USAHAWAN DAN KEGEMILANGAN ISLAM 

Dewan Ekonomi, Julai 1999, ms 47-48 

Usahawan, sebagai manusia, tidak boleh dianggap sebagai salah satu dari faktor pengeluaran. Kalau usahawan dianggap sebagai salah satu faktor pengeluaran, usahawan itu diturunkan status mereka kepada status faktor-faktor pengeluaran yang lain, seperti tanah, modal dan sebagainya yang semuanya sebenarnya dijadikan Allah untuk digunakan oleh manusia. 

Mereka akan mengeksploitasi sumber-sumber alam dan faktor-faktor pengeluaran yang lain secara berlebihan kerana antara mereka, termasuk usahawan itu sendiri sebagai salah satu faktor pengeluaran, terpaksa bersaing dengan faktor-faktor pengeluaran yang lain. 

Dalam banyak kes, usahawan begini bukan sahaja merendahkan statusnya kepada status faktor-faktor pengeluaran berkenaan, tetapi lebih dari itu menjadi hamba kepada faktor-faktor pengeluaran itu, dan seterusnya hamba kepada hasil pengeluaran. Dalam keadaan ini, tidak mungkin usahawan berkenaan dapat menggemilangkan Islam. 

Bagaimana hamba kepada kebendaan, dan bukan hamba kepada Allah, boleh menggemilangkan Islam? Mereka yang menjadi hamba kepada kebendaan adalah manusia yang lemah dan tidak mempunyai tahap pengorbanan yang tinggi, sedangkan usaha menggemilangkan Islam memerlukan manusia yang kuat dalam pelbagai segi dan mesti melibatkan pengorbanan yang bukan sedikit. 


BUKTI DARIPADA SEJARAH 

Antara kemelut awal dalam sejarah manusia telah membuktikan bahawa jiwa pengorbanan yang rendah bukan sahaja tidak boleh menggemilangkan Islam, tetapi juga merosakkan perpaduan. Peristiwa Qabil-Habil cukup mengajar manusia tentang betapa lemahnya jiwa orang yang tunduk kepada kekayaan kebendaan dan betapa ia boleh membawa kepada perpecahan hingga menumpahkan darah. 

Apabila disampaikan oleh bapa mereka Nabi Adam Alaihissalam kepada kedua anaknya Qabil dan Habil tentang Allah memerintahkan mereka supaya memberikan pengorbanan (dalam bentuk zakat) dari harta benda mereka, ternyata Qabil yang menjadi hamba kebendaan lebih dari hamba Allah SWT telah memenuhi kepentingan dirinya lebih dari kepentingan Allah SWT dan agamanya. Qabil telah memberikan tanamannya yang busuk sebagai pengorbanan sedangkan yang elok-elok disimpan untuk kepentingan dirinya sendiri. 

Keadaan ini berbeza dengan Habil yang memberikan ternakan biri-birinya yang paling bagus dan paling disayanginya sebagai pengorbanannya kepada Allah SWT. Keburukan Qabil yang menjadi hamba kepada kebendaan itu sampai kepada kemuncaknya apabila beliau membunuh Habil yang telah ditetapkan oleh Nabi Adam berkahwin dengan adik perempuan mereka yang lebih cantik berbanding dengan yang dijodohkan dengan Qabil. Jadi walaupun Qabil cemerlang di dalam mengendalikan perusahaan tanamannya, namun beliau tidak dapat menggemilangkan Islam, malah merosakkan perpaduan, merosakkan diri adiknya malah merosakkan dirinya sendiri. 

Begitulah juga dengan Qarun di zaman Nabi Musa dan Sha’labah di zaman Rasulullah s.a.w. 


USAHAWAN CEMERLANG DARIPADA DEFINISI ISLAM 

Dapat disimpulkan bahawa usahawan yang mampu menggemilangkan Islam ialah usahawan yang cemerlang mengikut definisi Islam itu sendiri. Dalam mengendalikan perusahaannya mereka, status mereka sebagai hamba dan khalifah Allah tetap dipertahankan. Jiwa mereka kuat dan pengorbanan mereka adalah tinggi. Contohnya antara lain ialah seperti Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar Ibn Khattab, Sayyidina Uthman Affan dan Sayyidina Abdul Rahman bin ‘Auf pada zaman Rasulullah s.a.w, budak pengembala kambing dan Jariah di zaman Khalifah Sayyidina Umar Ibn Khattab. 

Sayyidina Abu Bakar mengurbankan kesemua hartanya untuk menggemilangkan Islam, manakala Sayyidina Umar tiga perempat, Sayyidina Uthman separuh dan Sayyidina Abdul Rahman tidak kurang juga banyaknya. Budak pengembala kambing dan Jariah (ertinya budak perempuan) di zaman Khalifah Sayyidina Umar pula menggemilangkan Islam melalui kejujuran masing-masing. 

Manakala budak pengembala kambing takut menjualkan ternakan pengembalaannya tanpa diketahui tuannya kerana menyedari Allah SWT melihat perbuatannya, Jariah pula enggan menurut perintah ibunya mencampurkan susu dengan air kerana taat kepada larangan Khalifah dan sangat takut kepada Allah SWT. Kerana jujurnya Jariah, Sayyidina Umar mengambil Jariah sebagai menantunya. Secara ringkas ceritanya begini. 

Satu malam, seperti malam-malam biasa, Sayyidina Umar sebagai khalifah mengelilingi Kota Madinah bersama pembantunya bernama Aslam. Setelah keletihan beliau bersandar di dinding sebuah rumah penjual susu dan tiba-tiba terdengar dari dalam rumah percakapan seorang ibu dengan anak perempuannya: 

Ibu: Berdirilah dan campurlah susu itu dengan air. 

Anak: Wahai ibu, apakah ibu tidak tahu ketegasan Amirul Mukminin sekarang dalam menjalankan perintah? 

Ibu: Apa gerangan perintah itu? 

Anak: Beliau telah menyeru kepada semua penjual susu, bahawa dilarang mencampuri susu dengan air! 

Ibu: Hai anakku, orang ramai telah melanggar perintah itu, maka langgar pulalah olehmu, engkau berada di suatu tempat yang tidak boleh dilihat Umar dan tidak pula pembantunya, dan dia tidak akan tahu hal itu. 

Anak: Jika Umar tidak tahu, tetapi Tuhan Umar pasti tahu. Demi Allah, saya bukanlah orang yang tergolong mentaatinya di hadapan orang ramai tetapi mendurhakainya di waktu sunyi. 

Mendengar percakapan itu, Khalifah Sayyidina Umar berkata kepada pembantunya: “Tandailah rumah ini dan ingat tempat ini baik-baik!”. Keesokannya Sayyidina Umar menyuruh Aslam pergi memerhatikan rumah itu dan penghuninya dan didapati kedua-dua ibu dan anak itu adalah janda, dari kaum Bani Bilal. Sayyidina Umar lantas memanggil anaknya bernama Ashim dan dikahwinkan dengan Jariah yang jujur dan tinggi keTauhidannya itu. 

Dari perkahwinan itu dikurniakan anak perempuan bernama Laila Ummi Ashim yang kemudiannya berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan dan mendapat anak lelaki bernama Umar Ibn Aziz. Jariahlah nenek kepada Khalifah Umar Ibn Aziz yang terkenal telah menggemilangkan Islam pada zaman pemerintahannya [1]. 


GARIS PANDUAN USAHAWAN CEMERLANG, ISLAM GEMILANG 

Daripada penghujjahan di atas, jelas bahawa usaha menjadi usahawan cemerlang yang boleh menggemilangkan Islam mesti bermula dengan Islam sendiri. Hal ini tidak mungkin berlaku kecuali usahawan-usahawan Islam kembali mempelajari dan menghayati ilmu Islam. 

Islam mempunyai empat sumber ilmu utama, yakni Al-Qur’an, Hadith, Ijmak Ulamak dan Qiyas Ulamak. Dari empat sumber ilmu ini lahirlah dua bentuk ilmu yakni Ilmu Fardhu Ain dan Ilmu Fardhu Kifayah. Ilmu Fardhu Ain ialah kewajipan individu manakala ilmu Fardhu Kifayah ialah kewajipan sosial. Ilmu Fardhu Ain terbahagi kepada tiga bentuk, yakni ilmu Tauhid, ilmu Fekah dan Ilmu Tasauf. Ilmu Tauhid adalah ilmu yang bersangkutan dengan aqidah, ilmu feqah bersangkutan dengan syariat manakala ilmu tasauf bersangkutan dengan akhlak. Dari ketiga-tiga ilmu ini, hanya ilmu Feqah terbahagi kepada empat bahagian iaitu bahagian ibadah, muamalat, munakahat dan jinayat. 

Ilmu fardhu kifayah pula ialah ilmu-ilmu gunaan yang khusus, umpamanya ilmu perubatan, ilmu politik, ilmu pemerintahan, ilmu ekonomi, ilmu sosial, ilmu pembangunan, ilmu perniagaan dan sebagainya. 

Usahawan yang belajar dan mengamalkan kedua-dua ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sahaja yang akan jadi cemerlang dan oleh itu akan dapat menggemilangkan Islam. Ilmu fardhu ain akan meningkatkan iman dan taqwa dan oleh itu meningkatkan kerohanian, manakala ilmu fardhu kifayah meningkatkan kecekapan dan profesionalisme. Tidak mungkin seseorang usahawan dapat menjadi cemerlang dan menggemilangkan Islam kalau mereka hanya mempunyai kecekapan dalam mengendalikan ilmu fardhu kifayah, dalam kes ini ilmu keusahawanan, sekiranya mereka tidak mempelajari dan mengamalkan ilmu fardhu ain. Begitulah juga sebaliknya. 

Para usahawan Islam merupakan sebahagian dari masyarakat Islam yang penting. Mereka boleh menggemilangkan Islam. Untuk ini mereka mestilah mempunyai dua asas yang penting. Pertama, mereka mesti menjadi usahawan yang cukup sebagai seorang manusia sepertimana ditetapkan oleh Islam, yakni manusia yang mempunyai gabungan rohani dan jasmani yang hidup di dunia ini untuk memenuhi janji mereka dengan Allah sebagai hamba dan khalifah Allah. Kedua, sebagai garis panduan, mereka mestilah berilmu dengan ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah dan bersumberkan Al-Qur’an, Hadith, Ijmak dan Qiyas Ulamak, dan mengamalkan ilmu-ilmu berkenaan dengan sebaiknya.