UTUSAN ONLINE : Internet akan melonjak - Tmnet

TMnet Sdn. Bhd. (TMnet), yang merupakan anak syarikat terbaru Telekom Malaysia Berhad menjangka pasaran Internet akan melonjak dalam masa setahun berikutan keyakinan mereka terhadap kedudukan ekonomi negara yang memberangsangkan dan pemulihan keyakinan terhadap perniagaan Internet.

Ketua pegawai eksekutif TMnet, Baharum Salleh memberitahu, syarikatnya yakin akan mendapat manfaat daripada keadaan tersebut, disamping tarikan pengenalan pelbagai perkhidmatan baru berasaskan Internet oleh TMnet.

``Pengumuman harga perkhidmatan jalur lebar yang lebih rendah misalnya akan meningkatkan lagi minat penggunaan Internet,'' katanya dalam satu laporan Utusan Online baru-baru ini.
Baharum yang melancarkan logo baru dan pengenalan TMnet sebagai entiti syarikat sepenuhnya turut memberitahu bahawa syarikatnya meletakkan sasaran mencapai perolehan perniagaan sebanyak RM1 bilion dalam masa tiga atau empat tahun ini.

Beliau berkata, pendapatan TMnet tahun lalu berjumlah RM300 juta dan syarikatnya menetapkan sasaran untuk mencapai pertumbuhan 40 peratus setiap tahun.

TMnet kini mempunyai 1.4 juta pelanggan daripada 2 juta pengguna Internet di negara ini. Ia juga mempunyai 3,000 pelanggan untuk perkhidmatan jalur lebar, 7,200 pelanggan untuk perkhidmatan Netmyne dan 500,000 ahli dalam portal Bluehyppo.