Rencana
Article
. .

Apabila Jepun taja filem Melayu

Jogho Siapa saja yang menganggap diri mereka karyawan filem, birokrat filem atau peminat filem wajar berasa malu dengan NHK Jepun. Dalam keghairahan kita berbelanja untuk mencipta nama di puncak Everest dan Kutub Utara, NHK pula berbelanja untuk menerbitkan filem Melayu. Kelakar bukan?

NHK telah memberi geran sebanyak RM1 juta kepada U-Wei untuk membuat filem Jogho adaptasi daripada novel Juara karya S. Othman Kelantan. Jogho adalah filem yang membawa subjek identiti dan pemikiran Melayu yang banyak orang tidak berminat membuatnya.

Jogho telah mengadakan tayangan perdana di Tokyo tahun lalu. Selain itu ia adalah kemuncak kedaifan kita memahami, memanfaat dan menghargai filem. Barangkali kalau kita tidak banyak berleka, yang dilakukan oleh NHK boleh dipikul oleh pihak tempatan.

Kita bukan tidak ada peruntukan, cuma peruntukan itu bukan untuk filem. Jangka hayat Jogho sebenarnya lebih lama daripada demam Everest atau Kutub Utara. Buktinya Citizen Kane (1941) arahan Orson Welles, Bicycle Thieves (1949) arahan Vittorio de Sica atau Battleship Potemkim (1925) arahan Sergie Eisenstein masih bernilai sehingga kini.

Apa sebenarnya yang mendorong kita lebih kepada hal-hal yang gah? Barangkali ini bertolak daripada tafsiran, kefahaman dan patriotisme. Kita menafsirkan filem sebagai alat hiburan di pawagam. Yang kebanyakan kita termasuk korporat dan birokrat faham, filem adalah gemerlapan dan sensasi.

Dan satu lagi, filem boleh memberi keuntungan kalau dibuat mengikut selera penonton. Kalau penonton mahu menonton penyanyi, kita ambil penyanyi.

Kerana itu tidak hairanlah kalau orang Jepun menaja filem Melayu kerana birokrat dan korporat tempatan tidak menyalurkan nilai patriotik melalui filem. Memang memalukan kerana orang luar yang berusaha membawa pemikiran kita ke luar negara.

Tetapi itu kenyataan. Kalau ada projek mega untuk mencatatkan rekod dunia, kita pasti sanggup berbelanja beberapa juta lagi.

Tetapi jangan tanya mana projek filem nasional yang dibuat khas untuk ke Cannes? Atau mana filem nasional untuk ditayang sempena lawatan pemimpin ke luar negara.

Filem Melayu telah lama dibunuh oleh pemikiran kita terhadap filem. Filem tidak pernah ada nilai kepada birokrat dan korporat. Filem sering kali dilihat seumpama kupu-kupu malam yang berkeliaran di kaki-kaki lima di Bukit Bintang atau Lorong Haji Taib. Pujian dan simpati hanya sementara.

Dalam keadaan pasaran yang begitu kecil, usahlah digembar-gemburkan istilah 'industri filem tempatan'. Gerun sangat bunyinya. Malaysia tidak perlu ada industri filem. Fungsi filem perlu diubah kepada gagasan menghasilkan filem nasional yang menjadikan cetusan hati nurani rakyat.

Kita tidak memerlukan berbelas-belas filem tempatan dalam setahun kerana terbukti belum layak dijadikan industri.

Barangkali lebih munasabah kalau Malaysia menghasilkan tiga atau empat filem sahaja setahun tetapi yang bertaraf filem nasional. Yang boleh mewakili pemikiran dan nilai setempat.

Filem nasional dan industri filem adalah dua hal yang berbeza. Matlamatnya tidak sama. Tetapi kebanyakan daripada kita melihat kedua-duanya sebagai satu. Ini antara faktor membuatkan tidak ada pihak yang bersedia menaja pembikinan filem nasional.

Kerajaan perlu membuat perancangan sejak lama dulu untuk projek pembikinan filem nasional. Filem jenis ini bukan untuk beradu kutipan di pawagam atau membuatkan si penerbit sebagai jutawan baru.

Filem nasional seperti yang diterbitkan oleh China, Indonesia malah Vietnam, adalah misi untuk meletakkan nama negara di peta dunia.

Siapa kata filem tidak boleh menaikkan bangsa dan negara? Lihatlah bagaimana dunia merujuk Singapura melalui filem Twelve Storeys dan Mee Pok Wan atau mengenai Vietnam menerusi The Scent of Green Papaya.

Jangan perkecilkan Singapura kalau tidak segemilang era Jalan Ampas. Filem-filem Singapura lebih banyak dikenali di luar negara. Ketika kita bernostalgia tentang kegemilangan Jalan Ampas, Singapura menghasilkan filem yang lebih jujur tentang realiti sosial di Singapura.

Begitu juga filem Indonesia yang daripada pandangan kasar sudah hancur lebur. Pelakon lari ke drama TV dan filem murahan Indonesia sarat dengan seks. Tetapi jangan lupa filem Telegram arahan Slamet Raharjo dibiayai oleh Perancis dan dewan perfileman tempatan.

Sekadar bertanya, mungkinkah kerana mereka seniman, kepulangan U-Wei dan Shuhaimi Baba dengan kejayaan di festival antarabangsa tidak disambut dengan ucapan tahniah daripada pemimpin? Biarlah orang luar menghargai karyawan kita.

Oleh : Ku Seman Ku Hussain (kuseman@pc.jaring.my)
Sumber : Utusan Online 11/6/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000