![]() |
Rencana Article |
. | . |
Karyawan filem pernah kecewa apabila kepulangan P. Ramlee membawa trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia di Tokyo tahun 1957 tidak diendahkan. Kejayaan P. Ramlee menerusi filem Anakku Sazali itu besar ertinya bagi seni perfileman di dunia Melayu.
Tetapi kerana filem ketika itu tidak lebih sebagai alat hiburan, lalu kejayaan seperti yang diperlihatkan oleh P. Ramlee tidak dirasai maknanya.
P. Ramlee telah melakukan yang terbaik untuk negaranya sekalipun kerja seni itu tidak diendahkan. Bagaimanapun daripada banyak aspek, insiden yang menimpa P. Ramlee mungkin dapat dimaafkan.
Pada latar era menjelang kemerdekaan, masyarakat dan kerajaan belum ditanam penghayatan seni. Mereka bergelut untuk hidup selain terdedah kepada kecurigaan antara satu dengan lain.
Survival hidup, igauan ngeri zaman perang dan perancangan untuk mentadbir negara sendiri tentunya menjadikan penghayatan seni satu agenda terakhir.
Tetapi semacam ada yang tidak kena apabila 41 tahun selepas itu, insiden yang menimpa P. Ramlee turut berulang kepada karyawan generasi baru hari ini. Kestabilan politik, peningkatan taraf hidup dan permodenan yang berlaku di semua ceruk rantau sewajarnya seni berada pada di tempat yang istimewa.
Untuk apa diwujudkan infrastruktur kesenian kalau tidak dihayati peri pentingnya dalam situasi hari ini?
Selepas P. Ramlee, karyawan filem generasi baru seperti U-Wei Haji Saari, Shuhaimi Baba dan pelakon Khalid Salleh misalnya telah mencatat nama di dunia antarabangsa.
Tetapi siapa yang peduli dengan kejayaan mereka? Sebenarnya semua ini bukan kejayaan individu sebaliknya membawa nama negara di mata dunia. Bukankah antara matlamat rombongan kumpulan kebudayaan ke luar negara untuk mencatat nama Malaysia?
Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan mempunyai peruntukkan untuk tujuan itu. Tetapi disebabkan penghayatan seni kalangan birokrat di tahap paling rendah, individu seperti Shuhaimi, U-Wei atau Khalid semacam tidak menyumbangkan apa-apa kepada negara.
Khalid yang membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik tahun ini atau U-Wei meletakkan filem Melayu sebagai filem terbaik di Brussel tentunya lebih ''beruntung'' kalau menjadi pemenang pingat emas Sukan Komanwel.
Atau setidak-tidaknya pemain badminton yang mendapat pengiktirafan negara selain imbuhan besar; tanah, kereta dan jaminan hidup selesa.
Imbuhan bukanlah isunya. Yang dipersoalkan disebabkan birokrat tidak ada penghayatan seni, pembangunan seni dengan sendiri terbantut. Kejayaan filem Kaki Bakar menyertai Festival Filem Cannes misalnya tidak dirasai oleh rakyat.
Memang mengecewakan apabila delegasi yang terjun di Kutub Utara kelihatan lebih besar dan penting daripada kemunculan Suhaimi Baba sebagai pengarah terbaik di Festival Filem Brussel, Belgium.
Shuhaimi tentunya tidak meminta kepulangan dia disambut umpama wira; bunga manggar di lapangan terbang dan para pemimpin berbaris mengucapkan tahniah.
Tetapi siapa yang mengucapkan tahniah kepada mereka selain Finas? Adakah pihak yang memberi rangsangan dan merancang program menghasilkan yang lebih baik selepas itu?
Kerana mereka bukan pemenang pingat emas Sukan Komanwel, pandai-pandailah membawa diri di tengah-tengah kedangkalan seni yang berlaku kalangan birokrat.
Apakah tanggungjawab birokrat mengangkat taraf kesenian cukup dengan membina Panggung Negara yang dikatakan terbaik di dunia, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) atau Kompleks Studio Merdeka?
Semua ini tidak lebih sebagai simbol yang menunjukkan negara ini mempunyai infrastruktur pembangunan seni dan budaya. Infrastruktur memang penting tetapi pada masa yang sama gerakan mengangkat taraf penghayatan juga satu keperluan.
Dengan mewujudkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) 17 tahun lalu, banyak pihak menganggap pembangunan filem Melayu sudah terbela dan penghayatan seni berada di tahap yang cukup memuaskan.
Finas sejak sekian lama dulu dijadikan simbol untuk menjawab segala kritikan apabila pembangunan filem negara ini dipersoalkan kesungguhan dan kejujurannya.
Pihak yang dipertanggungjawab membangunkan penghayatan seni nampaknya melepaskan segala tugas mereka kepada Finas.
Tetapi tugas meningkatkan penghayatan masyarakat terhadap seni termasuk filem bukan kerja Finas. Sebaliknya tanggungjawab bersama yang wajar dipikul oleh banyak pihak yang percaya penghayatan seni boleh melahirkan warga yang berwibawa.
Kerana birokrat tidak ada penghayatan seni, pembangunan perfileman negara ini dilihat sebagai memajukan sebuah kilang. Tanpa menanamkan penghayatan seni, filem tempatan dikejutkan pula oleh taraf industri yang sememangnya jangkauan yang cukup jauh untuk dicapai.
Karyawan filem perlu meneruskan survival mereka. Selepas Finas dan Filem Negara Malaysia (FNM) diswastakan tidak lama lagi, ini membayangkan pembangunan seni filem bukan lagi agenda penting untuk melangkah alaf baru.
Kalau atlet negara diberi program khas untuk misi mencatat nama negara di peringkat dunia, apakah yang dilakukan oleh karyawan filem tidak membawa maksud yang sama?
Kesukaran Khalid Salleh menyiram kegersangan 41 tahun selepas P. Ramlee sekali gus mengatakan Malaysia ada pelakon terbaik tidak ada bezanya dengan atlet untuk memburu pingat emas di temasya sukan antarabangsa.
Katakan bila lagi untuk kali kedua, pengarah, filem atau pelakon tempatan muncul sebagai terbaik di luar negara? Kalau birokrat jujur untuk mengubah persepsi masyarakat, mereka perlu mengakui kedangkalan mereka menghayati seni.
Oleh : Ku Seman Ku Hussain
Sumber : Utusan Online 22/12/1998
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |