Rencana
Article
. .

Hishamuddin filem mencerminkan watak

Menurut auteur theory, filem adalah ekspresi personal seorang pengarah filem. Filem seumpama novel yang menjadi cermin untuk melihat perwatakan, pemikiran dan ideologi pengarangnya.

Filem adalah idealisme pengarah. Ia tidak dapat dipisahkan daripada pemikiran dan ideologi pengarah sekalipun menghasilkan filem yang berbeza-beza temanya.

Pengarah mengikut perspektif auteur theory, memberi warna dan menerajui segenap aspek filem yang ditanganinya. Biarpun menghasilkan filem sering dianggap berkarya secara kolektif tetapi wajah dan pemikiran filem berkenaan adalah pengarahnya.

Kalau auteur theory dapat digunakan untuk melihat pemikiran dan ideologi Hishamuddin Rais, barangkali filem pertamanya, Dari Jemapoh Ke Manchestee boleh memberikan jawapannya.

Ketika desas-desus Hishamuddin akan membuat filem Melayu, ada yang beranggapan filem aktivis pelajar tahun 70-an ini pasti sebuah filem yang sarat dengan agenda politik, tegang dan radikal. Filem ini dibuat secara senyap; tanpa publisiti, gembar-gembur atau kontroversi pelakon lelaki dan wanitanya.

Dari Jemapoh Ke Manchestee kini telah siap dan menyertai beberapa festival peringkat antarabangsa. Antaranya Festival Filem Antarabangsa Singapura dan tayangan khas di Muzium Filem Munich di Jerman.

Sabtu lalu Hishamuddin ditahan kerana dikatakan terlibat dalam rusuhan paling buruk sejak 30 tahun lalu di Kuala Lumpur. Berita ini tentunya menggemparkan dunia perfileman tempatan terutama generasi muda filem Melayu di mana Hishamuddin salah seorang daripadanya.

Bagaimanapun keesokannya Hishamuddin dibebaskan oleh polis dan dia menafikan terlibat dalam rusuhan itu. Lebih dua dekad lalu pada tahun 1974, Hishamuddin adalah aktivis pelajar yang mengepalai tunjuk perasaan di Universiti Malaya.

Ekoran tunjuk perasaan itu, Hishamuddin melarikan diri ke luar negara selama 20 tahun dan pulang ke negara ini pada 1994.

Hishamuddin kembali dengan ilmu perfileman dan fotografi dan kini melibatkan diri secara serius dalam hal-hal perfileman.

Sejarah telah memberikan watak yang tersendiri kepada Hishamuddin. Tetapi dia tidak pernah bercakap tentang politik sejak kembali ke negara ini empat tahun lalu. Sebaliknya dikenali sebagai panel forum atau pembentang kertas kerja filem yang petah berhujah dan mengingati sekian banyak judul filem dan fakta-fakta lain untuk menyokong hujahnya.

Ketika menonton Dari Jemapoh Ke Manchestee dalam satu sesi perbincangan di Singapura Julai lalu, filem itu ternyata tidak mengheret perwatakan Hishamuddin semasa zaman remajanya.

Filem Dari Jemapoh Ke Manchestee boleh dianggap cermin untuk mengenali perwatakan dan ideologi Hishamuddin ketika ini. Filem ini tidak perlu dibimbangi nilai-nilai sosial atau politik yang ekstrem.

Dari Jemapoh Ke Manchestee filem yang berkonsep road movie ini menyentuh mengenai idealisme dan perspektif anak-anak muda tentang kehidupan. Ia digerakkan oleh elemen perubahan; dari satu tempat ke satu tempat, dari satu peristiwa ke satu peristiwa dan daripada satu tahap pemikiran kepada satu tahap yang lebih luas.

Filem ini boleh memberi rangsangan kepada generasi muda untuk mencuba sesuatu bagi mengubah hidup. Dari Jemepoh Ke Manchestee yang diiringi humor, elemen muzik dan perubahan ideologi watak apabila terdedah kepada dunia yang luas tentunya boleh dilihat sebagai wadah pembina pemikiran anak-anak muda.

Kisah tiga budak kampung di Jemapoh, Negeri Sembilan yang bercita-cita menyaksikan perlawanan bola sepak di Manchester oleh pasukan Manchester United. Mereka ini yang sebenarnya tidak tahu di mana Manchester, memilih kereta Volvo antik untuk pergi ke Manchester.

Filem ini mengingatkan kita kepada Easy Rider (1969) arahan Dennis Hopper. Tetapi Dennis Hopper sarat dengan politikal dan kritikan sosialnya. Hishamuddin tidak seperti Dennis Hopper, sebaliknya mengambil pendekatan yang lebih lembut; humor, muzik dan tanpa tragedi.

Bagi filem genre road movie, landskap yang direntasi oleh watak-watak tidak sekadar imej kaku sebaliknya metafora yang memberikan kesan tersendiri terhadap ideologi, sosial dan budaya.

Dari Jemapoh Ke Manchestee mengemukakan kehidupan alam anak muda yang cukup harmoni. Selalunya filem tempatan mengambil motosikal sebagai ikon remaja. Dan motosikal juga mencetuskan krisis sosial, pergaduhan dan pergaulan bebas.

Tetapi Hishamuddin memberikan makna yang lain terhadap ikon remaja ini. Motosikal menjadi imej keakraban remaja dan simbol kebebasan yang dimanifestasikan dengan bergerak ke sana ke mari.

Tetapi malang sekali filem ini belum lagi menemui penonton tempatan. Tentunya ini menu yang berbeza kerana filem remaja tempatan paling sedikit bercakap tentang idealisme dan meneruskan hidup yang harmoni.

Dari Jemapoh Ke Manchestee yang dipilih menyertai Festival Filem Antarabangsa Stockholm, Sweden ini adalah antara 12 filem dari Asia. Hishamuddin turut menyumbang menaikkan nama negara.

Oleh : Ku Seman Ku Hussain
Sumber : Utusan Online 29/10/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000