![]() |
Rencana Article |
. | . |
Saya harus membuat pengakuan terbuka. Saya menonton filem Titanic arahan James Cameron sebanyak tiga kali. Pertama kali, sebagai pengkritik filem kerana saya harus mengisi ruangan dalam majalah hiburan mingguan HAI. Kedua, untuk mengagumi teknik pembikinannya, termasuk teknologi komputer (bukti keupayaan 'computer generated images' - CGI) yang dimanfaatkannya dan bagaimana filem itu boleh memakan biaya sebesar itu (AS$200 juta atau RM760 juta). Ketiga, kerana saya harus menontonnya sekali lagi, itu sahaja.
Saya tidak bersendirian sebenarnya. Kajian yang dibuat di Amerika Syarikat (yang disiarkan dalam majalah Newsweek terbaru) menunjukkan bahawa 20 peratus penonton Titanic menonton filem itu lebih dari sekali. Malah 45 peratus dari wanita yang berusia di bawah 25 tahun menontonnya lebih dari sekali. Dan 76 peratus orang yang pernah menontonnya kali kedua berhasrat untuk menontonnya sekali lagi.
Kita harus ingat bahawa dalam keadaan normal, bagi filem yang paling laris sekalipun, kadar penonton yang mengulang kali kedua hanyalah 2 peratus.
Titanic tentulah filem 'yang lain'. Selain mencatat sejarah sebagai filem paling mahal di dunia (sekiranya dimasukkan kos promosi dan lain-lain mungkin mencecah AS$300 juta atau RM1.4 bilion)) ia juga nampaknya akan mencatatkan filem pertama di dunia yang berjaya membuat pungutan tiket melebihi AS$1 bilion (RM3.8 bilion). Sehingga rencana ini ditulis, pungutan tiket untuk seluruh dunia sudah mencecah AS$800 juta (RM3 bilion).
Filem itu juga mencatatkan rekod sebagai filem kedua dalam sejarah yang mendapat pencalonan paling banyak untuk Hadiah Akademi (14, setaraf dengan All About Eve pada tahun 1950). Selain dari itu ia juga mencipta sejarah Hadiah Akademi apabila dua pelakon yang membawa watak yang sama dalam sebuah filem dicalonkan sebagai pelakon terbaik (Gloria Stuart dan Kate Winslet). Juga, Stuart yang berusia 87 tahun itu akan mencatat sejarah sebagai pelakon paling tua dicalonkan untuk memenangi sebarang hadiah lakonan.
Tapak web untuk filem itu kini mencatatkan 'hits' sebanyak 4 juta sehari. Tidak cukup
dengan itu, buku mengenai pembikinannya, James Cameron's Titanic mencatat sejarah
sebagai buku mengenai filem yang pertama mencecah senarai buku laris New York Times. Trek
muzik filem itu yang digubah oleh James Horner juga laris bagai goreng pisang panas - 10
juta sudah beredar setakat ini.
Filem ini memang luar biasa daripada skop, teknologi pembikinan dan komitmennya. Sebagai
satu tragedi, kapal Titanic memang luar biasa. Di tengah lautan pada tenang malam yang
tragis itu, 1,500 orang terkorban. Hanya 700 yang sempat menaiki perahu penyelamat yang
boleh menampung 1,200 orang sebenarnya. Tetapi tiada siapa yang berani kembali ke sisi
kapal yang tenggelam kecuali seorang pegawai rendah bernama Lowe, dengan sebuah bot kecil
untuk menyelamatkan mereka dari air yang sejuk itu.
Lagi pula kapal itu sebenarnya ialah manifestasi perbezaan kelas zaman itu. Penumpangnya hidup bagaikan langit dengan bumi. Di kelas pertama, penumpang menikmati hidup paling mewah. Apabila kapal itu mula tenggelam, penumpang kelas ketiga dihalang dari menaiki ke dek yang lebih atas. Harapan untuk orang miskin mati lebih besar dalam kapal itu.
Agaknya sudah terlalu lama isu kelas ini diketepikan oleh filem arus perdana. Maka itu apabila gadis jelita dari kelas pertama bernama Rose DeWitt Bukater (lakonan Kate Winslet) bercinta dengan gelandangan dan pelukis dari kelas ketiga bernama Jack Dawson (Leornado DiCaprio), ia memberikan drama percintaan yang sudah lama diabaikan.
Filem ini mengingatkan banyak orang pada filem Gone with The Wind, epik percintaan zaman Perang Saudara di AS yang dibuat pada tahun 1950-an itu. Malah sebenarnya selain elemen pergeseran kelas, survival dan harga diri dalam filem itu, orang ramai berulang menontonnya kerana filem ini menjanjikan sesuatu yang tulen dan asli.
Sekurang-kurangnya dari segi sentimen dan emosinya, Titanic boleh menyentuh perasaan. Lagipun bilakah kali terakhir kita sebenarnya dibuai rindu, nostalgia dan emosi apabila menonton?
Oleh : Johan Jaaffar
Sumber : Utusan Online 23/2/1998
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |