UTUSAN MALAYSIA : Pengusaha di minta pastikan produk halal bermutu

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pengusaha produk halal memastikan keluaran mereka benar-benar bermutu, berkhasiat dan bersih serta tidak bergantung kepada label halal semata-mata untuk melariskan jualan.

Perdana Menteri berkata, untuk menjadikan Malaysia pusat makanan halal di dunia, pengeluaran produk dengan label halal sahaja tidak mencukupi.

``Kita tidak boleh sekadar menjual produk dengan label halal tanpa mengambil kira nilai tambah lain. Produk tersebut mesti halal dan `tayyiban' iaitu halal dan baik.

``Produk yang halal, bermutu tinggi, berkhasiat dan bersih sudah tentu mudah dipasarkan bukan sahaja kepada orang Islam bahkan bukan Islam,'' katanya ketika berucap merasmikan Minggu Pembangunan Ekonomi Islam (MPEI) 2003 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

MPEI dianjurkan Majlis Pelan Tindakan Pembangunan Ummah (MPTPU) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin.

Abdullah mengingatkan pengusaha produk halal tempatan supaya meningkatkan pengetahuan di bidang pengeluaran supaya dapat digunakan dalam penghasilan produk mereka.

``Nak berjaya, halal sahaja tidak cukup, makanan perlu halal dan bermutu dan dibungkus dengan bungkusan yang baik.

``Nilai tambah hanya akan diperoleh jika kita ada ilmu dan kita perlu mengetahui pelbagai jenis ilmu,'' katanya.

Beliau berpendapat pengusaha tempatan masih kekurangan ilmu terutama di bidang sains dan teknologi menyebabkan kurang kepelbagaian dalam produk keluaran mereka.

Perdana Menteri menarik perhatian kepada pokok Tongkat Ali yang hanya ditumpukan oleh pengusaha tempatan pada akarnya sebagai pengubat tenaga batin sedangkan saintis di China mendapati bahagian lain pokok itu juga berkhasiat untuk penyakit lain.

Abdullah berkata, kekuatan ekonomi umat Islam bergantung kepada pengetahuan dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan yang boleh menentukan keamanan dan kekuatan negara.

Dalam hal ini, beliau mengajak semua pihak bergabung tenaga dan fikiran membangunkan ekonomi negara.

``Untuk menjadikan umat Islam maju serta menikmati hasanah di dunia dan di akhirat, setakat mengisytiharkan kita orang Islam sahaja tidak mencukupi kerana tanpa usaha kita tidak akan menjadi orang Islam yang baik,'' katanya.