Rencana
Article
. .

Isteri Datuk Berkereta Merah... bergolak dalam sepi

Dr Anuar Nor Arai telah menemui gaya pengarahannya. Bermula dengan Johnny Bikin Filem, Sungai Lembing dan Lalang-Lalang Di Hujung Kaki, konsep, gaya dan subjek dalam karyanya kelihatan semakin jelas.

Dia mengguna kamera untuk menyelongkar krisis dan konflik manusia, mengolah gerak dan mencipta latar artistik yang teliti. Bahasanya adalah imej yang diolah dari realiti kaku kepada metafora yang indah lagi bermakna.

Kini Dr Anuar mengemukakan drama Isteri Datuk Berkereta Merah sebagai kelangsungan gaya dan konsepnya dalam pengarahan. Drama ini memperkukuhkan kehadiran Dr Anuar dalam bidang pengarahan kian ketara.

Bagi penonton, cuma drama Sungai Lembing sahaja yang sampai kepada mereka. Lalang-Lalang Di Hujung Kaki yang puitis akan ditayangkan di RTM tidak lama lagi. Filem Johnny Bikin Filem tersangkut bukan tetapi bukan kerana kemarau kreatif. Sebaliknya disebabkan hal-hal lain yang tidak boleh dijadikan ukuran ketidakhadiran filem ini di tengah khalayak.

Semua drama dan filem arahan Dr Anuar memperlihatkan konsep sinematografi yang unik dan artistik. Kerana itu naratif bagi Dr Anuar bukan lagi kata-kata dari teks yang dipindah secara total ke layar TV.

Banyak adegan dalam drama ini sepi daripada hamburan kata-kata. Watak-watak bertelagah dalam diam. Tetapi sepi ini diriuhkan oleh pelakon yang bermain dengan wataknya, pengarah dengan konsep sinematografinya.

Bahasanya bahasa imej. Warna dan bayang sebagai pengantara yang memperkuatkan peranan kerja kamera mengungkapkan subjeknya.

Isteri Datuk Berkereta Merah drama tiga episod yang mengemukakan subjek biasa tetapi diberi pengolahan, pendekatan dan gaya yang berbeza.

Setelah sekian lama penonton TV dihidangkan dengan drama-drama yang sebenarnya memperkecilkan mereka, Isteri Datuk Berkereta Merah barangkali menu segar daripada resepi kreatif yang sedikit berbeza.

Drama ini segar bukanlah hanya kerana ceritanya. Yang menarik ialah persembahan sinematografi yang banyak membawa penonton menyusuri dan memyelami krisis watak-watak.

Dr Anuar memberi peluang kepada pelakon yang diyakini untuk mengangkat krisis ini kepada penonton. Mereka ialah Khatijah Ibrahim, Zack Idris dan penyair Sutung Umar RS.

Drama Melayu di TV selalunya menggambarkan krisis antara watak-watak dengan aksi-aksi yang dilebih-lebihkan. Antara kegemaran pengarah drama tempatan ialah adegan pertelagahan yang ''sangat'' dramatik dan penuh dengan lontaran kata-kata.

Isteri Datuk Berkereta Merah mengenai seorang wanita bergelar Datin meminati teater dan menerbitkan drama. Suaminya seorang Datuk membuat hubungan dengan wanita lain. Datin pula berkrisis dalam jiwanya apabila seorang pengarah muda lebih memahami dirinya.

Isteri Datuk Berkereta Merah adalah tentang dunia di belakang kamera yang banyak dibuat sebelum ini. Malangnya terlalu sedikit yang mendekati isu dan persoalan di luar kerangka stereotaip.

Kerana itu watak, pertelagahan dan skandal menjadi kontang dan tidak bermaya. Dr Anuar mengambil pendekatan yang berbeza terhadap isu yang sama. Dia memilih mendekati hal-hal yang ada nilai manusianya.

Skandal Datin dengan lelaki lain dan Datuk dengan wanita lain terasa kocakan dan krisisnya daripada ekspresi watak-watak, kerja kamera dan manipulasi cahaya serta bayang-bayangnya.

Sama seperti drama-drama arahan Dr Anuar yang lain, dia gemar pada adegan malam. Barangkali adegan begini memberi kesempatan untuk mencipta konsep lampu yang memberi mood kepada drama ini.

Malah Dr Anuar mengubah persepsi kebanyakan drama tempatan terhadap Kuala Lumpur. Kuala Lumpur yang bingit dan hiruk pikuk menjadi tenang dan damai di tangan Dr Anuar.

Tentunya tidak adil kalau membandingkan drama ini dengan drama yang mengambil pendekatan popular, stereotaip dan pudar persembahan kreatifnya. Drama yang baik bukan diukur pantas atau tidak pergerakannya. Drama yang baik adalah yang mampu menusuk jiwa sekalipun tanpa kata-kata yang berjela.

Oleh : Ku Seman Ku Hussain
Sumber : Utusan Online 21/6/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000