UTUSAN MALAYSIA : Usahawan bumiputera digesa wujudkan rangkaian ekonomi

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan membantu usahawan bumiputera melengkapkan diri menghadapi cabaran globalisasi, dengan menggerakkan projeknya mempromosi penggunaan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) di kalangan usahawan bumiputera, terutamanya yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

Presidennya Datuk Seri Abdul Rahman Maidin berkata, Dewan akan menyediakan pakej-pakej khas untuk setiap negeri dan akan menggunakan tenaga-tenaga pengajar dari pusat pengajian tinggi untuk membantu usahawan bumiputera merangka pengurusan ICT mereka.

Berucap pada penutup Seminar Kebangsaan Globalisasi dan Usahawan Bumiputera di sini semalam, Abdul Rahman berkata usahawan-usahawan bumiputera patut mewujudkan satu rangkaian ekonomi untuk memantapkan peranan mereka dalam era globalisasi dan liberalisasi ekonomi.

Katanya, bahawa rangkaian yang hendak diwujudkan itu perlulah mempunyai jati diri tersendiri, dan DPMM akan berusaha ke arah mempelopori kewujudan rangkaian berkenaan.

``Dewan berharap semua ahli dapat memberi sokongan penuh untuk mewujudkan rangkaian ekonomi bumiputera ini yang mana dapat membantu usahawan bumiputera mencari jalan bagaimana hendak memanfaatkan globalisasi dan liberalisasi ekonomi,'' kata beliau.

Terdahulu, satu sesi diskusi bertajuk `Cabaran dan Peluang Globalisasi kepada Usahawan Bumiputera' telah diadakan.

Salah seorang daripada anggota panel iaitu Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd. Tan Sri Nik Mohamed Yaacob berkata terdapat banyak peluang keemasan dalam era globalisasi ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan bumiputera.

Kata beliau satu daripadanya adalah menguasai pasaran produk halal yang mana usahawan Malaysia mempunyai kepakaran dalam mengeluarkan barangan halal ini.

``Usahawan bumiputera boleh mengambil kesempatan penuh atas kelebihan yang ada untuk menghasilkan barangan makanan, barangan kosmetik dan kelengkapan dandanan diri seperti sabun dan syampu yang halal,'' kata beliau.

Sementara itu seorang lagi ahli panel iaitu Naib Presiden dan Pengurus Negara Motorola Malaysia Sdn. Bhd. Datuk Ramli Abbas berkata adalah penting untuk mempromosikan jenama tempatan dalam bersaing di peringkat global. - Bernama