BACK TO MALAYSIA & HUMAN RIGHTS HOMEPAGE
BACK TO MADPET HOMEPAGE

 

Persoalan moral hukuman mati

Oleh C Ramasamy
rama@hmetro.com.my

BAHAGIAN AKHIR (sambungan semalam)
 

SATU lagi alasan penuh berfalsafah ialah seseorang tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas kesalahan yang dilakukannya kerana segala apa yang terjadi sudah ditakdirkan.

Bagaimanapun, semua alasan mudah itu bukan tunjang utama kepada kelangsungan pergerakan untuk memansuhkan hukuman mati.

Sebaliknya ia berkaitan satu soalan yang tiada siapa pun dapat memberikan jawapan pasti dan tegas: Bagaimana jika seorang manusia yang tidak bersalah dihukum mati dan dia menjalani hukuman itu? Bolehkah nyawa yang tidak ternilai itu dikembalikan?

Sebab itu ahli pemikir Perancis, Voltaire berkata: “Adalah lebih baik menyelamatkan seorang yang bersalah daripada menghukum seorang yang tidak bersalah.”

Pengamal undang-undang sendiri mengakui sistem keadilan jenayah, yang dicipta manusia dengan segala kelemahannya, tidak sempurna, malah tidak mungkin ada kaedah yang tidak bocor dapat dicipta.

Semua mereka yang melaksanakan sistem keadilan jenayah - polis, pendakwa, peguam dan hakim - hanya manusia biasa dan mereka berkemungkinan tersilap dalam tindakan dan keputusan yang diambil.

Soalan berkenaan mengundang pendekatan yang lebih kritis dan berlainan kepada keseluruhan isu penghapusan hukuman mati.

Perkara sama turut disentuh N Surendran, Charles Hector, Amer Hamzah Arshad dan Sreekant Pillai dalam usul mereka itu.

Mereka bimbang ada orang di negara ini dihukum mati bagi kesalahan yang mereka tidak lakukan.

Menurut mereka: “Malaysia pada masa sekarang kekurangan pelindung untuk memastikan perbicaraan yang adil.

“Contohnya, seseorang yang ditahan tiada akses kepada peguam dan tiada hak untuk mendapatkan pendedahan penuh berhubung bukti yang dimiliki polis dan pendakwa.

“Wujud juga prejudis ekstrem terhadap mereka yang ditahan untuk jenayah berat seperti menurut Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan andaian mereka mengedar dadah sekali gus menyebabkan tanggapan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya terabai.”

Akibat kelemahan itu, kata mereka, sistem keadilan jenayah yang ada hari ini termasuk pelbagai peringkat mahkamah tidak mungkin dapat menghalang seseorang yang tidak bersalah terhukum dan menjalani hukuman mati.

Insiden seseorang yang tidak bersalah menjalani hukuman mati berlaku di seluruh dunia tetapi ia lebih tampak di Amerika Syarikat disebabkan kemajuan sains forensik khasnya ilmu DNA di negara berkenaan mendedahkan kelemahan yang wujud.

Di China umpamanya, beberapa bulan sudah seorang lelaki dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh seorang wanita.

Sebagaimana dihukum, dia ditembak mati skuad penembak. Bagaimanapun, beberapa minggu selepas itu, wanita yang ‘dibunuh’ lelaki malang berkenaan didapati masih hidup!

Di Amerika, menurut laporan, sejak 1973, seramai 99 ‘pesalah’ dibebaskan daripada menjalani hukuman mati selepas bukti yang diperoleh selepas hukuman dijatuhkan mahkamah mendapati mereka tidak bersalah sebagaimana dituduh dan hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka tidak sah.

Dalam analisis yang dibuat didapati kesilapan dalam pelaksanaan keadilan itu berpunca daripada pelbagai faktor termasuk salah laku di pihak polis dan pendakwa, penggunaan keterangan saksi, bukti fizikal atau pengakuan yang diragui serta pembelaan tidak memadai.

Apa yang malang, ada sebilangan ‘pesalah’ lain sudah menjalani hukuman mati meskipun pensabitan kesalahan mereka kini menimbulkan keraguan meyakinkan!

Situasi itu mendorong Gabenor Illinois, George Ryan mengisytiharkan moratorium ke atas pelaksanaan semua hukuman mati pada Januari 2000.

Beliau mengambil tindakan itu selepas seorang ‘pesalah’, yang ke-13 di negeri itu, dilepaskan daripada menjalani hukuman mati selepas bukti menunjukkan dia tidak bersalah.

Ryan berkata: “Saya tidak akan menyokong satu sistem (keadilan jenayah) yang terbukti mempunyai kelemahan sehingga boleh meragut nyawa seorang insan yang tidak bersalah.

“Hukuman mati tidak akan dilaksanakan di Illinois sehingga saya benar-benar pasti hanya mereka yang bersalah dihukum dan mereka yang tidak bersalah tidak tersilap dihukum.”

Di Malaysia, di antara tempoh 1981 dan 2005, seramai 358 orang dilaporkan menjalani hukuman gantung, kebanyakannya atas kesalahan dadah.

Sehingga Disember tahun lalu, seramai 173 pesalah menunggu untuk menjalani hukuman mati di negara ini.

Satu persoalan yang harus difikirkan ialah mungkinkah ada antara mereka yang tidak bersalah?

Apatah lagi kemajuan sains forensik di negara ini masih jauh terkebelakang berbanding negara barat.

Seperkara yang menarik ialah kesahihan pelaksanaan hukuman mati di Malaysia pernah dicabar secara undang-undang buat pertama kali pada awal 1980-an dalam kes Pendakwa Raya lawan Lau Kee Hoo.

Dalam kes itu, Lau dituduh mengikut Seksyen 5 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) atas kesalahan memiliki peluru yang sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori.

Peguam Lau, Karpal Singh, dalam bantahan awalnya, berhujah di Mahkamah Persekutuan bahawa hukuman mati mandatori bertentangan dengan Perkara 5 (1), 8 (1) dan 121 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut: Tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya...kecuali menurut undang-undang.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan bertarikh 25 Oktober 1982 memberikan penghakiman bahawa hukuman mati itu adalah selari dengan Perlembagaan.

Menurut mereka, Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan membolehkan kemungkinan Parlimen menggubal undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati dan justeru, ia sejajar dengan Perlembagaan.

Malah, mereka berkata, tiada yang luar biasa hukuman mati dijadikan mandatori sambil melahirkan kekhuatiran kemustajabannya hilang jika ia tidak sedemikian rupa.

Ketua Hakim Negara, ketika itu, Tun Mohamed Suffian Hashim dalam penghakimannya berkata: “Terdapat satu kempen yang diilhamkan sebilangan negara Barat untuk melupuskan hukuman mati dengan alasan ia kejam, tetapi dalam Perlembagaan kita tiada peruntukan melarang ‘hukuman luar biasa dan kejam’ sebagaimana terkandung dalam Perkara VIII Perlembagaan Amerika.”

Persoalan sama ada pelaksanaan hukumam mati adil atau sebaliknya tertakluk kepada tafsiran setiap individu.

Seorang pembaca bertanya: “Adakah anda akan menyokong untuk menghapuskan hukuman mati jika mangsa yang dibunuh itu adalah anggota keluarga kamu?”

Seorang pembaca lain pula menyoal: “Tidakkah anda akan menyokong untuk memansuhkan hukuman mati sekiranya pesalah yang bakal digantung itu adalah anggota keluarga kamu?”