Rencana
Article
. .

Telefilem - persaingan yang sihat

Tidak lama dahulu apabila filem-filem Hollywood mengalami kesuraman dan penurunan, televisyen mengambil alih. Filem-filem untuk TV dan siri TV berjaya memberikan sesuatu yang lebih baik dan mencabar daripada filem. Kalau dulu drama TV bagai berada dalam kelas kedua bagi sebahagian pengarah dan pelakon terkenal, tetapi hari ini lebih banyak pengarah dan pelakon filem ternama bekerja dalam kedua-dua medium.

Sebut sahaja nama seperti Clint Eastwood, Robert Zemeckis, Martin Scorsese, Steven Spielberg, Mike Nichols atau John Sayles, mereka semua pernah atau masih mengarah projek drama atau filem untuk televisyen. Hal yang sama berlaku di Malaysia.

Kita melihat mereka yang telah mencipta nama di bidang filem kini mengarah untuk drama TV atau mereka yang telah berjaya dengan televisyen mengarahkan filem pula.

Hari ini pemisahan antara televisyen dan filem semakin menipis dan sukar dibezakan dari aspek disiplin kerja ataupun olahan visual. Berbanding dengan filem, televisyen bersifat pantas, demografik penonton yang lebih meluas, pulangan segera dan menguntungkan, dan yang lebih penting televisyen juga membenarkan eksperimen.

Berbanding filem yang memberikan keselesaan masa bekerja, tetapi ruang masa yang pantas dan terhad untuk televisyen menjadi hambatan, yang bagi sebahagian pengarah merupakan kelemahan televisyen.

Dengan memahami kekuatan dan hambatan kedua-dua media, tidak ada sebab mengapa televisyen tidak dimanfaatkan.

Sebagaimana yang banyak dilakukan di negara-negara yang maju industri filemnya, televisyen merupakan pemangkin kepada eksperimen dan kemajuan industri filemnya.

Industri drama televisyen di Malaysia telah berkembang hebat sejak lebih sedekad lalu, yang menyaksikan banyak pengarah filem turut melibatkan diri mengarah drama atau telefilem.

Melihat kepada perkembangan dan hubungan antara filem dan televisyen yang begitu rapat, serta kepesatan teknologi televisyen, wajarlah juga telefilem turut dinilai dan diulas untuk faedah penonton dan juga industri ini. Saya akan cuba membuat penilaian telefilem ini secara berselang dengan penilaian dan ulasan filem dalam ruangan ini.

Sebenarnya dalam seminggu enam stesen televisyen utama di negara ini (termasuk satu saluran Melayu Astro) menyiarkan puluhan drama Melayu.

Dari segi kuantiti, telefilem telah menjadi kuasa dan penjana utama industri filem dan televisyen negara ini. Persaingan menghasilkan drama-drama ini seharusnya boleh membantu ke arah menghasilkan yang berkualiti, mampu memberikan variasi stail dan pendekatan naratif, dan berani membuat eksperimen yang tidak terikat kepada kepentingan komersal.

Dalam tempoh seminggu antara drama yang saya tonton adalah Kita (Cerekarama TV3), sebuah drama arahan Aziz M. Osman daripada cerita yang dihasilkan oleh Syed Azidi Syed Aziz.

Kita adalah sebuah drama sosial yang memaparkan isu keluarga sebagai sebahagian daripada permasalahan masyarakat.

Sebagaimana lazimnya drama sosial Melayu yang cenderung melodramatik, begitu juga dengan Kita.

Drama ini melihat permasalahan seorang ibu tua yang telah kematian suami dan mendapati sukar menyesuaikan diri dengan empat orang anaknya, tiga telah berkeluarga dan seorang masih bujang. Anak-anak yang telah dewasa menghadapi permasalahan sendiri, tetapi si ibu lebih melihat segala permasalahan itu dari perspektif dirinya sahaja.

Drama ini sebenarnya boleh dilihat dari dua perspektif. Di satu sudut, si ibu melihat bagaimana sukarnya dia hendak menerima gaya hidup keluarga anak-anak dan menantunya.

Sementara di sudut lain memperlihatkan kesukaran dan dilema anak-anak dan menantu hendak memenangi hati ibu yang tua dan semakin sensitif, sehingga keluarga anak-anak pula yang semakin kacau. Dan si ibu semakin sensitif apabila melihat perkembangan keluarga yang tidak sebagaimana yang diimpikannya.

Permasalahan sebenar di sini hanyalah kesukaran saling memahami antara anak/menantu dan ibu tua.

Subjek yang dikemukakan oleh Kita adalah subjek yang lumrah, yang telah puluhan kali diterbitkan dan sebenarnya cukup disenangi oleh banyak penerbit drama televisyen di negara ini ke-rana tidak mudah mengundang kontroversi. Subjek Kita mudah membuaikan emosi penonton dan juga menjadi melodramatik dan bersifat melankolik.

Afida Es sebagai si ibu hanyalah watak yang patetik, sementara watak-watak anak yang telah berkeluarga itu juga terperangkap dengan watak-watak yang klise sepertimana biasanya drama Melayu, anak-anak menghadapi dilema memahami kesukaran memahami hati si ibu.

Kelemahan drama ini adalah disebabkan oleh pemahaman dan olahan watak dan plotnya yang tidak seimbang. Para pelakon utama juga gagal memberikan impak lakonan yang seharusnya dapat menghidupkan lagi drama ini.

Isu dan kritikan sosial adalah antara kekuatan drama TV dan filem bukan sahaja dari negara ini, tetapi dari kebanyakan negara Asia. Apa yang lebih penting bagi pembikin drama atau filem ialah keupayaan mempelbagaikan pendekatan, olahan dan kepekaan pengamatan menangani subjek mereka dalam usaha menghasilkan drama yang lebih menarik. Inilah yang harus dilakukan oleh Aziz M. Osman dalam Kita.

Oleh : A. Wahab Hamzah
Sumber : Utusan Online 30/7/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000