F-14 Tomcat

oleh
Prof. Madya Ahmad Faisal Alias


e-mail me: faisal7306@yahoo.com

Pengenalan

Firma Grumman Aerospace Corporation (beribu pejabat di Bethpage, Long Island, New York) memang telah unggul dengan pesawat-pesawat pejuang yang berpangkalan di atas kapal pengangkut (carrier-based fighters) sejak tahun 1930an lagi. Pesawat-pesawat 'biplane' FF, F2F dan F3F Grumman pernah beroperasi di laut sebelum Perang Dunia Kedua manakala pesawat 'monoplane' F4F Wildcat adalah pesawat pejuang utama U.S. Navy apabila Amerika mengisytiharkan perang setelah armada lautnya yang dianggap terkuat di Pasifik diserang secara mengejut oleh Jepun di Pearl Harbor, Hawaii pada 7 Disember 1941.

Pesawat Wildcat terus berkhidmat selepas itu namun ia didapati tidak mampu menyaingi kehebatan dan keupayaan pesawat Mitsubishi Type 'O' (lebih dikenali sebagai Zero) Jepun yang lebih licik dan pantas kecuali dalam situasi-situasi tertentu.Setelah peperangan berlarutan beberapa ketika, Grumman telah mengeluarkan pesawat F6F Hellcat yang ternyata lebih berkuasa dan mampu menyaingi Zero dan tidak lama selepas itu terus menguasai ruang angkasa Pasifik. Dengan bersenjatakan 6 laras mesingan .50 in dan armor yang kukuh melindunginya serta juruterbang, Hellcat mampu bertahan dan menyerap asakan dan tembakan mesingan Zero.

Setelah perang tamat, Grumman terus menghasilkan pesawat-pesawat pejuang yang menguasai ruang angkasa pasca-perang. Pesawat F8F Bearcat dan pesawat-pesawat berenjin jet seperti F9F Panther dan Cougar terus menguasai geladak-geladak kapal induk USN selama hampir 30 tahun tanpa sebarang cabaran serius dari mana-mana pengeluar lain. Walau bagaimanapun, Grumman telah mengalami era kemelesetannya pada pertengahan tahun 1950an apabila pesawat-pesawat buatannya sering mendapat persaingan hebat dan tewas kepada pengeluar lain seperti Vought (F-8U Crusader) dan McDonnell Douglas (F-4 Phantom II). Namum, Grumman kembali menempa nama dengan pesawat pejuang F-14 Tomcat. Tomcat adalah pesawat pejuang pemintas (interceptor) paling berkuasa yang tiada tandingannya sehingga ke hari ini. Dengan gabungan radar pemintas udara jarak jauhnya yang amat berkuasa dan campuran sistem persenjataan udara (earial-weapons), Tomcat boleh mengesan dan memusnahkan sebarang sasaran pada sebarang ketinggian pada jarak dari hanya beberapa kaki hingga melebihi 100 batu.

Setelah sekali lagi gagal bersama General Dynamics dengan program F-111B, Grumman telah mendapat nafas baru apabila USN telah mengeluarkan suatu keperluan untuk pesawat pertahanan armada pada 18 Jun 1968. Keperluan tersebut menggariskan permintaan untuk sebuah pesawat dengan dua tempat duduk tandem, campuran peluru-peluru berpandu jarak dekat, sederhana dan jauh, sebuah meriam dalaman, 2 enjin turbofan TF-30 dan radar jarak jauh 'track-while-scan'. Pesawat ini juga harus berkeupayaan meronda 100 hingga 200 batu dari kapal induknya dan boleh berada di kedudukan rondanya (on station) selama sehingga 2 jam di samping mempunyai keupayaan tambahan sebagai pesawat bantuan jarak dekat dan boleh membawa sehingga 14,500 paun bom dengan kelajuan maksima adalah pada Mach 2.2.

Grumman, General Dynamics, Ling-Temco-Vought, McDonnell Douglas dan North American Rockwell telah menghantar cadangan masing-masing di mana empat dari cadangan ini melibatkan reka bentuk dengan sayap 'variable-geometry'. Pada Disember 1968 Grumman dan McDonnell Douglas telah terpilih untuk pemilihan akhir dan dengan pengalaman yang luas dalam bidang pesawat 'carrier-borne', Grumman telah diisytiharkan pemenang pada 14 Januari 1969 dan pesawat ini telah diberikan designasi F-14. Grumman telah dianugerahkan kontrak penyelidikan dan pembangunan, ujian dan penilaian pada 3 Februari 1969 dan pada tahun fiscal 1971 Grumman telah diberikan kontrak-kontrak untuk 12 buah pesawat prototaip dan 26 buah pesawat pengeluaran.

Prototaip F-14 pertama telah melakukan penerbangan sulung pada 21 Disember 1970. Pesawat pengeluaran F-14A pertama telah diserahkan kepada USN pada Oktober 1972 dan mula beroperasi pada September 1974 manakala pesawat terakhir, sebuah F-14D telah dikeluarkan pada 20 Julai 1992. Dalam jangkamasa ini, sebanyak 710 F-14 telah dikeluarkan (79 buah F-14 bersama 270 unit AIM-54 Pheonix telah dibekalkan kepada sekutu kuat AS suatu masa dahulu, Iran di bawah kerajaan Shah, satu-satunya negara selain dari Amerika Syarikat yang menggunakan pesawat ini).

Program F-14 bermula dari keperluan U.S. Navy untuk sebuah VFX (Navy Fighter Experimental) di mana cadangan reka bentuk umum Grumman #303 telah terpilih pada 1968. Setelah lebih 9,000 jam ujian terowong angin ke atas lebih 2,000 konfigurasi dan lain-lain kombinasi reka bentuk, Grumman telah memilih 8 reka bentuk asas sebelum versi E telah terpilih untuk perkembangan seterusnya. Model dengan sayap 'variable geometry' telah dipilih kerana reka bentuk sayap kaku terlalu berat, tidak sesuai untuk operasi kapal induk dan prestasinya yang kurang memuaskan pada ketinggian dan kelajuan rendah (beberapa reka bentuk asas untuk F-14 sebenarnya berasal dari kajian-kajian X-Plane Jerman yang telah dibina pada tahun 1944!). Reka bentuk asas model 303E telah diberikan beberapa ubahsuaian sebelum penerbangannya pertamanya sebagai prototaip F-14A (prototaip No. 1 ini telah terhempas dalam penerbangan keduanya apabila kerosakan pam hidraulik menyebabkan ia hilang kawalan penerbangan tetapi krewnya sempat menyelamatkan diri).

Prototaip terakhir sebelum model pengeluaran F-14A dihasilkan telah membuat penerbangan pada 24 Mei 1972 dengan ayap 'variable geometry' di antara 20 hingga 68 darjah untuk kestabilan dan kelajuan. Sayap diletakkan tinggi pada bahagian 'bahu' pesawat dan telah diprogram untuk berubah kedudukan secara automatik menurut kelajuan ketika penerbangan (di samping boleh dikawal secara 'manual override'). Dalam kedudukan 'full forward-sweep' (20 darjah), sayap F-14 memberikan daya angkat (lift) yang mencukupi untuk penerbangan yang stabil pada kelajuan rendah, suatu keperluan utama untuk mendarat dengan selamat di atas kapal induk. Pada kedudukan 'full swept-back' (68 darjah), sayapnya akan 'bergabung' dengan badan F-14 dan seolah-olah membentuk kepala anak panah untuk penerbangan pada kelajuan super-sonic. Bagi tujuan simpanan di dalam 'hangar-deck' yang sempit, sayap ini boleh diletakkan pada kedudukan 'oversweep' (75 darjah) untuk menjimatkan ruang.

F-14A yang dilengkapi dengan enjin Pratt & Whitney TF30-P-412A turbofan dengan 'afterburner' sering mengalami masalah penyelenggaraan dan pengawalan ketika dalam penerbangan. Sehubungan dengan itu, sebuah F-14A (No. 157986) telah dipasangkan dengan enjin baru Pratt & Whitney F401-P400 dan diberikan designasi F-14B. Prototaip ini telah memulakan penerbangannya pada 12 September 1973 tetapi ujian-ujian yang telah dijalankan dengan enjin PW F401mendapati bahawa prestasinya tidak seperti yang diharapkan. Setelah siri-siri ujian itu selesai, F-14B tersebut telah diletakkan dalam simpanan di Bethpage.

Pada awal 1981, prototaip F-14B telah dikeluarkan dari simpanan dan dipadankan dengan sepasang enjin General Electric F101DFE (Derivative Fighter Engine) dan pada kali ini hasil ujian yang dijalankan adalah lebih memberangsangkan. Para jurutera dan juruteknik Grumman dan USN telah melakukan beberapa ujian penerbangan dengan prototaip ini pada Julai 1981 di samping membuat beberapa ubahsuaian untuk mengatasi masalah-masalah pemasangan enjin. Di antara peningkatan prestasi yang dicapai adalah keupayaannya memecut dari kelajuan Mach 0.8 ke Mach 1.8 hanya dalam masa 90 saat dan boleh dilancarkan dari geladak menggunakan 'catapult' tanpa memerlukan 'afterburner'.

Enjin F101DFE menghasilkan kuasa tujahan 65,000 lbs dan cukup berkuasa untuk memberikan F-14B nisbah tujahan kepada berat hampir 1 : 1, bermakna prototaip ini masih boleh memecut ketika terbang dalam kedudukan menegak (sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh F-14A). Malangnya USN tidak berminat dengan fakta ini dan telah membubarkan program ujian dan pembangunan pada September 1981 dan prototaip F-14B dimasukkan semula ke dalam simpanan di Bethpage. Dalam pada itu juga, Grumman sedang membina sebuah lagi prototaip F-14B (No. 158630) untuk meneruskan program peningkatan enjin F101DFE, namun apabila USN membatalkan program F-14B prototaip kedua yang telah separuh siap telah diubahsuai semula kepada standard F-14A.



Tomcat melepasi 'sound barrier'

Pada Julai 1984 Grumman telah diarahkan untuk mengeluarkan prototaip F-14B dari simpanan dan dipadankan dengan enjin General Electric F110-GE-400 dan ujian-ujian penerbangan dimulakan serta-merta. Pada kali ini, hasil ujian dengan enjin terbaharu ini ternyata lebih memberangsangkan lalu memberi laluan kepada pengeluaran model F-14A(PLUS) mulai Mac 1987. Prototaip asal F-14B (No. 157986) yang telah banyak berjasa itu sekali lagi telah dimasukkan ke simpanan di Bethpage. Pada 1 Mei 1991, U.S. Navy telah mengambil keputusan untuk menukarkan designasi F-14A(PLUS) kepada F-14B. Ketika program F-14B sedang berjalan, beberapa kajian dan usul telah dibuat bagi satu lagi versi Tomcat yang dipertingkat - F-14C - yang akan dilengkapi dengan enjin F101DFE. Pada dasarnya, F-14C akan menggabungkan peningkatan suite-suite avionics, radar 'fire control system' yang lebih baik -- dan serasi dengan sistem-sistem yang ada pada A-6 Intruder, E-2C Hawkeye dan F/A-18. Walaupun F-14C tidak direalisasikan namun ciri-ciri yang dicadangkan itu telah dilengkapkan kepada unit-unit akhir pengeluaran F-14A, F-14A(PLUS) dan F-14D (yang akan menyusul).

Dengan setiap enjin menghasilkan kuasa tujahan 28,200 lbs, F-14A(PLUS) adalah sama hebatnya berbanding F-14B prototaip (dan F-14D) dan boleh dilancarkan dari 'catapult' kapal induk tanpa perlu menggunakan afterburner. Pelancaran tanpa menggunakan afterburner memberikan kelebihan kerana di samping menjimatkan bahan api, ia boleh 'menyembunyikan' pelancaran kerana api yang dimuntahkan oleh afterburner semasa pelancaran boleh dilihat dengan mata kasar dari jarak hampir 40 batu atau lebih pada waktu malam. Enjin F110-GE-400 lebih efisien dan menjimatkan bahan api memberikan F-14A(PLUS) 60 peratus lebih jarak beroperasi, 33 peratus lebih masa untuk berlegar-legar dan 61 peratus peningkatan prestasi dalam 'rate of climb'.



F-14 memecut dengan afterburner

F-14D Super Tomcat

Saga F-14D Super Tomcat pula bermula pada penghujung 1980an apabila Grumman memulakan siri promosi pakej peningkatan sebagai tindakbalas kepada keperluan U.S. Navy yang sedang mencari-cari pesawat pejuang generasi baru. Menyedari potensi yang masih ada pada keluarga F-14nya, Grumman telah mempertingkatkan keupayaan F-14 dengan pelbagai teknologi terkini. Di samping enjin F110-GE-400 yang lebih baik dan berkuasa, F-14D juga dilengkapkan dengan:

  • radar terbaharu AN/APG-71 'multiple target tracking' dengan jarak mengesan dua kali ganda radar F-14 sebelumnya. APG-71 mampu mengesan dan menjejak 24 sasaran serentak dan menggunakan 'digital processing' berbanding dengan 'analog processing' AWG-9
  • ALR-67 Radar Warning Reciever dan ALQ-165 Airborne Self-Protection Jammer untuk ECM
  • ASN-139 Digital Navigation system
  • Infrared Search and Track (IRST), penderia haba infrared yang mengesan sasaran secara pasif
  • Sistem-sistem avionics digital
  • Pakej peninjauan TARPS (Tactical Airborne Reconnaissance Pod System)

    Persenjataan

    Dari segi persenjataan yang dibawa, F-14 boleh dianggap sebagai pesawat pejuang paling berkuasa dan merbahaya di dunia. F-14 adalah satu-satunya platform yang boleh membawa dan melancarkan sehingga enam perluru berpandu udara-ke-udara AIM-54 Phoenix. Dengan sokongan radar pengesan 'pulse-Doppler' AWG-9 (kemudian APG-71), F-14 boleh mengesan, menjejaki dan memusnahkan 6 sasaran udara pada sebarang ketinggian pada jarak sehingga melebihi 100 batu tanpa pihak musuh dapat mengesan dan mengetahui kehadirannya. F-14 juga boleh membawa peluru-peluru berpandu AIM-7 Sparrow 'semi-active radar controlled' dan AIM-9 Sidewinder 'heat-seeking' (F-14 boleh membawa maksima 8 peluru berpandu dalam sebarang gabungan). Bagi menghadapi pertempuran jarak dekat dan 'strafing', F-14 juga dilengkapkan dengan sepucuk meriam 'multi-barrel' 20mm M61A1 Vulcan berserta 675 butir peluru.



    Tomcat melancarkan AIM-7 Sparrow

    Selaras dengan konsep pelbagai-guna (multi-function) F-14 juga telah diberikan semula keupayaan menyerangnya. Memang sejak dari konsepsinya lagi, F-14 direka bentuk dengan keupayaan boleh membawa sehingga 14,500 lbs bom namun versi F-14 'Bobcat' tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana munculnya pesawat-pesawat serang 'dedicated' seperti A-6 dan A-7 Corsair II membolehkan F-14 terbang sebagai pesawat 'air-superiority' tulen. Namun pada hari ini dengan keupayaan 'strike' sepenuhnya, F-14A/B/D menjadi semakin merbahaya di mana Tomcat yang dilengkapi pod LANTIRN(Low Altitude Navigation and Targeting InfraRed for Night) juga mampu melancarkan 'smart bombs' panduan-laser di samping bom-bom biasa yang standard walaupun pada waktu malam. F-14 dalam konfigurasi ini pernah digunakan dalam operasi udara NATO dalam konflik di Balkan.



    Dengan muatan maximum AIM-54C Phoenix

    Perkhidmatan

    F-14 Tomcat memulakan perkhidmatan apabila F-14A dioperasikan oleh Squadron VF-1 Wolfpack dan VF-2 Bounty Hunters di atas kapal induk USS Enterprise (CVN-65) pada 1974. Walaupun dilengkapi dengan peluru berpandu AIM-54 Pheonix, namun peluru berpandu jenis ini tidak pernah dilancarkan oleh juruterbang USN dalam kemarahan (semasa Perang Teluk Iran-Iraq, juruterbang Iran dipercayai pernah berbuat demikian tanpa kejayaan besar) . Dalam pertempuran-pertempuran udara yang melibatkan F-14 Tomcat USN hanya AIM-7 Sparrow dan AIM-9 Sidewinder digunakan.

    Di sepanjang khidmatnya, F-14 telah memainkan peranan utamanya-mempertahankan armada laut AS dari serangan pesawat pengebom jarak jauh Soviet yang bersenjatakan peluru berpandu anti-kapal-dengan baik ketika kedua-dua kuasa besar berada di kemuncak perang dingin. Namun tugas ini lebih seperti berbentuk satu permainan 'Catch that bomber' di mana apabila pesawat-pesawat tempur atau peninjau Soviet menghampiri armadanya,F-14 akan dilancarkan untuk 'menyambut' kedatangan mereka, bukan untuk menembak jatuh pesawat tersebut tetapi untuk mengiringi mereka jauh dari kapal induk di samping membuat peninjauan sistem persenjataan yang dibawa. Episod-episod sebegini kerap didokumentasikan di dalam laporan-laporan akhbar dan klip-klip video. F-14 akan diberikan kebenaran untuk menyerang sekiranya pihak musuh bertindak aggresif atau melakukan profil penerbangan yang mengancam keselamatan kapal induk dan armada.

    Secara rasminya F-14 digunakan dalam pertempuran buat pertama kalinya di ruang angkasa Libya pada tahun 1981 (tujuh tahun selepas mula beroperasi). Dalam insiden ini, F-14A dari Squadron VF-41 Black Aces dari kapal USS Nimitz (CVN-68) yang sedang melakukan Combat Air Patrol (CAP) telah diarahkan oleh pesawat radar E-2A Hawkeye yang meronda bagi memintas 2 buah Sukhoi Su-22 Fitter-J yang menghampiri armada USN yang sedang 'berlatih' di perairan Libya. Pesawat Su-22 utama dilaporkan telah melancarkan peluru berpandu AA-2 Atoll terhadap F-14A VF-41 tetapi peluru berpandu tersebut gagal memenemui sasaran. Tomcat VF-41 telah menyerangbalas dan berjaya menembak jatuh kedua-dua pesawat Su-22 Libya tersebut menggunakan AIM-9 Sidewinder.

    Insiden kedua berlaku di lokasi yang sama pada tahun 1989. Dua buah F-14A dari Squadron VF-32 dari kapal USS John F. Kennedy (CV-67) sedang menjalankan CAP apabila 2 MiG-23 Flogger Libya dikesan menghampiri mereka. Walaupun beberapa isyarat amaran diberikan, MiG-23 Libya yang dilengkapi peluru berpandu AA-7 Apex terus mara dan bertindak aggresif. Mereka ianggap 'hostile' dan F-14 VF-32 telah diarahkan bertindak balas dan memusnahkan mereka dengan Sparrow dan Sidewinder.

    F-14 juga penah terbabit dalam operasi memintas dan menahan gerila-gerila PLO yang didakwa merampas kapal pelancongan Itali, Achille Lauro (1985), Perang Teluk II ketika pembebasan Kuwait (1991) dan misi-misi NATO di wilayah Balkan (Bosnia dan Kosovo).



    Tomcat di pergunungan Alps



    Di ruang udara Operasi 'Desert Storm'

    Dalam Perang Iran-Iraq (1980-1988), Iran tidak dapat memanfaatkan kelebihan angkatan F-14 dan peluru berpandu Pheonix kerana ketiadaan alat ganti akibat sekatan oleh Amerika selepas Revolusi di Iran. Dipercayai hanya sebahagian kecil F-14 sahaja dapat dioperasikan pada suatu-suatu masa dan Iran telah kehabisan bekalan AIM-54 Pheonix pada 1986 dan terpaksa bergantung kepada AIM-7 Sparrow dan AIM-9 Sidewinder selain dari menggunakan radar udaranya yang berkuasa sebagai radar amaran awal (airborne early warning radar). Pihak Iran mendakwa F-14nya berjaya memusnahkan sebuah Mirage F.1 dan dua MiG-21 Iraq. Sekurang-kurangnya 3 buah F-14 Iran dipercayai ditembak jatuh oleh Mirage F.1 dan G-21 Iraq.

    Spesifikasi F-14 Tomcat

    Jenis: F-14A F-14B (F-14A+) F-14D

    Penerbangan Pertama 21 Dec 1970 Sept 1986 Mar 1990

    Lebar sayap (unswept) 64 ka 1.5 in (19.55m) 64 ka 1.5 in (19.55m) 64 ka 1.5 in (19.55m)

    Lebar sayap (swept) 38 ka 2.5 in (11.64m) 38 ka 2.5 in (11.64m) 38 ka 2.5 in (11.64m)

    Panjang 62 ka 8 in (19.11m) 62 ka 8 in (19.11m) 62 ka 8 in (19.11m)

    Tinggi 16 ka 0 in (4.88m) 16 ka 0 in (4.88m) 16 ka 0 in (4.88m)

    Berat (kosong) 40,104 lbs (18,167 kg) 41,780 lbs (22,561 kg) 43,735 lbs (23,917 kg)

    Berat (max.) 72,000 lbs (32,400 kg) 74,349 lbs (40,148 kg) 74,349 lbs (40,148 kg)

    Enjin 2 x P&W TF-30-P-414A 2 x GE F-110-GE-400 2 x GE F-110-GE-402

    Tujahan (max.) 34,154 lbs (15,369 kg 56,400 lbs (30,456 kg) 56,400 lbs (30,456 kg)

    Kelajuan (max.) 1,544mph (Mach 2.38 1,544mph (Mach 2.38 1,544mph (Mach 2.38

    Ketinggian 50,000+ ka (15,244 m) 53,000+ ft (16,308 m 53,000+ ft (16,308 m

    Ketinggian 1,730 nm (2,768 km) 2,050 nm (3,280 km) 2,050 nm (3,280 km)

    Setelah lebih 25 tahun berkhidmat hari-hari terakhir Grumman F-14 Tomcat semakin hampir apabila USN memilih untuk menggantikannya dengan McDonnell Douglas F/A-18 Hornet (termasuk model terbaharu E dan F Super Hornet). Walaupun ada pihak yang mengatakan Hornet tidak menandingi kehebatan Tomcat dalam banyak aspek, namun telah jelas bahawa fleksibiliti Hornet/Super Hornet membolehkan USN beroperasi secara lebih bersepadu dan menjimatkan logistik serta kos.



    Created: 12 September 1999
    Updated: 23 Mac 2002

    Prof. Madya Ahmad Faisal Alias
    Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak
    Kampus Seri Iskandar
    32600 Bandar Seri Iskandar
    Perak
    Kembali Ke Laman Utama