![]() |
Rencana Article |
. | . |
Filem Dari Jemapoh Ke Manchestee arahan Hishammuddin Rais adalah filem tempatan yang terbanyak memuatkan lagu. Filem itu memuatkan sebanyak 26 lagu yang bercorak underground.
Lagu-lagu yang terdapat dalam filem itu kini diterbitkan dalam bentuk album soundtrack untuk memberi peluang kepada peminat menghayati seni muzik dalam filem ini.
Album tersebut dianggap istimewa apabila menampilkan lagu pop yeh-yeh tahun 60-an, La O Be nyanyian Kassim Selamat sebaris dengan lagu underground dalam filem ini. Kassim turut muncul dalam satu adegan di kelab punk dalam Dari Jemapoh Ke Manchestee.
Kata Hishammuddin, lagu tersebut dipilih sebagai lagu tema filem tersebut untuk memberi penghormatan kepada Kassim dan The Swallows yang pernah mencipta nama di Eropah.
Hishammudin memberitahu demikian pada sidang akhbar album itu di Kuala Lumpur kelmarin.
Menurutnya, lagu tersebut telah mendapat tempat utama di dalam carta lagu popular di Hamburg, Jerman selama tiga minggu berturut-turut pada tahun 1966.
''Filem ini diharapkan dapat mengingatkan generasi muda bahawa muzik tempatan telah menjelajah ke luar dari tempurung kedaerahannya melalui lagu La O Be,''kata Hishamuddin lagi.
Malah menurutnya, dia mengangkat lagu tersebut ke dalam filem sulungnya kerana semasa kecil lagu-lagu sedemikian adalah corak lagu yang didengar.
Album tersebut kini telah dipasarkan secara komersial oleh pengedar persendirian dengan harga yang lebih murah.
Sementara itu, Hishammudin berkata, kumpulan-kumpulan muzik underground yang terlibat dalam soundtrack itu tidak memerlukan suntikan komersial sebaliknya mampu berdiri dengan konsep tersendiri.
Menurutnya, mereka tidak pernah impikan untuk menjadi popular dan jauh sekali mengaut keuntungan sebagaimana kumpulan muzik komersial yang lain.
Dari Jemapoh Ke Manchestee sebuah filem bercorak road movie yang memberi perhatian yang rapi terhadap seni bunyi dan muzik.
Antara kumpulan muzik yang ditampilkan ialah, Carburetor Dung, Babushka, Koffin Kanser, Damage Digital, Eat Boiled Crow, The Republic Of Brickfields dan The Swallows.
Mengenai tayangan filem tersebut, Hishamuddin berkata dia terpaksa mengikut giliran daripada Syarat Wajib Tayang.
''Saya harus menunggu giliran selepas filem Silat Legenda, Jogho, Puteri Impian II dan Kaki Bakar yang terlebih dahulu disenaraikan,''ujarnya.
Dia berharap filem tersebut dapat ditayangkan tahun ini kerana ia telah banyak diperkatakan sebelum ini. Filem itu juga banyak mendapat tempat di festival luar negara.
Selain tayangan di Singapura April lalu dan di Munich pada Jun, filem itu juga akan dibawa ke Festival Filem Asean, di Jakarta September ini. Ia juga dijadualkan ke Festival Filem Antarabangsa Stockholm selepas itu.
Sumber : Utusan Online 2/9/1998
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |