Sejarah Perkembangan Fesyen Remaja

Sejarah Perkembangan Fesyen Remaja

Fesyen berubah mengikut putaran masa. Jika kita mengkaji secara mendalam tentang sejarah fesyen, kita pasti akan tertarik dengan kepelikan fesyen dan dunia fesyen yang berwarna-warni.
Sebenarnya, trend dan fesyen di kalangan remaja bukanlah suatu fenomena yang baru. Pendekata, ia telah pun wujud sejak zaman ibu bapa kita lagi ketika mereka masih muda remaja. Pada masa itu, baju tradisional menjadi pilihan mereka khususnya untuk menghadiri sesuatu majlis rasmi atau sewaktu meraikan sesuatu perayaan. Bak kata pepatah, sekali laut berombak, sekali pantai berubah. Begitulah juga halnya dengan dunia fesyen. Ia berubah mengikut selera.
Jika kita mengimbas kembali zaman silam, kita akan dapati bahawa era enam puluhan diwarnai dengan fesyen ‘pop yeh-yeh’. Gadis-gadis Melayu pada ketika itu gemar memakai kebaya ketat Indonesia lengkap dengan koset berwarna hitam yang menampakkan lagi bentuk tubuh badan mereka dan pinggang mereka yang kecil dan ramping. Pakaian mereka pula sering dipadani dengan kaca mata hitam dan tas tangan yang agak kecil. Yang jejakanya juga tidak ketinggalan dalam mengikuti arus perkembangan fesyen. Mereka pula gemar memakai baju tuksedo yang dipadani dengan tali leher serta mengenakan rambut ala ‘The Beatles’. Walaupun remaja sekarang menganggap fesyen tersebut agak kolot dan ketinggalan zaman, kini ia menjadi satu ikutan di kalangan anak muda sekarang seperti kumpulan muzik tempatan ‘Stoned Revivals’. Perkembangan ini boleh dikatakan agak unik!
Fesyen tujuh puluhan pula dipengaruhi dengan fesyen hippi dari barat, iaitu lelaki dan wanita berambut panjang dan memakai pakaian berwarna-warni yang berbunga-bunga. Selain dari fesyen hippi, remaja zaman itu juga cenderung memakai pakaian yang berkonsep ‘retro’. Konsep ini timbul dari pengaruh remaja barat yang berpakaian demikian apabila ke disko. Bagi pihak perempuan, mereka gemar memakai baju yang ketat dan tidak berlengan ketat dan dipadankan dengan skirt mini. But kulit juga tidak ketinggalan; jika tiada but, mereka akan memakai kasut jenis ‘platform’.
Bagi yang lelaki pula, mereka gemar memakai kemeja ketat yang berlengan hingga ke paras siku. Seluar mereka berfesyen ‘bell-bottom’. Ada juga yang berfesyen rambut ‘afro’, iaitu rambut kembang seperti sarang lebah. Inilah trend retro tujuh puluhan!
Masa berubah. Tahun lapan puluhan pula bermula. Fesyen dalam dekad itu tidak begitu menarik; ia boleh dikatakan agak hodoh. Remaja perempuan memakai perhiasan telinga berwarna-warni yang agak besar dan pakaian yang tiada kombinasi warna. Fesyen rambut lelaki dan perempuan kelihatan seperti rambut Princess Diana. Fesyen lapan puluhan juga tidak begitu menarik seperti fesyen tahun enam puluhan dan tujuh puluhan.
Kini tibalah kita ke fesyen sembilan puluhan. Inilah masanya di mana ramai remaja yang sebaya dengan saya memperagakan fesyen mereka dengan bangganya. Konsep ‘skaters’, ‘surfers’, ‘niggers’, ‘old skool’, ‘Ah Beng, ‘Ah Lian’ dan ‘ska’ begitu diutamakan. Oleh kerana terlalu banyak konsep, maka saya akan memilih tiga sahaja untuk penjelasan lanjut.
Pertama, konsep ‘skaters’ timbul apabila remaja terpengaruh dengan rekreasi remaja barat di televisyen; mereka menaiki papan beroda atau dipanggil ‘skateboard’ di bandar atau di sudut jalan. Remaja golongan ini gemar memakai baju-baju yang longgar dan seluar yang berlebihan inci dari paras pinggang. Kebanyakan ‘skaters’ adalah lelaki.
Kedua, ialah konsep ‘old skool’. Konsep ini dipengaruhi dari era zaman akhir tujuh puluhan dan awal zaman lapan puluhan, apabila Nike, Yonex dan Adidas menerbitkan edisi pakaian sukan dan pakaian riadah aktif untuk remaja. Ia gagal mendapat sambutan hangat pada masa itu, tetapi sekarang, dengan kemunculan banyak kedai peralatan sukan di bandar ia mendapat sambutan yang di luar dugaan. Faedahnya, ia tidak memerlukan banyak perbelanjaan!
Yang terakhir ialah konsep ‘ska’. Sebenarnya konsep ini telah lama diamalkan, hanya sambutannya tidak begitu hangat di negara kita. Walaupun begitu, agak ramai remaja mengamalkan konsep ini. Bagi pihak lelaki berkonsep ‘ska’ bermakna mempunyai sekumpulan rakan yang dipanggil ‘rude boys’. Bagi pihak perempuan pula, mereka dipanggil ‘rude girls’. Mereka mengutamakan warna hitam dan putih untuk pakaian mereka, ataupun hitam sahaja. Pengikut konsep ‘ska’ juga mendengar muzik istimewa rentak ‘ska’ yang berasal dari California, Jamaica dan negara Britain
Pengikut ‘ska’ lelaki kebanyakannya memakai ‘suit’ atau tuksedo dan berkasut but. Mereka juga memakai kemeja bersama ‘vest’ dan seluar hitam jika tiada ‘suit’. Pengikut ‘ska’ perempuan pula memakai baju hitam atau putih berlengan panjang dan juga skirt hitam dan berkasut but. Biar apapun fesyen yang muncul, yang jelas remaja sekarang lebih bergaya dan lebih berani memperagakan fesyen pakaian kegemaran mereka, kerana ini akan meningkatkan imej mereka di mata masyarakat dan membuat mereka berasa lebih konfiden.
Kesan buruknya ialah mereka akan mengabaikan pelajaran kerana terlalu asyik dengan fesyen dan trend pakaian hari ini. Bukankah fesyen akan berubah? Saya akan menanti masanya bila tiba fesyen baru yang akan datang dan mengikuti perkembangan selanjutnya.

Fairuz Bte Shariff
Menengah 4 Ekspres (5)
Sekolah Menengah Dunearn

 



Please report any broken links to the webmaster here.

Copyright Perbayu 2000/2001

1