![]() |
Rencana Article |
. | . |
Hang Jebat arahan Hussein Haniff antara sejumlah kecil filem Melayu yang masih hidup dan relevan sepanjang zaman. Sebenarnya tidak banyak filem Melayu yang mempunyai jangka hayat sepanjang Jebat yang relevan dalam semua zaman dan sentiasa segar menyampaikan kritik sosial.
Filem Melayu kerap kali mati selepas dikeluarkan dari pawagam. Apabila ditayangkan di TV, ia terus terpisah dengan masyarakat. Kecuali kepada mereka yang menonton untuk mengembalikan nostalgia lampau.
Atau diingat hanya apabila pelakon lelaki dan wanitanya mencipta kontroversi yang tidak ada kena mengena dengan dunia kesenimanan mereka. Kahwin, cerai, skandal, menjadi pengusaha salun atau butik.
Selepas itu ia terus terpisah dari premis sosial dan politik dan tidak dapat berdiri sebagai karya yang boleh ''dibaca'' oleh semua zaman.
Hang Jebat yang ditayangkan di TV3 Selasa lalu boleh dilihat dan dibaca dari sudut yang pelbagai. Filem ini tetap evergreen. Tetapi bukan evergreen dalam konteks filem-filem popular P. Ramlee. Hang Jebat diingat bukan kerana sifatnya yang nostalgik tetapi isu yang dikemukakan relevan dengan semua zaman.
Filem yang dikelaskan antara filem Melayu terbaik ini sentiasa mengingatkan dan terus mengingatkan manusia pada semua zaman.
Kalau diukur pada usia, Hang Jebat memang telah terpisah jauh oleh zaman. Apa lagi ia bercerita tentang zaman yang hanya terlukis dalam Hikayat Hang Tuah dan diterbitkan pada 1960 iaitu saat-saat terakhir kegemilangan Jalan Ampas.
Tetapi jangan lupa, kebijaksanaan silam boleh dimanfaat dan ditelaah sepanjang masa. Malah Hang Jebat dianggap sebagai memadam hasil buruk filem Hang Tuah arahan Phandi Majundar yang telah meng'india'kan Hikayat Hang Tuah.
Hang Jebat dijayakan oleh pelakon hebat Nordin Ahmad (sebagai pelakon dia kerap mengatasi P. Ramlee), M. Amin dan Mahmud June.
Rebellious Jebat sebenarnya ada pertalian dengan watak Hussein Haniff dan lanjutan gerakan kebangkitan kalangan seniman pada dekad 50-an yang melahirkan Angkatan Sasterawan 50-an (Asas 50). Selain perjuangan menuntut kemerdekaan, ini dekad penting sebagai titik tolak baru reformasi keadilan sosial.
Naskhah Hang Jebat tulisan Ali Aziz dalam konteks kita adalah Hamlet atau Ceaser karya Shakespeare kerana sarat dengan political statement. Hamlet atau Ceaser bercakap tentang intrig politik yang sejagat sifatnya. Selepas lebih 200 tahun Shakespeare meninggal dunia, kedua-dua karya ini terus relevan dengan manusia.
Hang Jebat di tangan Hussein Haniff tidak hanya bersandar kepada mitos menjunjung ''titah tuanku'' tetapi reformasi awal umat Melayu terhadap institusi yang menaungi rakyat.
Siapa yang berani memulakan kerja mulia, sekalipun dianggap oleh Hang Tuah sebagai derhaka, untuk mencari keadilan sosial kalau bukan Jebat.
Sebenarnya bukan pada zaman Melaka sahaja ketaksuban kepada pemimpin telah sewenang-wenang membelakangkan keadilan sosial. Malah terus berlanjutan dan keadilan sosial terus dicari makna yang sebaiknya.
Siapa yang meletakkan semula Hang Tuah dalam kerajaan Melaka kalau bukan reformasi Jebat. Ada juga pandangan mengata Hang Tuah bukan menyelamatkan sultan tetapi institusi yang menaungi rakyat.
Walau apapun percaturan politik berlatarkan istana dan kekuatan filemik dengan light and shadow yang kontras menjadikan filem ini cukup bermakna dan ia terus dicari maknanya.
Mengikut Hikayat Hang Tuah, Pateh Karma Wijaya adalah watak penting yang harus dibaca subtexts setiap gerak-geri atau kata-katanya. Dalam Hang Jebat, Pateh Karma Wijaya melampaui Mahmud June yang menghidupkan watak itu dengan jayanya.
Hang Jebat sebenarnya memberikan banyak kiasan tentang intrig politik. Hang Tuah kecundang kerana fitnah dan Jebat kecundang kerana melanggar adat. Ini sebahagian daripada hukum hakam politik. Malah ia juga mengingatkan persaudaraan boleh terputus bila-bila masa sahaja apabila berada dalam ideologi yang berbeza.
Buktinya Tuah, Jebat, Lekir, Lekiu dan Kasturi akrab sebelum mereka terseret dalam percaturan politik di istana.
Hussein Haniff melihat kejujuran bukanlah tempat sebaiknya dalam politik. Pateh Karma Wijaya misalnya menggunakan kejujuran Tuah untuk mendapat perhatian sultan seterusnya landasan untuk menjadi laksamana.
Jebat mengingatkan, apabila Tuah dan Jebat, dua pembesar negara yang sama-sama berpengaruh bertelagah, yang menjadi mangsa adalah rakyat jelata. Pertelagahan itu untuk siapa sebenarnya?
Oleh : Ku Seman Ku Hussain (kuseman@pc.jaring.my)
Sumber : Utusan Online 27/8/1998
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |