![]() |
Rencana Article |
. | . |
Femme fatale (dibunyikan sebagai fam patal) atau perempuan pisau cukur adalah ciri paling penting di dalam filem noir - hitam atau gelap. Selain teknik pencahayaan, watak perempuan pisau cukur ini akan dijadikan pengukur sama ada filem itu noir atau tidak noir. Sama seperti genre western atau koboi yang memerlukan lelaki yang cekap bermain pistol, di dalam filem noir protoganisnya ialah seorang perempuan yang cekap dan tahu tentang seksualiti.
Perempuan ini sedar akan kecantikan tubuh badannya. Dan pada masa yang sama, perempuan ini juga tahu keinginan seksualiti lelaki. Justeru watak ini akan menggunakan kecantikan dan daya tarikan seksual untuk memikat lelaki.
Perempuan pisau cukur ini tidak diperlihatkan sebagai objek keinginan untuk penonton. Tetapi akan menjadi object of desire kepada lelaki yang akan dijadikan mangsa. Naratif noir ini bukanlah terlalu asing untuk penonton. Tema noir ini terjadi di dalam semua budaya.
Terlalu banyak cerita, drama malah di dalam kehidupan harian penonton melihat atau mendengar plot femme fatale.
Watak femme fatale ini harus dibezakan daripada watak seorang perempuan yang ingin menjadi isteri kedua seorang datuk atau orang kaya. Ini satu tema klise yang sering dilihat dalam drama TV atau filem Melayu. Di dalam filem noir perkahwinan bukan motif atau penolak naratif.
Di dalam filem noir keinginan untuk memiliki tubuh badan lelaki penting tetapi ada perancangan yang lebih besar.
Di dalam filem Body Heat (1981), pengarahnya, Lawrence Kasden menggunakan semua unsur noir di dalam sebuah filem noir yang berwarna. Seorang peguam yang dimainkan oleh William Hurt secara tidak sengaja bertemu dengan seorang perempuan cantik. Watak femme fatale ini dimainkan oleh Kathleen Turner. Dengan menggunakan seks, perempuan menggoda peguam itu. Akhirnya peguam itu jatuh cinta kepada perempuan ini. Lalu mereka merancang membunuh suami Kathleen Turner yang kaya.
Pada anggapan peguam ini, apa yang sedang mereka lakukan ialah bukti kasih sayang tetapi sebaliknya perempuan itu memasang satu lagi perangkap di mana William Hurt yang akhirnya dituduh membunuh. Perempuan pisau cukur ini berjaya mendapatkan harta kekayaan dan hidup senang lenang.
Tema dan plot seperti ini didapati dalam semua klasik noir. Perempuan pisau cukur itu akan akhirnya menang dan berjaya. Di dalam perjalanan naratif, banyak lelaki yang dijadikan mangsa. Di sini watak perempuan pisau cukur tidak disenangi penonton. Ini kerana penonton sedar dan melihat perancangan yang sedang berlaku di hadapan mata mereka. Perempuan pisau cukur hanya menjadi objek yang diingini oleh si lelaki bakal mangsanya.
Justeru femme fatale akan dilihat oleh penonton sebagai perempuan berbahaya. Mereka sering disamakan seperti Spider Woman atau perempuan labah-labah yang akan memerangkap mangsa melalui jaring-jaring yang dipasang. Lelaki yang terperangkap oleh femme fatale jarang dapat membebaskan diri. Di sini perempuan pisau cukur akan dilihat sebagai perosak sistem kekeluargaan.
Di dalam satu unit keluarga yang digambarkan ideal akan wujud ibu, ayah dan anak. Apabila femme fatale muncul, maka unit keluarga ini akan menjadi porak peranda. Watak perempuan kedua membawa contoh watak perempuan yang bebas. Watak perempuan ini lari dari norma kehidupan berkeluarga. Selain kecantikan dan daya tarikan seks protaganis yang berhadapan dengan femme fatale ini juga akan tertarik dengan sikap dan watak bebas ini. Protagonis lelaki kalau berkeluarga akan berasakan kebosanan hidup dengan rutin rumah tangga berbanding kebebasan yang dimiliki oleh femme fatale.
Apa yang menarik di dalam perwatakan perempuan pisau cukur ialah kebebasan perempuan ini untuk bertindak. Watak ini boleh mengawal keinginan seksnya. Dengan sifat ini maka femme fatale akan dilihat sebagai pembawa unsur subersif yang berani melanggar nilai sistem keluarga. Watak ini juga akan mempersoalkan nilai tradisional perempuan dan keluarga. Ada unsur feminis di sini walaupun apabila genre ini dimulakan, teori feminis masih belum lahir lagi.
Ada juga filem noir yang akan membuat perbezaan di antara perempuan pisau cukur dengan perempuan yang tidak melanggar nilai berkeluarga. Ini dilakukan agar penonton dapat melihat perbandingan antara dua watak perempuan yang berbeza. Di dalam drama atau filem Melayu walaupun bukan mengkaji watak femme fatale tapi ada digambarkan perempuan bandar dan perempuan kampung.
Di dalam filem noir dua watak yang berbeza ini dilihatkan lebih rapi dan mendalam. Cahaya digunakan untuk pembezaan. Femme fatale disinari dengan cahaya yang malap, samar dan sering diselindungi oleh bayang. Perempuan 'baik' dicahayakan di dalam persekitaran yang terang tanpa bayang. Babak perempuan 'baik' hanya berlaku pada siang hari. Manakala femme fatale digambarkan di lorong kota yang gelap dan jalan raya yang basah atau di kelab malam.
Lelaki yang diperangkap oleh femme fatale ini tidak semestinya lelaki tua yang telah berumah tangga. Banyak watak 'lelaki solo' yang dimainkan oleh mata-mata gelap sendirian, peguam atau wartawan. Pekerjaan ini membolehkan si lelaki bertemu dengan si perempuan. Di dalam Big Sleep (1946), Humphrey Bogart adalah seorang mata-mata gelap sendirian. Di dalam Out of the Past (1947) Robert Mitchum juga seorang mata-mata gelap.
Apa yang memangkin Protagonis lelaki untuk merapati perempuan pisau cukur bukan janji yang akan membawa kepada perkahwinan. Hubungan jantan dengan perempuan di dalam filem noir memang dipenuhi dengan keinginan seksual. Hero yang tergoda sering mengalami permasalahan rumah tangga. Ada yang bercerai dan ramai yang putus kasih.
Di sini perempuan pisau cukur menjadi daya tarikan apabila teman lelaki 'si hero' tidak mampu memberikan kedamaian, ketenangan dan setiakawan. Semua keinginan emosi Protagonis lelaki akan diberikan oleh femme fatale.
Di sini watak femme fatale mengubah fungsi tradisional perempuan Femme fatale kerana jiwanya yang bebas senang diterima sebagai teman menghasilkan resah gelisah hidup.
Hollywood juga sedar sifat subversif watak femme fatale. Perempuan pisau cukur bukan saja berbahaya kepada lembaga perkahwinan malah boleh dilihat sebagai mengancam lelaki. Justeru diwujudkan pula femme fatale yang akhirnya dibawa kembali untuk 'bertaubat'. Filem noir seperti ini muncul terkemudian. Di dalam Mildred Pierce (1945) yang berunsur noir memperlihatkan perempuan yang bebas berdikari dan menguasai seksualiti diri dihukum. Mildred yang dimainkan oleh Joan Crawford meninggalkan suaminya dan bekerja sendiri sehingga berjaya.
Tetapi apabila dia mengadakan hubungan dengan seorang lelaki yang bukan suaminya, dia dihukum apabila anak perempuan kesayangan mati demam. Kemudian anak keduanya pula membawa kerenah sehingga terjadi pembunuhan. Jelas dilihatkan perempuan yang bebas tanpa suami tidak akan selamat.
Filem noir seperti ini ingin mengembalikan kekuatan lembaga perkahwinan yang dirasuk oleh femme fatale. Atau secara tidak disengaja di akhir jalan cerita femme fatale itu sendiri akan terbunuh. Naratif seperti ini akan mengembalikan kepercayaan penonton kepada perkahwinan dan rumah tangga. Femme fatale akan dilihat sebagai contoh yang tidak patut dituruti.
Tangga terakhir watak femme fatale, walaupun ditaubatkan tetapi masih juga dihukum. Femme fatale kali ini tidak berwatak pisau cukur malah suri rumah tangga yang baik tetapi masih juga dilihat sebagai satu ancaman.
Kali ini perempuan hanya dilihat sebagai satu ancaman terhadap jantan. Filem Touch of Evil (1958) arahan Orson Welles memperlihatkan perempuan yang tidak melanggar batas atau mengancam sesiapa pun tetapi masih dihukum.
Perempuan kampung dengan perempuan kota, perempuan suri tangga dengan perempuan pisau cukur di dalam filem noir masih lagi pandangan lelaki. Filem noir memperlihatkan ideologi lelaki dan pandangan lelaki terhadap wanita.
Era kegemilangan filem noir mungkin berakhir. Ideologi naratif perempuan pisau cukur mungkin pada ketika ini tidak dilihat sebagai satu fesyen lagi. Apa yang ditinggalkan oleh filem noir ialah teknik pencahayaan, bayang-bayang, kesamaran perempuan atau misteri perempuan cantik daripada kaca mata lelaki.
Hari ini banyak perempuan yang penuh glamor akan cuba menjadi femme fatale. Banyak yang berjaya cuma tidak wujud hanya pembunuhan.
Oleh : Hishamuddin Rais (jemapoh@tm.net.my)
Sumber : Berita Minggu Online 24/1/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |