Rencana
Article
. .

Selain Cannes, yang tinggal hanya Sundance?

Festival filem Cannes di Perancis berusia 50 tahun, tahun ini. Bagaikan manusia separuh usia, ia sepatutnya sudah mulai hilang glamornya. Tapi Cannes tidak pudar-pudar kerana ia sebenarnya pesta bintang-bintang.

Di manakah lagi festival filem yang masih dihormati kalau Cannes dianggap terlalu komersial, terlalu popular atau terlalu riuh rendah. Toronto? Toronto khabarnya terlalu serius, terlalu rasmi dan terlalu business-like.

Mungkin jawapannya terletak di Montana, Amerika Syarikat, di tapak yang dikenal sebagai Sundance. Sejak 13 tahun yang lalu Festival Sundance menjadi tuan rumah pada pembikin filem muda. ''Sundance'' menjadi sebahagian legenda dunia filem kerana filem Butch Cassidy and the Sundance Kid.

Filem itu dilakonkan oleh Paul Newman dan Robert Redford. Redford memainkan watak Sundance dalam filem itu. Filem yang diarahkan oleh George Roy Hill pada tahun 1969 itu memperkukuh kedudukan pelakon kacak yang punya karisma luar biasa itu.

Redford berlakon dalam banyak filem lain selepas itu antaranya The Candidate, Jeremiah Johnson, The Way We Were, The Sting, The Great Gatsby, Three Days of Condor dan All The President's Men. Beliau juga turut mengarah dalam Ordinary People dan paling baru, Quiz Show.

Redford mempunyai satu impian - memberi peluang kepada pembikin filem muda atau bebas atau yang dibuat di luar sistem studio.

Pada tahun 1989, apabila Festival Sundance baru mencipta nama, salah sebuah filem yang ditayangkan ialah sex, lies, and videotape. Filem ini bolehlah dikatakan dibuat tanpa bujet. Kerana kemenangannya dalam festival itu, filem ini telah diedarkan dan mendapat pungutan tiket lebih AS$24juta (RM60juta).

Filem ini diarahkan oleh Steven Soderbergh dan dilakonkan oleh pelakon-pelakon muda yang tidak dikenal ketika itu. Di antara mereka termasuklah James Spader, Andie MacDowell dan Peter Gallagher, kesemuanya menjadi pelakon terkenal hari ini. Filem ini juga mendapat perhatian di Cannes.

Selepas itu Hollywood mula tertarik pada Sundance. Demikian juga ribuan pembikin filem muda yang tidak ada pilihan lain. Quentin Tarantino mula dikenal kerana Reservoir Dogs yang pertama kali ditayangkan di Sundance. Filem itu dianggap terlalu ganas malah diketepikan oleh pengedar sehinggalah ia menang di Sundance.

Tahun lalu, sebuah filem berjudul Shine mendapat perhatian luar biasa di Sundance. Filem itu membawakan kisah pemain piano keturunan Yahudi dari Australia yang menjadi gila. Shine juga meletakkan pelakon utamanya Geoffrey Rush sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam Hadiah Akademi yang baru lalu. Filem itu juga dicalonkan sebagai Filem Terbaik.

Hari ini Sundance menjadi sama besarnya dengan Cannes. Malah ia menjadi satu lagi tarikh penting dalam kalendar filem di dunia. Satu ketika dahulu, hanya 15 buah filem yang ditayangkan di Sundance. Tahun lalu, 600 buah filem didaftarkan untuk penyertaan.

Tahun lalu juga, lebih 90,000 tiket dijual dalam festival itu. Malah untuk menampung jumlah filem dan penonton yang bertambah, Redford membina auditorium baru yang boleh menampung 800 tempat duduk. Tahun lalu juga beberapa buah filem terpaksa ditayangkan di Salt Lake City, 50 kilometer dari Sundance.

Studio utama dan pengedar Hollywood melihat Sundance lebih dari sekadar pasar filem. Filem-filem yang dibawa ke Sundance jauh lebih murah dari filem yang dibuat oleh studio utama di Hollywood. Sekiranya benar filem James Cameron berjudul Titanic sudah mencecah belanja AS$200 juta (RM500juta), belum termasuk kos promosi, sesungguhnya harga filem sudah terlampau mahal.

Mereka mencari kalau-kalau akan muncul lagi sex, lies, and videotape, Reservoir Dogs, The Brothers McMullen, El Mariachi atau Shine.

Itupun kalau Sundance tidak mengikut jejak Cannes yang mengutamakan glamor dari isinya. Bayangkan kalau kita juga mempunyai festival sedemikian, biarpun kecil permulaannya.

Oleh : Johan Jaaffar
Sumber : Utusan Online 19/5/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000