![]() |
Rencana Article |
. | . |
Tanpa banyak publisiti Hishamudin Rais
(dahulu terkenal sebagai aktivis pelajar dan sekarang ini menulis tentang budaya dan
filem) telah menghasilkan sebuah filem iaitu Dari Jemapoh ke Manchestee.
Filem ini adalah cerita tentang anak muda: impian, cita-cita dan perspektif mereka. Berkisah tentang dua orang anak muda dari sebuah kampung di Jemapoh, Negeri Sembilan yang menyimpan cita-cita untuk melihat kelab bola sepak pujaan mereka iaitu Manchester United di England. Dari Jemapoh ke Manchestee adalah sebuah filem jalanan atau dalam konteks filem Amerika dikenali sebagai road movie atau dikenali juga sebagai buddy movie.
Mengapa Hishamudin mengambil konsep sebuah filem jalanan untuk filemnya yang pertama adalah suatu persoalan yang menarik. Ini kerana, selama ini filem-filem Malaysia atau sebahagian besar filem-filem dari Asia atau negara-negara ketiga lebih terkenal dengan filem-filem sosial drama yang gemar mengemukakan permasalahan masyarakat terutama keluarga dan permasalahan politik.
Manakala filem jalanan atau road movie lebih sebagai filem Amerika. Ia sebagai mana muzik country yang khas Amerika. Walau bagaimanapun konsep filem adalah demokrasi dan dengan memahami konsep dan falsafah filem jalanan barangkali kita akan memahami mengapa Hishamudin menghasilkan Dari Jemapoh ke Manchestee. Filem jalanan adalah sebahagian dari genre filem Amerika, ia mempunyai konsep dan falsafahnya.
Biarpun filem-filem jalanan ini lebih popular di kalangan pembikin filem Amerika kerana karektor, konsep dan falsafahnya yang tersendiri, jadi ia pastilah menjadi sesuatu yang cukup menarik dan istimewa bila Hishamudin membawa konsep ini di dalam filem sulungnya itu.
Konsep filem jalanan boleh dilihat dari sudut yang mudah mahupun juga yang memaparkan pemikiran yang agak kompleks. Secara umumnya filem jalanan banyak melibatkan perjalanan, iaitu perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Sebab itu dalam filem jalanan, kenderaan (kereta atau motosikal) dan jalan memainkan peranan yang penting. Ia merupakan sebahagian daripada watak dalam filem ini.
Sebagai sebahagian dari genre filem Amerika, filem jalanan sebenarnya adalah kesinambungan dari tradisi filem western atau koboi, genre filem yang khusus Amerika. Dalam filem-filem koboi kita melihat para koboi yang menunggang kuda akan merentas landskap Amerika dalam kembara mereka.
Pengembaraan tersebut akan memberikan kesan dari aspek ideologi, kehidupan sosial dan budaya. Kuda dan landskap yang luas menjadi metafora kebebasan. Tradisi ini kemudian dilanjutkan di dalam filem-filem jalanan tetapi dengan konsep dan falsafah yang tersendiri.
Sebenarnya filem jalanan bukan sekadar kereta atau motosikal, landskap dan hubungan rapat dua orang sahabat tetapi boleh dilihat secara lebih luas dengan persoalan yang kompleks.
Di dalam filem-filem jalanan, sahabat atau teman adalah elemen penting yang mewujudkan ideologi atau membentuk ideologi baru hasil pembentukan persahabatan bila dua individu bertemu.
Watak-watak ini sebenarnya membebaskan diri dari ideologi lama dan dalam erti kata yang lain filem jalanan sebenarnya mengekspresikan tema kebebasan.
Ideologi baru terbentuk sepanjang perjalanan atau kembara mereka. Ideologi mereka boleh jadi kekal atau terputus dengan kematian atau perpisahan. Rumah, kampung atau pekan lama yang ditinggalkan tidak seharusnya dilihat secara fizikal sahaja melainkan ia adalah metafora kepada ideologi lama yang ditinggalkan untuk mencari erti kehidupan yang baru.
Kenderaan dan jalan juga tidak lagi dilihat secara fizikal tetapi membawa pengertian baru iaitu elemen penting sebagai penggerak ideologi. Landskap yang menarik dan cantik adalah elemen penting yang mempengaruhi pembentukan ideologi. Kerana itu, sebuah filem jalanan boleh sahaja bersifat politikal.
Seperti filem Easy Rider arahan Dennis Hopper (1969), filem ini dianggap cukup politikal selain dari kritikan sosialnya. Easy Rider dianggap oleh Wim Wenders (pengarah dari Jerman) sebagai cukup Amerikan dari konsep dan bentuknya. Sungguhpun filem-filem jalanan selalunya lebih mementingkan watak-watak lelaki di mana wanita sering digambarkan lemah, tetapi kemunculan filem Thelma and Louise bukan sahaja telah memberikan warna baru bagi filem jalanan, tetapi membawakan pemikiran feminisme yang baru.
Filem-filem jalanan selalunya dihasilkan oleh pembikin filem bebas dengan kos yang kecil. Kerana itu juga kebanyakan filem jalanan selalunya bebas dari kekuasaan studio dan selalunya juga bersifat personal.
Muzik dan lagu adalah antara elemen yang penting di dalam filem-filem jalanan. Ia bukan sekadar menjadi latar, tetapi lirik dan melodinya memperkuat dan memperlengkapkan makna filem ini. Banyak persoalan yang menarik yang boleh dilihat dalam sebuah filem jalanan.
Jalan ceritanya mungkin kelihatan mudah tetapi persoalannya menjadi kompleks kerana ia banyak mengemukakan permasalahan sosial dan politik. Tidak hairan kalau filem jalanan begitu popular di Amerika tahun 60-an dan 70-an kerana Amerika menghadapi permasalahan sosial.
Dengan konsep dan falsafah yang begitu menarik yang mendasari sesebuah filem jalanan maka, kita bolehlah mengharapkan sesuatu yang menarik dan segar dari Hishamudin Rais dengan Dari Jemapoh ke Manchestee. Filem ini telah dipilih oleh Festival Filem Singapura untuk ditayangkan pada 26 April ini bersama dengan Jogho arahan U-Wei Saari dan telefilem Jangan arahan Erma Fatima.
Festival Filem Singapura sedang berlangsung sekarang ini dari 17 April hinggalah ke 2 Mei. Ini adalah festival filemnya yang kesebelas. Sungguhpun kita tahu Singapura tidak banyak menghasilkan filem, tetapi kerana kesungguhan dan mementingkan kualiti dalam mengadakan festival, maka festival filem mereka telah mula mendapat perhatian antarabangsa serta sudah mula mendapat pengiktirafan.
Tahun ini sebanyak 200 filem dari 30 negara akan mengambil bahagian dengan fokus kepada filem-filem dari Asia.
Oleh : A. Wahab Hamzah
Sumber : Utusan Online 24/4/1998
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |