Rencana
Article
. .

Era emas filem komedi

Kemunculan filem-filem yang judulnya bermula dengan 'Mat' arahan Mat Sentol adalah senario yang menarik dalam sejarah perfileman Melayu. Genre komedi di tangan Mat Sentol boleh mencetuskan hujah menarik tentang keterbukaan dan struktur pemikiran khalayak filem Melayu.

Filem-filem ini telah membawa pemikiran khalayak jauh mendahului zaman. Berbanding filem-filem yang diangkat dari mitos dan legenda silam, Mat Sentol membuka dunia pemikiran penonton dengan cerita-cerita di luar hukum hakam filem Melayu.

Lebih menarik lagi apabila Mat Sentol membina dunia logik yang tersendiri malah kelihatan sedikit surealis apabila membawa penghayatan penonton ke satu landskap minda yang lain.

Berkarya sebenarnya bebas dan pengarah harus berkeupayaan membina kebebasan imaginasinya sendiri. Mat Sentol telah melakukan ini dalam filem-filem arahannya. Sememangnya filem-filem Mat Sentol kelihatan murah, mudah dan tidak mengheret persoalan serius.

Ketika filem-filem Melayu di Jalan Ampas meriah dengan kisah epik dan drama sosial, Mat Sentol kelihatan lebih percaya dengan stail dan jurus yang surealis.

Realiti dalam kebanyakan filem-filem Mat Sentol berada dalam dunia yang tersendiri. Malah penonton sudah boleh menerima realiti itu dalam konteks filem. Buktinya tidak ada yang menghujah tentang logik atau tidak manusia dijadikan peluru meriam dalam Mat Magic.

Begitu juga orang tidak pernah mempersoalkan masuk akal atau tidak, makanan bertukar menjadi ulat dan cacing dalam Mat Lanun. Mat Sentol tentunya banyak menyumbang kepada penerimaan penonton terhadap filem-filem dekad 90-an.

Tanyalah siapa lagi yang mempelopori genre filem komedi secara konsisten kalau bukan Mat Sentol.

Memang benar genre filem komedi dalam perfileman tempatan agak lewat kalau ukurannya pada era kegemilangan di Hollywood. Era kegemilangan filem komedi di Hollywood dicetuskan dengan kehadiran pengarah seangkatan Charlie Chaplin pada era 1913 hingga 1930-an.

Ini juga kelihatan banyak memyumbang kepada dunia kreatif Mat Sentol membawa komedi yang luar biasa kepada khalayaknya.

Dia menyediakan landasan yang baik untuk khalayak menerima filem-filem The Toys Story, Ace Ventura, The Mask atau Independent Day.

Kerana itu filem-filem arahan Mat Sentol tidak sekadar komedi. Buktinya filem Mat Sentol tidak sama dengan Tuan Besar, Tuan Badul, Panglima Badul, Gila-Gila dan banyak lagi yang cuba menggeletek penonton dengan telatah lawak mereka.

Malah filem Mat Sentol juga berbeza dengan komedi terbaru Senario The Movie. Filem ini berada dalam senarai penting kerana berada di tangga kedua kutipan tertinggi dalam sejarah enam dekad filem Melayu.

Senario The Movie (janggal sangat bunyinya) lahir ketika remaja, kanak-kanak malah bapa serta emak kanak-kanak mengisi petang Sabtu di depan TV sambil berkongsi ketawa dengan Kumpulan Senario.

Saya sebenarnya masih belum disambar telatah Senario. Tetapi khabarnya filem ini antara yang menyelamatkan industri filem tempatan dari terus lumpuh akibat obsesi luar biasa generasi baru yang filem mereka tidak pernah 'berjaya'.

Berbeza dengan Mat Sentol yang tidak pernah bertenggek di atas populariti lain. Filem-filem Mat Sentol lebih bebas dan jujur sebagai sebuah karya yang lahir daripada hasrat pengarahnya.

Tetapi pada realitinya, Mat Sentol dan filem-filem arahannya seperti tidak pernah tercatat secara sungguh-sungguh dalam direktori perfileman tempatan.

Maka benarlah kalau ada pendapat yang mengatakan Mat Sentol antara pengarah zaman emas filem tempatan yang namanya terpadam dalam senarai. Mat Sentol hampir tidak ada dalam sejarah filem tempatan walaupun sumbangannya yang cukup menonjol.

Lebih malang lagi apabila genre komedi dalam filem Melayu hanya tertumpu kepada trilogi Bujang Lapok arahan P. Ramlee. Tetapi kemunculan genre komedi dalam filem tempatan tidak hanya oleh P. Ramlee.

Dari aspek konsisten berkarya, pemilihan subjek dan stail yang dikemukakan, Mat Sentol tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Zaman emas filem komedi sebenarnya digerakkan oleh Mat Sentol yang kelihatan cukup bersungguh-sungguh memastikan kelangsungan stail komedinya.

Malah Mat Sentol bukan sahaja berjaya mengekalkan stail berkarya malah mengubah struktur pemikiran khalayak filem Melayu pada zaman emasnya.

Komedi Mat Sentol kelihatan menghampiri genre black comedy yang memberi humor kepada suatu yang bersifat tragedi. Dengan kaedah pembikinan filem yang serba kekurangan, Mat Sentol berjaya melontarkan konsep ideanya.

Oleh : Ku Seman Ku Hussain (kuseman@pc.jaring.my)
Sumber : Utusan Online 28/10/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000