![]() |
Rencana Article |
. | . |
MOKHTAR (kiri) bersama Umie Aida dan Azri Iskandar melihat potret Allahyarham
Leftenan Adnan pada majlis pelancaran filem itu di ibu kota, baru-baru ini.
Nama Leftenan Adnan Saidi terus kekal dalam lipatan sejarah sebagai lambang keperwiraan dan semangat gagah berani anak Melayu. Anak kelahiran Kampung Sungai Rambai, Kajang, Selangor ini, abadi dalam kenangan sebagai wira negara yang sanggup berkorban apa sahaja dalam mempertahankan kedaulatan bangsa dan tanah air.
Dalam usaha untuk mengabadikan keperwiraan dan kepimpinannya itu, kisah Leftenan Adnan akan difilemkan tidak lama lagi.
Susur galur kehidupan dan keperwiraannya akan dikupas menerusi filem perang yang diberi judul Lt. Adnan.
Filem terbitan Kementerian Pertahanan ini akan memperkatakan secara langsung mengenai semangat perjuangan anak-anak watan di dalam Askar Melayu era perang Dunia Kedua.
Majlis pelancaran filem itu telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha di sebuah hotel di ibu kota, Khamis lalu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera Jen. Datuk Seri Mohd Zahidi Zainuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.
Hadir sama ialah anak sulung Allahyarham Leftenan Adnan, Mokhtar Adnan.
Menurut pengarah filem tersebut, Aziz M. Osman, filem ini akan dihasilkan bagi memberi peluang kepada generasi muda hari ini menghayati sejarah seorang pejuang sebenar.
Aziz akan bergandingan dengan penulis skrip asal filem ini, AR Sulaiman sebagai pengarah bersama.
Menurut Aziz, selepas filem fiksyen Sarjan Hassan dan filem perang bersandarkan sejarah, Bukit Kepong, tidak ada filem perang yang dihasilkan bagi mengangkat peranan yang telah dimainkan oleh anggota tentera di negara ini.
''Saya merasakan ini adalah satu cabaran yang amat berat bagi diri saya sebagai seorang pengarah,'' jelas Aziz ketika ditemui pada majlis tersebut.
Menurut Aziz, dia menerima tawaran untuk mengambil tanggungjawab sebagai pengarah filem tersebut setelah meneliti jalan cerita dan skrip yang dihasilkan oleh A.R Sulaiman.
Penggambaran filem ini akan bermula pada 22 Januari tahun hadapan dan keseluruhan penggambarannya mengambil masa selama dua bulan.
Tayangan Perdana dijangka akan diadakan pada 1 Julai 2000 sempena dengan Hari Pahlawan di alaf baru, manakala tayangan umum akan diadakan pada 31 Ogos 2000 bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-43.
Menurut Aziz, dia tidak dihambat dengan unsur-unsur komersial untuk merealisasikan filem yang bercorak patriotik ini.
Ini kerana kisah dan peristiwa yang berkaitan dengan perjalanan hidup Leftenan Adnan sendiri amat menarik untuk dijadikan bahan cerita di layar perak.
''Saya tidak mahu ada orang membandingkan antara filem ini dengan filem perang lain. Tidak ada unsur-unsur pertambahan yang diberikan kepada filem ini untuk menyedapkan jalan ceritanya.
''Ini kerana jalan cerita dan susur galur kehidupan Leftenan Adnan sendiri sudah cukup untuk dikomersialkan dan amat menarik,'' jelasnya.
Sementara itu, menurut Panglima Tentera Darat, Jen. Datuk Seri Md. Hashim Hussein, kos keseluruhan menghasilkan filem tersebut ialah sebanyak RM2 juta.
Kementerian Pertahanan telah menubuhkan satu dana iaitu Tabung Alaf Baru bagi membolehkan golongan korporat dan orang perseorangan yang ingin memberi sumbangan ke arah merealisasikan filem tersebut.
Setakat ini, sebanyak RM 130,000 telah terkumpul melalui dana tersebut.
''Kami mengalu-alukan badan korporat dan orang ramai yang bermurah hati untuk memberi sumbangan kepada dana tersebut bagi menghasilkan filem sejarah ini,'' jelasnya pada majlis yang sama.
Filem ini akan menampilkan pelakon seperti Azri Iskandar, Umie Aida dan Farid Amirul sebagai pelakon utama.
Sementara pelakon lain yang turut terlibat ialah Rusdi Ramli, Sharuddin Thamby, M. Osman, Shamsul Azhar dan Sherie Merlis dan Faizal Husin.
Keseluruhan penggambaran dan keperluan lain seperti props, kostum, penyelidikan dan
pentadbiran diselaraskan oleh unit Tentera Darat seperti Infantri, Kor Semboyan Diraja,
Kor Jurutera Diraja, Muzium ATM dan Kor Kesihatan Diraja.
Oleh : Tengku Khalidah Tengku Bidin
Sumber : Utusan Online 13/11/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |