Rencana
Article
. .

Jogho dan Bara budaya menonton yang berbeza

Bara Membandingkan antara Bara dan Jogho barangkali suatu yang tidak wajar. Antara Bara dan Jogho, keduanya mempunyai pendekatan, subjek dan falsafah pembikinan yang berbeza. Bara bertolak daripada formula komersial yang selama ini telah menjanjikan kejayaan kepada pembikinnya Yusuf Haslam.

Rangka cerita yang berlandaskan hiburan mudah yang sekian lama telah menguasai benak anak-anak muda. Manakala Jogho cuba menghidangkan sebuah kehidupan untuk diselami, direnung dan difikirkan. U-Wei mengajak kita berkongsi pengalaman secara estetik pergelutan dan dilema hidup manusia-manusia yang terpinggir yang cuba mempertahankan keutuhan sosial dan budayanya daripada terus terhakis.

Pada masa yang sama budaya yang diwarisi tidak begitu menjanjikan malah turut membantu mempercepatkan penghakisan itu. Semua pergelutan dan dilema ini dimanifestasikan oleh U-Wei daripada watak Mamat yang terpinggir.

Kedua-dua buah filem ini mula ditayangkan sempena perayaan Hari Raya Aidiladha yang lalu. Ironinya kedua buah filem ini hampir sama sahaja (baik subjek mahupun pendekatan yang diambil) dengan dua buah filem yang ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas iaitu Nafas Cinta (Jailani Ghani) dan Perempuan Melayu Terakhir (Erma Fatima).

Nafas Cinta sepertimana Bara mempunyai gaya cerita yang hampir sama dan dilakonkan oleh pelakon utama yang sama iaitu Awie, manakala Perempuan Melayu Terakhir membawa persoalan dilema orang Melayu tentang budaya dan masa depannya. Dari sambutan nyata Nafas Cinta lebih digemari oleh penonton atas alasan yang sudah banyak kali dijelaskan.

Soalannya, apa yang tidak kena dengan sambutan terhadap filem-filem ini? Apakah kerana subjeknya yang relatif berat di dalam Perempuan Melayu Terakhir dan Jogho, atau kerana faktor bintang atau gaya hiburan yang identikal dengan psikik orang Melayu dalam Nafas Cinta dan Bara lalu filem ini lebih disenangi oleh penonton Melayu.

Atau apakah faktor hari tayangan yang turut mempengaruhi tayangan Jogho dan Perempuan Melayu Terakhir? Apakah cuti atau sempena perayaan Hari Raya tidak sesuai dengan corak filem seperti Jogho dan Perempuan Melayu Terakhir? Subjek kedua-dua filem ini sebenarnya tiada kena mengena dengan perayaan Hari Raya. Begitu juga dengan Bara dan Nafas Cinta.

Kalau begitu sempena perayaan Hari Raya bukan faktor utama dalam menentukan sambutan terhadap sesebuah filem, apatah lagi filem seperti Jogho dan Perempuan Melayu Terakhir. Filem Melayu harus muncul setiap hari (dalam setahun) di pawagam supaya kehadiran filem tempatan sentiasa disedari. Perlu juga dilihat pendekatan berbeza yang telah dilakukan untuk promosi kedua-dua buah filem tersebut.

Yang satu jenis lebih mementingkan sensasi, manakala jenis yang satu lagi mengambil pendekatan diskusif. Yang satu memantakkan hiburan sensasi dan yang satu lagi cuba membawa pendekatan intelektual. Kedua-dua pendekatan ini juga mempunyai kesan yang tersendiri kepada para penonton.

Walaupun Jogho tidak mempunyai peruntukan promosi yang besar, kontroversi dan berita serta sambutan kejayaan Jogho dan Khalid Salleh sebagai pelakon terbaik di Festival Filem Asia Pasifik yang baru lalu seharusnya amat membantu filem Jogho dalam menghubungkannya dengan bakal penonton. Saya tidak percaya kalau sebahagian besar masyarakat negara ini tidak mengetahui tentang Jogho, tetapi mengapa tidak timbul keinginan menonton sebuah filem yang memperkatakan tentang diri dan kehidupan mereka yang real. Saya percaya anak muda kita yang berpendidikan mempunyai kesedaran sosial yang tinggi tetapi pada masa yang sama bagaimana dengan kesedaran seni mereka? Sesuatu perlu dilakukan.

Saya masih ingat ketika tahun 1980-an studio-studio utama Hollywood memberikan tumpuan kepada anak muda dan remaja, telah muncul juga sekumpulan pengedar filem yang memberi tumpuan kepada penonton matang dengan filem-filem yang berkualiti. Tumpuan yang berlebihan terhadap filem-filem remaja dan anak muda menyebabkan penonton yang matang merasa terpinggir dan muncul kekosongan.

Sekumpulan syarikat filem membikin dan mengedarkan filem-filem berbudget rendah dengan nilai kualiti yang khusus kepada para penonton yang menolak filem-filem ala rambo, komedi remaja yang dangkal atau filem-filem formula Schlock. Lalu muncullah filem-filem seperti Kiss of the Spider Woman, A Room With a View, Letter to Brezhnev, Desert Hearts dan My Beautiful Laundrette.

Filem-filem ini bukan sahaja mendapat perhatian yang kritikal tetapi juga menguntungkan di pasaran. Kunci utama filem-filem mereka adalah kualiti yang mementingkan nilai dan kekuatan seni cerita, tetapi pada masa yang sama tidak membelakangkan kejayaan dari segi komersial, istilah yang selalu diberikan untuk filem jenis ini ialah middle cinema.

Ingat, kita pernah, malah sebahagian masyarakat kita pernah menyuarakan betapa filem bukan hiburan dangkal dan kosong semata-mata. Filem seharusnya mengungkapkan secara estetik pengalaman hidup untuk dikongsi bersama antara pembikin filem dan penonton.

Tetapi apabila sebuah filem sebaik dan sehebat Jogho dihasilkan, ia dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa ada perhatian, debat atau yang tersentuh kerananya. Saya masih ingat bagaimana Jogho mendapat penghormatan dan sambutan hebat apabila ia pertama kali ditayangkan di Tokyo sempena 2nd Asian Film Festival.

Memang aspek estetika, ekonomi dan teknologi telah menjadi faktor penentu pengeluaran filem yang menyaksikan bagaimana filem-filem arus perdana dari Amerika (di mana filem juga dihasilkan berdasarkan formula komersial) membentuk perubahan budaya tontonan penonton filem, tetapi kalau penonton di Jepun boleh menikmati Jogho, apa sikap penonton kita. Penggunaan dialek Kelantan seharusnya menjadi faktor penarik dan kelainan yang memastikan keistimewaan filem ini.

Oleh : A. Wahab Hamzah
Sumber : Utusan Online 16/4/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000