu beribadah.

Jangan disebabkan oleh terlalu letih bekerja, isteri
merera berat untuk menunaikan hajat suami. Sehingga
suami berasa kecil hati dan mendongkol. Isteri-isteri
yang begitu akan dilaknat oleh Allah sebagaimana hadis
Rasulullah. Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi saw,
bersabda:

“Bila seorang telah mengajak isterinya ke tempat
tidurnya (untuk menggaulinya), lalu ia enggan datang,
dia dikutuk oleh malaikat hingga waktu subuh.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Jika isteri-isteri betul-betul dapat menyediakan diri
dan rumahtangga sebagai sumber dan tempat suami dan
ahli keluerga mendapat ketenangan, insyaAllah suami
itu akan semakin bersungguh-sungguh untuk beribadah,
bersembahyang, membaca Al Quran, zikir wirid dan
melakukan kebaikan dengan hati yang lapang, bila dia
keluar rumah. Sebaliknya bila dia keluar rumah,
hatinya tidak bimbang meninggalkan rumah kerana dia
yakin ada orang yang disayanginya dapat memelihara
amanahnya dan rumahtangga. Tidaklah fikirannya
diganggu oleh persoalan rumahtangga yang remeh-temeh.
Merdekalah fikirannya untuk memikirkan dan
melaksanakan tugas seorang lelaki yang lebih besar dan
berat yang telah diamanahkan kepadanya di luar rumah.

Ketenangan yang didapati oleh seorang suami dari
seorang isteri solehah memungkinkan suaminya untuk
mencapai kejayaan hidup di dunia. Ia akan memungkinkan
suami berjaya dan maju dalam perjuangannya, dalam
kariernya dan sebagainya. Dan boleh menyelamatkan
mereka di akhirat dari seksa Allah kerana berkat
layanan dan ketenangan yang didapati dalam rumahtangga
menghalang dari bertindak liar dan curang di belakang
isteri.
 

ELAKKAN DOSA ‘PERCUMA’ DI LUAR RUMAH

Apakah tujuan seseorang wanita bekarja? Kebanyakkan
tentu menjawab untuk cari wang. Samada mereka bekerja
sebagai kerani, pekerja kilang, pegawai, doktor,
jurutera, arkitek dan sebagainya. Oleh kerana itu
mereka sanggup bersusah-susah untuk bersaing dengn
kaum lelaki menuntut ilmu supaya mereka juga layak
menjawat jawatan yang mereka idamkan. Mungkin ada,
tapi tidak ramai, yang bekerja untuk memberi sumbangan
ikhlas pada masyarakat.

Seorang wanita yang bekerja samada memegang jawatan
penting atau tidak penting bermakna dia telah membuat
dua kerja. Iaitu kerja yang memang dikhaskan untuknya
dalam rumahtangga dan kerja di luar rumah. Sebagai
wanita tugas selaku isteri atau suri rumah yang
bertanggungjawab melayan suami, mengurus anak, menjaga
kebersihan dan kerapian rumahtangga adalah di antara
tugas wanita yang tidak dapat dielakkan meskipun dia
mampu menggaji orang lain untuk mengambil alih tugas
itu.

Tugas sebagai suri rumah sebenarnya sudah cukup
membebankan bagi seorang wanita. Apakah wanita yang
bekerja mampu membuat kedua-dua tugas ini sekaligus?
Sudah tentu tidak. Jikalau dia mampu melakukan tugas
di luar rumahtangga dengan baik nescaya tugas dalam
rumahtangga akan terabai, begitu juga sebaliknya.

Semua orang hendak kesempurnaan dalam rumahtangga.
Mahu anak-anak dijaga dengan bersih, berdisiplin,
taat, tidak comot, rumahtangga diatur rapi, tingkap
tidak berdebu, dapur hendak kemas, pakaian hendak
digosok dan sebagainya. Tetapi apakah dengan menggaji
pembantu rumah dapat memberikan kesempurnaan yang
dikehendaki?

Pembantu rumah pun bekerja kerana gaji. Kalau tidak
dibayar tentu dia tidak sudi buat kerja secara
percuma. Oleh sebab niat bekerja memang bukan untuk
beri khidmat yang ikhlas, maka untuk apa dia buat
sesuatu kerja bermati-matian? Sedangkan ganjaran yang
dia dapat sama saja dengan dia melakukan dengan cara
sederhana.

Ada pembantu rumah yang hanya sanggup untuk menjaga
anak saja tapi enggan buat kerja-kerja rumah yang
lain. Ataupun kalau buat kerja rumah masih banyak yang
tidak beres dan kurang menyenangkan hati tuan rumah.
Yang muda mudi ambil kesempatan menelefon teman lelaki
kalau tuan rumah tidak ada. Hendak ditegur, serba
salah, kerana silap-silap haribulan pembantu rumah
cabut lari. Lagi susah tuan rumah dibuatnya.

Mahu tidak mahu terpaksa juga gajikan pembantu rumah
yang menyakitkan hati itu. Untuk mendapat pembantu
rumah pun bukan senang. Kerana orang lebih suka kerja
di kilang dari kerja di rumah orang. Di kilang lagi
bebas dan bayaran pun lebih mahal. Sebab itu sekarang
susah hendak dapat pembantu rumah. Mana-mana yang
tidak ada sijil untuk lamar pekerjaan yang baik
terpaksa memilih karier sebagai pembantu rumah.
Walaupun hati bukan suka sangat.

Dengan kelulusan rendah, umur muda begitu tentulah
kemampuan akalnya tidak seberapa. Kalau jadi pengasuh
kepada anak orang terpelajar tentu ikut tahap akalnya.
mana hendak lahirkan anak-anak yang bijak kalau
pengasuhnya kurang berpendidikan. Ibu bapa walaupun
bijak pandai tapi masa untuk anak-anak terlalu mahal.
Lagi penting jawatan si emak, lagi sedikit masa yang
dapat diberikan kepada anak-anak di rumah. Akhirnya
anak ketandusan kasih sayang.

