![]() |
Rencana Article |
. | . |
Sebuah kota bukan sekadar latar
dalam sesebuah filem. Kota yang menjadi latar juga adalah karektor utama dalam sesebuah
filem. Kota boleh muncul secara material dan juga mental baik dalam novel, cerpen, puisi
atau filem.
Kota adalah ciptaan manusia. Kota juga membawa mesej ketidaksempurnaan kita sebenarnya. Ia sering mencerminkan harapan, ketakutan, mimpi dan kekecewaan manusia. Di kota juga bercambahnya pandangan yang optimis dan pesimis.
Di kota orang boleh memperolehi apa sahaja dan juga boleh menggerakkan kepada kehancuran. Inilah aesthetic ecology sebuah kota.
Maka tidak hairan kota membawa karektor yang menarik banyak pembikin filem. Ini kerana kota sering dilihat sebagai pentas di mana drama tentang kehidupan sosial dipentaskan.
Filem-filem Martin Scorsese umpamanya sering melihat kota memberikan kesan psikologi kepada individu yang mungkin sahaja mewakili sesuatu kelas atau ideologi. Hubungan itu sering pula dilihat berinteraksi dengan persekitaran kota yang antagonistik.
Malah filem-filem Scorsese cukup setia dengan tema yang melibatkan pergelutan dan pertentangan kehidupan kota. Watak-wataknya kebanyakannya gagal dalam pengasingan mereka di tengah kota yang menjadi antagonism.
Filem-filem Scorsese seperti Mean Streets, Taxi Driver, After Hours dan Raging Bulls melihat New York lebih dari sekadar sebuah kota yang dihuni oleh orang yang keras, jalan-jalan yang sesak, pergaduhan atau pelacur.
Tetapi New York adalah sebenarnya juga gambaran dari kekalutan fikiran Travis Bickle dalam Taxi Driver, kekerasan dan kekacauan Jack La Motta dalam Raging Bulls atau paranoia Paul Hackett dalam After Hours.
Dalam Once From The Heart arahan Francis Ford Coppola, Las Vegas adalah sebuah kota yang menjual mimpi. Dan imej ini dipancarkan melalui ciptaan set dan rekaan cahaya yang semuanya didirikan di dalam studio khas. Kesannya sebuah kota yang artifisial.
John Carpenter umpamanya melihat kota New York dalam Escape From New York sebagai kota yang keras, kelam, kumuh dan ganas yang dipenuhi dengan para penyangak. Ini adalah pandangannya untuk kota New York masa depan. Dan pandangan ini adalah berbeza dengan pandangan Ridley Scott dalam Blade Runner yang melihat sebuah kota masa depan yang misterius dan penuh ancaman.
Dalam Falling Down arahan Joel Schumacher, kesesakan jalan raya adalah karektor utama. Ini menyumbang kepada tekanan dan tindakan karektor utama dilakonkan oleh Michael Douglas.
Filem Melayu kontemporari sebenarnya juga mempunyai pandangan yang tersendiri tentang kota terutamanya kota Kuala Lumpur. Dan pandangan yang hampir sama ini juga yang ditonjolkan dalam novel, puisi atau cerpen Melayu.
Dua buah filem Melayu yang memberikan citra yang menarik tentang kota dan kesannya kepada kehidupan warganya ialah filem Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta '87. Kedua-duanya arahan Nasir Jani.
Dalam filem-filem ini, Kuala Lumpur menjadi sebahagian dri karektor utamanya yang memberikan kesan psikologi yang tersendiri kepada karektor filem-filem tersebut. Dalam Kembara Seniman Jalanan, anak-anak muda kota yang menjadi pemuzik jalanan perlu bergelut dengan kekerasan kehidupan kota Kuala Lumpur yang penuh pancaroba demi survival untuk menjadi pemuzik.
Kemelut kota inilah yang kemudiannya merangsang tindakan mereka. Begitu juga dalam Rozana Cinta '87, kota Kuala Lumpur telah membentuk budaya baru kehidupan anak-anak mudanya.
Filem Melayu banyak melihat kota, terutamanya Kuala Lumpur dengan pandangan yang pesimis. Kota adalah tidak suci, bersarang maksiat yang membawa kepada kehancuran, menipisnya kepercayaan, masalah moral dan keluarga.
Dan ini berlainan dengan kehidupan desa yang murni biarpun masih dibaluti dengan kemiskinan. Watak-watak yang berdosa di kota akan pulang ke desa untuk disucikan. Dalam Bintang Malam (Adman Salleh), Balik Kampung (Zainal Othman) dan Persona Cinta (Arief Karmahani), meliu kota dilihat sebagai keras, bersarang maksiat dan mudah mengecewakan.
Inilah antara karektor kota dalam filem-filem tempatan. Secara visual, kota tidak diberikan visual yang sejujurnya. Dalam filem Rozana Cinta '87, imej Kuala Lumpur sungguh berbeza visualnya. Dalam Balik Kampung, shot pengenalan kota Kuala Lumpur dibuat dlam shot yang padat dan canti dan dalam warna yang romantis.
Ini bersesuaian dengan imej Kuala Lumpur sebagai kota impian tiga orang pemuda yang berhijrah ke kota dari desa untuk mengejar impian dan harapan.
Bagaimanapun dalam Bintang Malam dan Persona Cinta, kota Kuala Lumpur menjadi latar yang digambarkan sebagai kota keras, ganas dan sarang maksiat. Semua imej negatif tentang kota dalam filem-filem ini terselindung di sebalik gemerlapan cahaya neon kota.
Kecenderungan filem Melayu memberikan imej negatif tentang kota sudah lama berada di fikiran pembikin filem dan kecenderungan ini sudah hampir sebati dengan penonton filem tempatan. Ini mungkin kerana kota berkait rapat dengan perniagaan dan kekayaan.
Ahli-ahli perniagaan yang berjaya dan orang kaya semuanya tinggal di kota. Dan bukankah banyak filem Melayu malah sebahagian novel tempatan sejak dari dahulu mempunyai pandangan yang tidak senang pada kekayaan dan kejayaan ahli perniagaan. Dan pandangan yang prejudis dan pretentious ini berterusan dalam filem-filem tempatan. Secara jujur, kota dan warganya harus juga diberikan imej yang lebih seimbang.
Oleh : A. Wahab Hamzah
Sumber : Utusan Malaysia 10/1/1997
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |