UTUSAN MALAYSIA : Sure Return labur RM1 juta hasilkan Spirulina

Oleh Daliza Ariffin

ALOR STAR 22 Jan. - Sure Return Corporation (M) Sdn. Bhd. (Sureco) akan melabur hampir RM1 juta untuk memperbesarkan pusat penternakan spirulina dan pemprosesan barangan berasaskan algae biru hijau di Kangar, Perlis menjelang tahun 2005

Pengarah Urusannya, Rasyid Abdullah, berkata, usaha itu dilakukan untuk meningkatkan kapasiti pusat penternakan itu dari 300 kilogram sebulan sekarang kepada tujuh tan.

``Kami perlu meningkatkan pengeluaran memandangkan permintaan pengguna yang mementingkan pengambilan makanan kesihatan berasaskan spirulina semakin meningkat,'' katanya.

Sureco syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) milik bumiputera yang terbabit dengan pengeluaran makanan tambahan berasaskan spirulina yang diproses secara halal, bermutu, segar dan bermutu tinggi.

Spirulina ialah sejenis algae atau rumpai air yang didakwa mengandungi pelbagai khasiat baik untuk kesihatan badan.

Rasyid memberitahu pusat penternakan spirulina milik syarikatnya menggunakan kaedah penternakan secara tertutup yang bernilai lebih daripada RM300,000.

Katanya, kaedah penternakannya adalah yang pertama seumpamanya digunakan di dunia dan ia mula beroperasi sejak tahun 2001.

``Menternak spirulina melalui kaedah tertutup adalah yang terbaik diamalkan kerana algae biru hijau itu cukup sensitif kepada perubahan cuaca seperti hujan, kekotoran, pH air dan lain-lain lagi.

``Sehubungan itu, dengan adanya kaedah ini, ia akan terlindung daripada kekotoran seperti habuk, najis binatang atau pelbagai lagi kekotoran lain yang mungkin termasuk dalam kolam berbanding kaedah penternakan secara terbuka.

Selain itu, jelasnya melalui konsep tersebut yang mana spirulina diternak di dalam beberapa buah bekas plastik yang besar tidak akan merosakkan keseluruhan benih sekiranya ia rosak.

``Jika sebuah bekas plastik rosak atau dijangkiti penyakit, kita boleh membuang sebuah bekas plastik sahaja dan syarikat tidak akan menanggung kos yang tinggi kerana ia tidak membabitkan keseluruhan spirulina yang diternak,'' ujar beliau lagi.

Mengenai projek pembesaran kompleks tersebut, Rasyid berkata, selain untuk memenuhi permintaan pasaran, ia juga adalah salah satu perancangan syarikat untuk mengeluarkan beberapa produk baru berasaskan spirulina pada tahun depan.

Antara produk berkenaan, katanya ialah sabun, minyak rambut, gula-gula dan makanan kesihatan tambahan yang akan dicampurkan dengan daun pegaga.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk melabur antara RM4 juta hingga RM5 juta pada masa depan untuk melengkapkan lagi kompleks itu dengan pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta pusat kajian khusus kepada para pelajar mengenai spirulina.

Ujarnya, spirulina yang diprosesnya menjadi makanan kesihatan tambahan kini berbentuk cecair pekat yang dicampurkan bersama mengkudu, cendawan merah dan madu lebah.

Rasyid memberitahu produk itu yang dikenali sebagai Sureco Spirulina merupakan penyumbang kedua terbesar kepada jualan keseluruhan syarikat pada tahun lalu.

``Kita jangkakan Sureco Spirulina akan mencecah jualan sehingga RM10 juta pada tahun ini berbanding RM5.2 juta pada tahun 2003,'' ujarnya.

Beliau berkata antara faktor yang akan menyumbang kepada kenaikan jualan tersebut ialah kedudukan syarikat yang semakin kukuh dengan pertambahan jumlah pengedar kepada 140,000 dari seluruh negara.

``Kita jangkakan pengedar baru akan bertambah dalam purata 8,000 hingga 10,000 orang pada tahun ini,'' jelas Rasyid.

Faktor lain, terang beliau ialah keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap produk Sureco kerana menghasilkan produk bermutu serta ia juga merupakan makanan kesihatan tambahan yang lengkap dan sesuai dimakan oleh semua peringkat umur pengguna.

Sementara itu, mengenai jualan keseluruhan produk Sureco pada tahun lalu, Rasyid menerangkan bahawa ia kini telah mencecah RM36 juta dan jumlah itu diunjurkan terus meningkat kepada RM50 juta pada tahun 2004.

Sureco kini mengeluarkan 13 produk berasaskan mengkudu, cendawan merah, spirulina dan madu lebah.