Kerana duit wanita sanggup berpisah dari rumah, dari
anak-anak yang disayangi dan dari suami yang dicintai.
Tapi apakah duit yang dikejar itu benar-benar masuk ke
poket mereka?

Lazimnya yang kita dengar kata pepatah Melayu, “Besar
periuk, besarlah keraknya,” Maknanya lagi besar gaji
lagi banyak yang terpaksa dihabiskan. Apa tidaknya,
kalau sudah keluar bekerja tentulah perlukan pakaian
yang cantik, kasut, kereta, alat-alat make-up, bayar
gaji pembantu rumah dan lain-lain. Kemudian
rumahtangga juga perlu dihias sesuai ikut taraf
gajinya. Kalau gaji tinggi mestilah duduk rumah batu
sekurang-kurangnya. Ada perabot yang moden dan cantik,
perlu macam-macam untuk lengkapkan rumah. Jadi
walaupun dapat duit, tapi belum sampai cukup bulan
poket sudah kering. Hutang keliling pinggang. Hutang
rumah, hutang kereta, hutang video, hutang barang
kemas dan macam-macam hutang. Hendak kaya, tapi rasa
tidak kaya-kaya juga. Sebab kaya itu datangnya dari
keinginan nafsu. Dan kehendak nafsu adalah infiniti
sifatnya.

Jadi tertolaklah dakwaan kerja untuk dapat duit. Sebab
jelas dan nyata makin bekerja makin banyak hutang.
Badan letih. Yahudi dan Nasrani yang kaya. Anak-anak
kurang dapat kasih sayang. Suami selalu terbiar
kesepian.

Wanita keluar bekerja untuk bantu membangunkan negara.
Tapi tanpa sedar makin ramai wanita yang keluar
bekerja makin rosak negara. Anak-anak yang kurang
kasih sayang mudah jadi liar. Mudah terjebak dengan
dadah, kongsi gelap, jadi kutu di pusat membeli belah
dan macam-macam lagi. Ini lagi menghuru-harakan
negara. Bilangan polis terpaksa ditambah untuk kawal
keamanan. Ibu bapa jadi bimbang dan anak-anak gadis
pun tidak selamat.

Wanita ketika bersalin akan diberi cuti bersalin.
Begitu juga kalau anak sakit dapat cuti untuk jaga
anak. Kerja tidak buat tapi gaji dibayar. Sedangkan
lelaki penuh khidmatnya kecuali memang cuti yang
dikhaskan. Ini juga boleh jadi punca melesetnya
ekonomi negara. Sebab negara terpaksa bayar duit
percuma pada seorang wanita. Sedangkan kalau lelaki
yang berada dalam jawatan itu tentu wang dapat
diselamatkan dan boleh digunakan untuk buat perkara
lain yang lebih berfaedah. Dalam hal ini juga lelaki
terpaksa bertanding dengan wanita untuk dapatkan kerja
itu.

Bukan mudah bagi wanita untuk jaga syariat kalau
keluar rumah. Walaupun dia mampu pakai tudung hatta
pakai purdah sekalipun tapi dia akan terdedah pada
dosa. Sabda Rasulullah saw bermaksud:

“Perempuan itu aurat, maka apabila dia keluar
mendongaklah syaitan memandang akan dia.”

Sekurang-kurang dia terlibat dengan dosa pergaulan
bebas lelaki perempuan. Walaupun dia faham perempuan
tidak boleh sebarang-barangan bercakap dengan lelaki
yang bukan muhramnya tapi dalam kerja, mana hal ini
dapat dijaga? Hendak-hendak pula yang duduk sepejabat
dengan lelaki dan sentiasa berurusan dengan lelaki.

Bukan saja tidak dapat elak dari pergaulan bebas,
kadang-kadang terlibat pula dengan sistem riba,
terpaksa bekerjasama tekan orang-orang Islam sebab
kerjanya kena buat begitu walaupun hati tidak suka.
Kalau sudah faham Islam tentu hati derita, kecuali
orang yang tidak faham syariat Islam dia anggap
perkara biasa. Azam tidak mahu terlibat lagi dengan
dosa bila balik dari kerja. Tapi pagi besok buat lagi
kerja. Dapat lagi dosa percuma, suami dapat saham
bersama. Sedangkan hendak buat amal banyak-banyak
bukan mudah. Hendak cegah orang lain buat maksiat
tidak mampu. Jadi kalau mampu jaga diri supaya jangan
terlibat dengan maksiat dan dosa itu sudah cukup baik.

Berbeza dengan wanita yang tinggal di rumah. Walaupun
terpaksa buat kerja yang sama berulang-ulang kali tapi
hati puas. Tidak perlu keluar duit untuk tambang atau
minyak kereta, untuk tukar baju baru selalu,
terselamat dari gangguan lelaki, selamat dari
dosa-dosa pergaulan bebas, dedah aurat. Dapat berikan
tumpuan sepenuhnya pada anak-anak. Dia sendiri boleh
beri makan anak, boleh layan anak bercerita, ada masa
untuk bermesra dengan anak untuk eratkan kasih sayang.
Sabda Rasulullah saw bermaksud:

“Wanita yang tinggal di rumah bersama anak-anaknya
akan tinggal bersama-sama aku di dalam syurga.”

Dengan tinggalnya wanita di rumah dapat beri tumpuan
pada suami dan anak-anak. Tapi kalau suami isteri
bekerja siapa yang hendak layan siapa? Isteripun letih
balik kerja. Rasa macam tidak adil kalau dia kena buat
kerja lebih dari suami. Walhal setengahnya itu di
pejabat kerja setaraf dengan suami. Kerja rumah yang
boleh dapat pahala banyak akan jadi sia-sia kerana
merungut-rungutkan suami yang kurang membantu. Dosa di
luar rumah tadi dapat, kerja di rumah tidak dapat
pahala apa-apa, akhirnya badan yang letih.

Tinggal di rumah bukan untuk wanita tua atau wanita
muda yang tidak ada pelajaran tinggi. Tapi wanita yang
bakal jadi suri rumah juga perlukan pendidikan tinggi.
Terutama pendidikan ilmu-ilmu lain seperti ilmu
matematik, ilmu kesihatan, ilmu psokologi dan
ilmu-ilmu yang boleh membantu kesempurnaan perjalanan
sesebuah rumahtangga. Inilah yang dikatakan bantu
membantu dalam rumahtangga, suami mencari nafkah dan
isteri pula mengurus rumahtangga. Suami yang balik
kerja dapat kerehatan di rumah dan kepulangannya akan
disambut manis oleh isterinya.

Pendidikan itu juga perlu untuk bantu wanita itu
menggunakan akalnya dengan baik. Hasilnya boleh
dilihat pada anak-anak. Boleh lahirkan anak yang
pintar, berdisiplin, taat pada keluarga dan negara.
Kalau anak jahat di dunia pun ibu bapa terpaksa
terlibat. Kalau anak diseret masuk mahkamah ibu bapa
juga yang susah. Sedangkan di akhirat pula akan
dihukum ke dalam neraka kerana cuai beri didikan yang
sempurna pada anak.

Tapi kalau berjaya mendidik anak jadi baik, taat pada
ibu bapa, taat melakukan perintah Allah, ibu bapa
bukan saja beruntung di dunia kerana tidak disusahkan
oleh anak, malah di akhirat ganjaran dari anak-anak
yang soleh dan solehah dapat menyelamatkan mereka dari
neraka dan memasukkan mereka ke syurga.

Lagipun dengan tinggalnya wanita di rumah boleh sekat
emosi dan nafsu sendiri, sebabnya kalau dia bekerja,
hendak pula kalau dia “boss” dia akan berada dalam
satu keadaan yang mendorong untuk dia memanjakan sifat
egonya. Ia boleh perintah orang. Boleh marah orang.
Orang mesti hormat pada dia. Sifat ini kadang-kadang
terbawa-bawa sampai dalam rumahtangga. Dengan suami
pun hendak jadi “boss”.

Tapi kalau duduk di rumah, jadi suri rumah dia sudah
tidak ada kuasa lagi. Apa lagi yang hendak
dibanggakan. Di sudut mana dia hendak rasa ego?
Mungkin kalau masih adapun sifat ego tadi, terpaksa
dipendam.

Tetapi bukan semua wanita diminta tinggalkan tempat
kerja. Ada wanita yang khidmatnya sangat diperlukan
kerana kerja itu memang sesuai dibuat oleh wanita.
Wanita diperlukan di bidang pendidikan, bidang
kedoktoran dan sakit puan, perlu sebagai jururawat dan
lain-lain yang dibenarkan oleh syariat. Itu pun
perlaksanaan kerja tidak boleh sebebas-bebasnya. Sabda
Rasulullah saw yang bermaksud:

“Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan
jika terpaksa (kerana sesuatu yang mustahak) dan dia
juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan
ditepi-tepinya.”  Riwayat At Tabrani.
 


 
 

 REBUTLAH PANGKAT ISTERI SOLEHAH

Allah swt Maha Pemurah dan Penyayang ke atas
hamba-hambanya. Bagi kaum wanita ada 4 tiket untuk
mereka masuk ke syurga, iaitu apabila mereka berjaya
menjaga sembahyang fardhu, puasanya di bulan Ramadhan,
ketaaatan kepada suami dan kehormatannya. Melalui
empat perkara ini juga menyebabkan seseorang wanita
itu boleh mencapai taraf solehah dan bertaqwa.

Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar
wanita. Tetapi cuba kita renungkan kembali sejauh
manakah kita telah berjaya meraih keempat-empat
perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu
kebanyakannya tidak khusyuk. Semasa bersembahyang
sahaja aurat ditutup tetapi selepas itu kita kembali
dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Puasa kita
sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mulut masih
mengumpat. Ketaatan kepada saumi dibuat sambil lewa
malah suami kadangkala dijadikan seperti lembu yang
diikat hidungnya dengan tali (disuruh membuat itu dan
ini). Ada yang menjadi pelacur dan menjual maruahnya
untuk mendapatkan wang.

Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal
menunaikan amanah Allah itu. Rasulullah selepas di
Isyrak Mikrajkan, baginda tidak henti-henti menangis
kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa kepada
Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang
disayanginya diselamatkan dari azab api neraka.
Bayangkanlah, baginda saksikan bahawa di dalam neraka
itu 75% adalah terdiri dari kaum Hawa. Badan-badan
kita akan disambar oleh api neraka dan terbakar
rentung dan akan diperbaharui lagi daging-daging tubuh
lalu dibakar lagi hingga mengikut sebanyak mana dosa
yang telah kita lakukan itu. Beruntunglah bagi
mereka-mereka yang beramal soleh. Wanita-wanita yang
solehah akan disambut oleh ‘wildan-wildan’nya (suami)
diiringi dan serta diperelokkan kedudukannya di dalam
syurga.

Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan
solehah pastilah mereka-mereka ini mendapat pendidikan
agama yang secukupnya. Bila ilmu telah dipelajari
lantas terus diamalkannya. Maka jadilah mereka
insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala
perintah Allah dan menjauhkan segala larangannya.
Orang-orang yang banyak menangis kerana takutkan
neraka Allah. Orang-orang yang sanggup berkorban apa
saja demi kepentingan hari akhirat. Orang-orang yang
sanggup hidup susah dengan berbagai ujian dan
rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati
demi rindunya mereka untuk melihat wajah Allah swt dan
Rasulullah.

Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana
ianya tidak dapat dijual beli dengan dunia ini.
Malahan tarafnya jauh lebih tinggi jika dibandingkan
dengan apa jua pangkat nilaian di dunia ini. Semua
kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan
biasanya kalau seseorang itu telah pencen ia akan
kesepian dan dilupakan.

Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani
suaminya begitu baik sekali sebab itu merupakan
tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya untuk
dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan
kabul. Inilah perbezaannya taraf seorang isteri dengan
seorang pelacur di mana dia juga memberikan layanan
yang baik kepada pelanggannya. Tetapi layanannya itu
atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala seorang
isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan
semata-mata untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat
keredhaan-Nya.

Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya
dan tinggalkan kerja-kerja yang sedang dilakukan.
Hiasilah diri dengan pakaian yang menarik, bersolek
dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak
yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa
menjaga mereka sehingga kita selesai menunaikan amanah
Allah terhadap suami kita dan mereka mendoakan semoga
kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.
Generasi yang bakal mengamankan dunia!

Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani
suaminya dengan baik tapi bila saja suami sebut hendak
kahwin seorang lagi dia mula tarik muka empat belas,
hempas itu, hempas ini malah boleh jadi perang besar.
inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia
seorang sahaja menguasai kasih sayang suami. Padanya
bermadu itu suatu yang hina dan tidak mengapa kalau si
suami memiliki perempuan simpanan walau sebanyak
manapun.

Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada
hidupnya terpaksa bermadu dua, tiga atau empat
sekalipun sebab itu bukan urusannya malah sebuah
ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh mana
keikhlasannya melayani suami. Dia tidak akan ambil
kisah sekiranya suaminya mengecilkan hatinya malah di
hati kecilnya akan sering berkata, “Ini tugas akau
dengan Allah, aku mesti laksanakan”. Akhirnya tidak
timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri
telah faham dengan kedudukannya.

Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan
sebab suaminya telah menyelamatkan seorang lagi hamba
Allah bila dikahwinkan. Bila seseorang itu telah
berkahwin, InsyaAllah sembahyangnya akan lebih khusyuk
kerana sebagagian dari agamanya telah diselamatkan. Di
samping itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan
menenagkan fikiran.

Untuk mencapai makam isteri yang solehah dan bertaqwa
bukanlah semudah yang diucapkan. Kita mesti berusaha
untuk mengikis sebanyak mungkin mazmumah yang terdapat
dalam diri dan selalu berharap kepada Allah supaya
dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika
sedang bermujahadah di dalam menghadapi berbagai
ujian.

Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis
kerana sayangkan harta dunia, takut dimadu dan
sebagainya tetapi menangislah kerana takutkan azab
Allah yang sangat pedih dan selalulah berindu-rindu
untuk melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui
Allah, Allah juga akan merinduinya dan Rasullah akan
memberi syafaat kepada sesiapa yang merinduinya dan
mereka akan bersama-samanya di dalam syurga kelak.

Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda
saja yang diberi keistimewaan untuk mengenali
umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain gagal berbuat
demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh
menjaga tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut,
kemaluan, mulut, kaki dan tangan) dari berbuat maksiat
dan mengamalkan sungguh-sungguh lima hukum (wajib,
sunat, makruh, halal dan haram) yang telah Allah
tetapkan. Hanya mereka-mereka ini sajalah yang akan
bercahaya-cahaya di Padang Mahsyar kelak dan dipimpin
oleh Rasulullah untuk menuju ke syurga.
 

 ISTERI DILARANG BAWA MASUK TAMU TANPA KEBENARAN SUAMI

Dunia hari ini kian tenat, ibarat si ibu yang sedang
sakit melahirkan anak. Maksiat dan kemungkaran
menjadi-jadi di mana-mana, kadang-kadang di depan mata
kepala kita sendiri. Manusia telah hilang sifat
malunya. Punca terbesarnya adalah tindakan seks yang
telah Allah jadikan sejak manusia dicipta.

Setiap kali terbitnya akhbar harian maka pasti ada
saja cerita perogolan disiarkan. Manusia hari ini
sudah banyak hilang pegangan imannya, hidup
bertuhankan nafsu. Tidak kira siapa asalnya nafsu
dapat dilepaskan. Apa yang menyedihkan anak sendiri
jadi mangsa si ayah, si adik menjadi mangsa si abang,
kanak-kanak menjadi mangsa si tua.

Sebenarnya semua ini mengingatkan kita bahawa sekarang
ini zaman fitnah. Bila terdedah sahaja aurat, wanita
berpakaian menjolok mata, maka berbagai kemungkinan
maksiat boleh berlaku. Tapi dalam hal ini kita tidak
boleh menyalahkan pihak lelaki saja. Oleh itu kaum
wanita kenalah berwaspada, pakaian biarlah bersopan
sebab tidak siapa tahu malang tidak berbau dan tidak
mengenal bulu.

Di dalam Islam memang ada batas-batas aurat untuk
lelaki dan wanita di luar dan di dalam rumah di antara
sesama keluarga (muhram). Islam juga meminta setiap
lelaki dan wanita supaya menundukkan mata dan
pandangannya apabila berhadapan dengan yang bukan
muhramnya.

Mata punca segala-galanya, ia berperanan untuk menemu
dan memperkenalkan lelaki dan perempuan. Menurut ilmu
tauhid, maklumat yang diperolehi dari mata adalah 50%.
Telinga hanya memperolehi 30% saja maklumat serta 20%
dari anggota lain. Di sini jelas membuktikan
rangsangan deria lihat lebih kuat dari yang lain.
Sebab itulah diharamkan lelaki bertemu perempuan.

Tempat yang paling merbahaya ialah memandang aurat,
ianya wajib ditutup dan merupakan bahagian yang aib
pada diri seseorang kerana boleh menimbulkan nafsu dan
syahwat. Akibat dari itulah menimbulkan berbagai
kerosakan yang berlaku di tengah masyarakat. Lantaran
itu aurat wajib ditutup sebagaimana yang diperintahkan
oleh Allah swt.

Rumah adalah sebuah kediaman untuk kita berlindung
dari panas dan hujan serta musuh. Tempat menggabung
dan mengeratkan kemesraan serta kasih sayang satu sama
lain. Telah menjadi tradisi masyarakat hari ini kalau
petang-petang hari maka ramailah keluar makan angin di
sekitar kawasan rumah. tetangga. Maka kita dapati si
bujang begitu rancak berbual dengan si dara manis,
tidak ketinggalan isteri-isteri orang pun turut sama.

Suami pula tidak ambil kisah dengan tingkah laku si
isteri yang bebas bergaul dengan sesiapa jua. Suami
begitu sebenarnya adalah seorang suami yang dayus.
Orang dayus tidak akan masuk syurga. Tempat si isteri
adalah di sisi suami bukannya dengan orang lain.

Seperkara lagi yang telah menjadi lumrah di dalam
masyarakat kita ialah si isteri mengizinkan seseorang
samada lelaki atau wanita masuk ke dalam rumah, ketika
suami tiada di rumah. Hukumnya adalah haram. Sekiranya
yang dibenarkan masuk ialah lelaki, hukumnya haram
kerana Islam melarang wanita dan lelaki yang bukan
muhram tinggal berdua-duaan di bawah satu bumbung.
Sekiranya yang dibenarkan masuk itu adalah muhramnya
ataupun seorang wanita, haramnya adalah kerana tidak
mendapat kebenaran suami terlebih dahulu. Si isteri
mengajak muhramnya atau tetamu wanita masuk ke rumah
setelah mendapat izin suami terlebih dahulu adalah
dibolehkan.

Begitu juga halnya jika sebuah rumah didiami oleh dua
buah keluarga ajnabi. Katalah si A tiada di rumah,
yang tinggal di rumah itu hanyalah si B, sedangkan
suami si B tiada di rumah, maka haram hukumnya jika
suami si A berada di rumah. Salah seorang darinya
mestilah segera mengambil tindakan untuk keluar bagi
mengelakkan berlakunya maksiat.

Sebab itulah di dalam Islam diharamkan lelaki dan
perempuan yang belum bernikah berdua-duaan ke sana ke
mari sebab teman ketiga mereka ialah syaitan yang akan
mencuit hati teruna dan dara agar hanyut ke lembah
kemaksiatan.

Ketika di dalam peperangan ahzab, semasa orang kafir
menyerang kubu orang Islam, orang munafik berkata
kepada Rasulullah saw. “Ya Rasulullah, kami hendak
balik kerana rumah kami itu ialah aurat.” Memang benar
rumah itu ialah aurat yang patut dijaga kerana itu
janganlah kita masuk ke rumah tanpa izin.

Mengenai masalah aurat rumah ini ada disebut di dalam
surah An Nur, ayat 27, 28 dan 29. yang maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
memasuki rumah-rumah yang bukan rumah kamu sebelum
meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.”

di dalam ayat ini mengandungi dua perintah, iaitu
meminta izin sebelum masuk dahulu dan memberi salam.
Selanjutnya ayat 28 dan 29 bermaksud:

“Jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, maka
janganlah kamu masuk sebelum mendapat izin. Maka jika
dikatakan kepada kamu, “Kembali sajalah” maka
hendaklah kamu kembali.
Tidak ada dosa atau kamu memasuki rumah yang tidak
disediakan untuk didiami yang di dalamnya ada
keperluan kamu.”

Demikianlah beberapa ayat perintah Allah mengenai
memasuki rumah yang bukan rumah kita. Mengenai adab
memasuki ke rumah pernah digambarkan di dalam riwayat
Rasulullah saw ketika baginda mengunjungi rumah
anaknya Siti Fatimah, yang bersuamikan Sayidina Ali
r.a. Sebalik sampai sahaja di rumahnya, Rasulullah
memberi salam dan meminta izin masuk. Siti Fatimah
menjawab, tetapi tidak mengizinkan ayahnya masuk.

Masakan seorang anak tidak mengizinkan ayahnya masuk.
Lebih-lebih lagi Rasulullah saw, tetapi sebelum itu
baginda bertanya, “Mengapa tidak boleh masuk wahai
anakanda?”

Dijawab oleh Siti Fatimah dengan mengatakan bahawa
bukanlah bersama Rasulullah itu ada seorang sahabat
sedangkan Siti Fatimah ketika itu tidak mempunyai
cukup kain untuk menutupi tubuhnya kerana terlalu
miskin. Bila ditarik ke atas ternampak kaki, kalau
diturunkan ke bawah terdedah kepalanya. Untuk
berselindung di dalam bilik. rumah Sayidina Ali tidak
ada bilik, di situlah tempat tidur, makan dan tempat
tetamu.

Apabila mendengarkannya, Rasulullah terus memberikan
kain selendangnya untuk Siti Fatimah menyelimuti diri.
Setelah itu barulah Rasulullah diizinkan masuk.
Demikianlah adab kesopanan memasuki rumah yang
dihadiskan oleh Rasulullah saw dan patut dicontohi.
Jangan anggap tidak releven untuk diamalkan di zaman
ini.
 

ADAB BAGAIMANA BERHADAPAN DENGAN SUAMI

Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada
setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai
suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang
dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan
tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi
isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian.
Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai
penenang dan penyeri rumahtangga.

Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan
suami.

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam
mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong
cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri,
jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak
dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi
kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat
kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu
bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas
kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami
kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi
cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih
sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita
tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah
martabat keegoannya selaku seorang lelaki.

3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik
isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah
banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah
sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai
keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai
kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada
sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang
menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja
dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta
simpati dari ibunya.

4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah
segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari
segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari
isnin, Khamis dan Jumaat.

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat
bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan
melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak
mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di
hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya
akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat
padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya
ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari
atau masak lemak cili api, janganlah kita masak  lauk
asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila
seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi
mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana
meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut
dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak
menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya
hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik
yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan
cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan
tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada
ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga
jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus
isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi
rumahtangga.

8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam
poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin
kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi
kesalahan seandainya si suami menolak segala
persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya
sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.

9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak,
dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan
kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan
hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam
keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala
besar keatas setiap isteri kecualilah jika suami kita
meredhainya.

10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang
hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah
izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu
kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu
mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri
sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang
lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat
apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum
melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara
itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi
kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan
para isteri.

11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas
ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada
di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya
senang untuk bersenda gurau dengan isterinya.
Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri
juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh
Allah swt.

12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan
jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak
sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas
seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan
di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa
kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti
karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal
ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan
ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping
tidak terjamin kebersihannya.

Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan
memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah
dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala
tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan
syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah
kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena
caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan
dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau
ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.
 

SAMBUT SUAMI DI MUKA PINTU

Istimewanya wanita ialah segala perbuatan dan setiap
apa yang disentuh oleh jari halusnya di dalam ruang
lingkup rumahtangganya akan mendatangkan pahala. Namun
terdapat suatu perkara yang jarang sekali diambil
perhatian oleh kebanyakan wanita hari ini, iaitu
perihal menyambut kepulangan suami.

Setiap kali suami pulang ke rumah suami memerlukan
bantuan isterinya untuk menghilangkan rasa letih,
penat, lapar, dahaga dan lain-lain beban yang sedang
ditanggungnya. Oleh itu, isteri yang menyambut suami
hendaklah pandai memahami mood dan kehendak suami.

Sambutlah kepulangan suami dengan air muka gembira,
dan dengan senyuman. Tunjukkanlah wajah yang semanis
mungkin dan senyuman yang kita berikan ketika itu akan
menghilangkan sebahagian daripada keletihan suami.
Elakkan daripada bersikap acuh tak acuh, bermasam muka
ataupun melepaskan ‘peluru berpandu’ bila suami
terjongol di muka pintu. Sabda Rasulullah saw:

     “Siapa sahaja seorang isteri bermuka muram di
hadapan suaminya, maka ia dalam kemurkaan Allah swt
hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira
kepada suaminya dan memohon kerelaannya.”

Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri
kepada suaminya. Senyuman akan mencetuskan suasana
kegembiraan dan itulah sebenarnya yang dikehendaki
oleh semua suami ketika pulang, terutamanya jika ia
sedang dalam keletihan. Muka yang masam bukan sahaja
akan menimbulkan kemarahan suami, malahan menyebabkan
Allah swt turut murka. Kemurkaan Allah itu akan
berkekalan hingga isteri itu berjaya mengembalikan
semula suasana gembira dan memohon keampunan daripada
suami. Kerana sesungguhnya keredhaan Allah itu
terletak pada keredhaan suami.

Bila suami pulang segeralah bukakan pintu. Persilakan
masuk dengan penuh hormat dan dengan kata-kata yang
lemah lembut. Sambutlah tangan suami dan ciumi ia
sebagai tanda hormat serta meminta maaf, walaupun
isteri merasakan tidak berbuat sebarang kesalahan pada
hari itu. Bukannya isteri yang hulurkan tangan untuk
dikucup oleh suami sepertimana yang dilakukan oleh
kebanyakan orang Barat hari ini.

Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami
bersalaman dengan isterinya, maka gugurlah segala dosa
dari sela-sela jari mereka berdua. Begitulah Maha
Pengampunnya Allah; dosa isteri gugur hanya dengan
bersalaman dengan suami. Oleh itu rebutlah peluang
dalam sebarang kesempatan untuk bersalaman dengan
suami dan meminta maaf daripada suami. Tentunya tidak
terhad hanya ketika suami pulang daripada kerja
sahaja; lazimkan perbuatan ini ketika selepas solat
jemaah, ketika hendak keluar dari rumah atau pun
setelah membuat sebarang kesilapan samada kecil atau
besar; supaya sentiasa mendapat keampunan Allah.
Andaikata mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu
untuk selalu bersalaman dengan ayahnya. Kelaziman ini
akan memupuk rasa kasih dan hormat anak-anak kepada
orang tua.

Jika suami pulang membawa buah tangan, sambutlah
dengan ucapan terima kasih. Jangan biarkan sampai
barang itu lama di tangannya atau suami meletakkannya
sendiri di dapur. Ini tanda isteri tidak menghargai
buah tangan yang dibawa oleh suami.

Jangan pula bertanya soalan-soalan seperti ‘kenapa
tidak beli barang yang dipesan?’ dan seumpamanya.
Soalan yang di tanya bertubi-tubi ketika suami sedang
penat hanya akan membosankan suami, malahan mungkin
akan menimbulkan kemarahannya.

Pernah disebut dalam riwayat, pada zaman Rasulullah,
ada seorang wanita yang bakal masuk syurga lebih
dahulu daripada Siti Fatimah. Wanita itu begitu taat
serta sangat memuliakan suaminya. Dia menunggu
kepulangan suaminya dengan pakaian yang bersih serta
mengghairahkan; disediakan tuala, air sejuk dan
sebatang rotan. Segala perbuatannya itu menjadi tanda
tanya kepada Siti Fatimah yang mengunjunginya. Lalu
beliau bertanya untuk mengetahui di sebalik perlakuan
wanita itu.

Wanita itu pun berkata: “Aku bersiap-siap dan
menyinsing kainku ialah supaya mudah jika suamiku
ingin menyampaikan hajatnya. Adapun tuala ini ialah
untuk mengesat peluhnya, air ini ialah untuk
menghilangkan dahaganya dan rotan ini ialah untuk dia
menghukum aku jika aku membuat sebarang kesalahan.”

Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi
pekerti isteri. Biarpun seorang isteri itu tidak
cantik tapi jika cukup sempurna layanannya terhadap
suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi
penghibur dalam rumahtangga.

Oleh itu wahai wanita-wanita atau para isteri-isteri
hendaklah berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri
yang solehah, yang bertaqwa berakhlak mulia dan taat
kepada suami. InsyaAllah seorang isteri itu akan
disayangi oleh Allah, suami malah seluruh makhluk di
dunia. Sabda Nabi:

     “Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang
isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu
burung-burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat
di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan
suaminya.”

Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas maka
berbanyak-banyaklah isteri itu mencari keredhaan Allah
melalui suami.
 


 

WANITA ADIL: PENYELAMAT KEHIDUPAN DUNIA & AKHIRAT

Sifat manusia suka pada keadilan. Benci pada
kezaliman. Suka kebenaran dimenangkan, kebatilan dan
kejahatan dijatuhkan. Apakah yang dimaksudkan dengan
adil? Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Sebagai hamba Allah, adil yang diminta oleh Allah agar
manusia melakukannya ialah taat, patuh pada semua
hukum-hukum Allah.

Yakin kalau Allah menetapkan sesuatu itu hukumnya
wajib, maka sama-samalah kta akui ianya wajib dan
sedaya upaya melaksnakannya. Kalau Allah menghukumkan
sesuatu itu sunat, maka kita pun kata sunat dalam
mengamalkan. kalau sesuatu yang Allah tentukan haram,
maka kita juga mengharamkannya dan mesti menjauhinya.
Begitu juga dalam hukum makruh dan harus. Sekiranya
sesuatu hukum yang Allah tetapkan wajib tapi kita kata
sunat ertinya kita telah melakukan sesuatu yang tidak
adil. Lagi tidak adil dan jahat bagi seseorang yang
melanggar perintah Allah dengan sengaja. Misalnya dia
tahu perkara itu haram, tapi dibuatnya juga, maka ia
tergolongan dalam golongan orang yang zalim dan
tunggulah kehinaan dan kesengsaraan akan ditanggung di
dunia lagi.

Mari kita lihat apakah kita telah melakukan keadilan
pada diri kita. Mula-mula mari kita renung kembali
hadis Rasulullah saw yang bermaksud:

“Apabila seseorang wanita itu telah melakukan
sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,
menjaga maruah diri dan taat akan suaminya, maka dia
dipersilakan masuk syurga mengikut pintu mana yang dia
suka (mengikut pilihannya).”  Riwayat Ahmad.

Inilah syarat awal untuk wanita layak diterima jadi
orang yang bahagia di akhirat. Ertinya keempat syarat
ini mesti ada pada seorang wanita untuk layak ke
syurga. Tempat berkumpul segala kenikmatan milik
Allah. Syurga yang mana tiada lagi kita perlukan
menanggung susah dan derita. Sebelum layak masuk
syurga di akhirat kita akan diuji dengan perintah
suruh dan perintah larang. Perintah ini sengaja Allah
turunkan untuk dinilai siapakah hamba-Nya yang
benar-benar taat untuk Allah beri penghormatan di
akhirat nanti.

Seorang wanita yang adil ialah wanita yang sudah dapat
melaksanakan sembahyang dengan sempurnanya; puasa di
bulan Ramadhan; mentaati suami (yakni sanggup melayan
apa jua kemahuan suami, sentiasa bermanis muka dengan
suami di kala senang atau susah, mengutamakan kehendak
suami lebih dari keinginan hatinya, makan-minum,
berpakaian, mengatur rumahtangga, membuat sebarang
keputusan dan lain-lain); menjaga maruah diri (seperti
tidak membenarkan lelaki yang bukan muhram masuk ke
rumah jika suami tidak ada, atau keluar rumah dengan
mendedahkan aurat tanpa izin suami, berjalan seorang
diri, berkelakuan yang tidak sopan yang boleh
menyebabkan orang pandang benci padanya, suka menjaga
tepi kain orang, beramah mesra dengan lelaki lain yang
akan menyebabkan suami terpaksa menanggung malu dan
menanggung dosa di akhirat dari perbuatan si isteri).

Apakah diri kita termasuk orang-orang yang mampu
menjaga itu semua? Apa yang kita boleh lihat dalam
masyarakat kita ialah ramai wanita yang sering
menzalimi dirinya, tanpa kita sedar. Ada yang punya
ilmu agama bahkan menyertai perjuangan Islam tapi
masih lagi bebas keluar rumah. Pagi-pagi lagi mereka
sudah berebut-rebut dengan lelaki bukan muhrim di
stesyen bas yang kesesakan untuk ke tempat kerja.
Walaupun mereka boleh tutup aurat, tetapi mampukan
mereka mengawal diri agar tidak bergaul dengan lelaki
teman sepejabat. Ataupun mana ada pejabat yang
mengasingkan pekerja lelaki dengan perempuan?

Terperangkaplah wanita-wanita yang bekerja dalam
pergaulan dengan lelaki yang bukan muhrimnya, samada
dalam keadaan dia suka atau dia membencinya. Ini
kerana keadaan tempat kerja memaksa ia jadi begitu.
Kalau dia cuba juga mengelak-elakkan diri agar jangan
tidak terlibat dengan lelaki di tempat kerja, mungkin
dalam perjalanan balik, masa terima gaji, masa membeli
belah, sewaktu menghadiri mesyurat pejabat menghadiri
seminar atau majlis sosial yang dianjurkan oleh teman
sepejabat, itu semua akan menjerat wanita untuk
terpaksa bergaul juga dengan lelaki. Yang mana kalau
pun pergaulan itu tidak sampai kepada perbuatan yang
buruk, tapi ia tetap dilarang oleh Allah.

Bila wanita diberi tanggungjawab atau kerja yang sama
taraf dengan lelaki, maka berbagai-bagai kesan yang
timbul. Yang paling ketara ialah terbengkalai
kerja-kerja di rumah yang sepatutnya dilaksnakan oleh
wanita. Anak-anak kurang dapat perhatian dan kasih
sayang, suami pun tidak punya kesempatan untuk dilayan
dengan baik. Walhal fungsi dalam rumahtangga
sebenarnya sudah terlalu berat untuk seorang wanita
melakukannya. Sekiranya ia berada sepenuh masa di
rumah, maka sudah tentu akan sibuk dengan kerja-kerja
rumah yang tidak pernah habis.

Orang gaji tidak mungkin dapat menyempurnakan
tugas-tugas rumahtangga. Walaupun orang gaji yang
mampu memasak, membersih dan mengemas rumah tapi
mempukah dia mencurahkan kasih sayang, mendidik dan
mengasuh akan-anak dengan ikhlas seperti seorang ibu?
Dan mahukah kita agar orang gaji melayan suami kita
makan dan melayan keperluan-keperluannya yang lain
agar ia rasa tenteram dan bahagia bila berada di
rumah? Tentu kita tidak mahu.

Kerap terjadi kisah anak-anak jadi liar, terlibat
dengan penagihan dadah, suami curang dengan orang
gaji, atau dengan perempuan lain di luar rumah. Yang
mana sebahagian dari puncanya adalah dari kesalahan
isteri sendiri. Walaupun tidak dinafikan juga memang
ada setengah suami yang memang tunggu peluang untuk
buat jahat dengan perempuan lain tapi kalaulah suami
itu mendapat perhatian istimewa, layanan yang cukup
mesra, dimuliakan oleh isterinya, bukan dengan dibuat
dengan secara paksa-paksakan diri tentu suami akan
rasa bahagia. Dan tentunya dia tidak mencari hiburan
yang lain di luar rumahtangganya.

Biasa terjadi kisah pahit dalam kehidupan sepasang
suami isteri yang sama-sama menjawat jawatan penting
dan punya kelulusan tinggi. Suami isteri kedua-duanya
ada ijazah Ph.D. Si isteri yang punya kelulusan yang
tinggi dan bijak pula memberi buah fikiran, maka si
suami setiap kali memberi buah fikiran, maka si suami
setiap kali merencang sesuatu perkara mesti menanyakan
pendapat si isteri. Hatta untuk masak apa pada hari
itu pun ditanya pendapat isteri. Mula-mula memang
isteri seronok juga suami menghormati pandangannya.
Tapi lama-kelamaan timbul rasa jemu pada sikap
suaminya yang begitu. Akhirnya si isteri menuntut
cerai dengan alasan dia jemu bersuamikan seorang
lelaki yang tiada sifat kepimpinan dalam diri.

Katanya dia berkahwin dengan lelaki itu minta
dipimpin. Tapi cita-cita dan harapannya itu ternyata
gagal. Oleh kerana tidak merasa dilindungi dan
dipimpin serta tidak nampak wibawa atau ketokohan
suami sebagai orang yang menentukan perjalanan
rumahtangganya, maka wanita itu sudah tidak sanggup
lagi untuk hidup dengan lelaki yang begitu.

Inilah akibat kalau suami gagal memahami fitrah
isterinya, fitrah seorang wanita. Sehebat manapun
seorang wanita di luar rumah, tapi fitrah hatinya, ia
suka untuk dipimpin. Di pihak isteri pula dia juga
bersalah kerana tidak menunjukkan rasa hormat dan
mengutamakan pendapat si suami, sehingga suami jadi
bimbang untuk buat keputusan sendiri. Takut isteri tak
setuju.

Ramai lagi wanita-wanita yang sedang dilanda kedukaan
akibat dari gagalnya mereka meletakkan diri pada
tempat yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul. Ada
wanita-wanita yang melanggar perintah Allah dengan
menjual kecantikan diri, menjual suara, bakat berlakon
dengan macam-macam cara yang pada hakikatnya menjual
maruah diri, kononnya mereka hendak mengejar
kebahagiaan hidup. Bercita-cita untuk jadi terkenal
dan berjaya. Hidup penuh glamour. Tapi sejauh manakah
mereka benar-benar bahagia dalam hidup dengan mengejar
kemewahan dunia yang tidak tentu berjayanya?

Yang berjaya menjadi pujaan maka ramailah peminat,
akhirnya tersangkutlah yang istimewa. Lepas itu
kahwin. Mula-mula kahwin, surat khabar bukan main
cerita kisah percintaan yang macam Laila Majnun,
pasangan yang ideal satu pasangan yang bahagia. Tapi
belum sampai setahun sudah terdengar khabar mereka
mula sudah tidak ada kesefahaman. Duduk asing-asing
(sudah tiru cara orang barat), akhirnya selesai dengan
perceraian.

Mana dia pasangan bahagia yang dicanang-canangkan
dulu? Bahagia ikut nafsu. Yang mana kalau nafsu sudah
dapat dia hendak pada yang lain pula. Isteri cantik
macam mana, tapi kalau perangai tak senonoh, asyik
berkepit atau berhubung dengan lelaki lain, pergi
balik ditemani lelaki lain, mana suami yang tidak
cemburu. Kalau pun suami tak cemburu, ertinya suami
itu adalah suami yang dayus, yang sudah tidak sensitif
sebagai suami. Suami dayus yang membiarkan isteri
berada dalam kemaksiatan (termasuk suami isteri
menyanyi di atas pentas dan ditontoni orang ramai),
nerakalah tempatnya yang layak untuknya.

Itulah kehinaan yang sedang Allah timpakan pada mereka
yang mengejar nama, kemuliaan dan sanjungan sehingga
tak segan silu lagi melanggar larangan Allah. Bahkan
turut melalaikan orang lain agar lalai dengan Allah
swt. Allah hukum mereka di dunia lagi, tidak diberi
ketenangan pada jiwa, sentiasa merasa tidak cukup
dengan apa yang ada, berangan-angan untuk hidup lama,
ingin memiliki apa yang orang lain ada, sehingga
kerana itu mereka bermati-matian sanggup kurang tidur,
berletih, untuk kejar keuntungan dunia yang belum
tentu hasilnya. Apa yang mereka kejar itu tidak akan
ada noktahnya melainkan mati saja. Kalau matilah dalam
keadaan itu, di akhirat nanti neraka yang penuh dengan
kesengsaraan sedia menunggu untuk mereka.

Kiranya beruntunglah wanita yang pandai meletakkan
dirinya, yakni wanita yang sanggup susah-susah diri
agar dapat mentaati perintah Allah. Mereka ini akan
dapat ganjaran daripada Allah sebagaimana Firman Allah
yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang Islam lelaki dan orang-orang
Islam perempuan, orang-orang Mukmin lelaki dan
orang-orang Mukmin perempuan, lelaki yang berbakti dan
perempuan yang berbakti, lelaki yang sabar dan
perempuan yang sabar, lelaki yang khusyuk dan
perempuan yang khusyuk, orang-orang lelaki yang
bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah,
orang-orang lelaki yang berpuasa dan orang-orang
perempuan yang berpuasa, orang-orang permpuan yang
menjaga kemaluannya, dan orang-orang lelaki yang ingat
pada Allah dan orang-orang perempuan yang ingat pada
Allah; telah Allah sediakan bagi mereka keampunan dan
pahala yang besar.”  Surah Al Ahzab: 35
 


 


 
 


1 1