![]() |
Rencana Article |
. | . |
Apakah ada bezanya antara intrig di gelanggang politik dengan
gelanggang laga lembu? Kedua-dua memerlukan apa sahaja strategi untuk menewaskan lawan.
Kedua-dua gelanggang ini berantakan antara curiga dan dendam.
Malah kedua-dua mempunyai matlamat yang satu; memburu kemenangan yang menjanjikan imbuhan. Dunia tok jogho (dialek Kelantan untuk juara) adalah gelanggang dan lembu. Dia diajar pandai membaca bahasa lembu kerana lembu itu kemenangan dan kekalahan.
Jogho filem terbaru U-Wei Haji Saari sebuah metafora politik yang memberangsangkan. Ia mengalihkan perhatian untuk melihat sebuah dunia yang unik di mana dendam, strategi dan curiga disatukan.
Filem ini melihat permasalahan politik Melayu yang terkeluar daripada lanskap politik Melayu Malaysia kepada Melayu yang terpinggir di Thai.
Filem ini sebuah adaptasi daripada novel Juara karya S. Othman Kelantan. Jogho dianggap sebuah filem adaptasi terbaik setakat ini kerana mengangkat persoalan politik daripada sebuah teks dengan permainan sinematik.
Dalam banyak adegan, U-Wei menggerakkan konflik dengan penggarapan visual. Watak-watak yang sejak awal filem ini sarat dengan dendam. Bumi yang kelihatan kering menghangatkan hutang maruah yang dimenterai di gelanggang lembu.
Pelakon-pelakon yang membantu U-Wei mengangkat jiwa masyarakat terpencil di Selatan Thai ini tidak lain Khalid Salleh (Mamat), Baharuddin Haji Omar (Lazim), Adlin Tompel (Sani), Isa (Wan Hanafi Su), Liza Rafar, Normah Damanhuri, Sabri Yunus dan Normala Omar.
Sebagai sebuah filem yang membawa persoalan perjuangan, idealisme dan tokoh kecundang di gelanggang, Jogho tidak bercerita kepada penonton. U-Wei menyampaikan sudut pandangan tentang Melayu, politik dan alam budaya mereka.
Jogho melontarkan persoalan, apakah Melayu itu ditentukan oleh warna kulit, politik, geografi atau budayanya? Selebihnya ini sebuah filem yang cukup provokatif tentang makna Melayu yang berpayung bendera yang berbeza.
Secara jujur, Jogho pasti bukan menu terbaik untuk majoriti penonton tempatan. Dengan struktur naratif yang menyongsang arus dan latar alam yang cukup daif, apakah yang menyelerakan penonton yang diasuh berhibur dengan filem?
Jogho berlatarkan masyarakat Melayu di selatan Thai yang kelihatan mundur tetapi masih akrab dengan sosio budaya silam. Dengan laga lembu, animisme dan keadilan di muncung senapang, filem ini cuba membawa pendekatan yang lain daripada kebiasaan.
Barangkali Jogho bukan sahaja mengajak penonton menonton filem tetapi pada masa yang sama membaca filem ini di luar konteks cerita. U-Wei memberi penekanan kepada metafora gelanggang, lembu dan Mamat jogho yang pernah tewas di gelanggang politik untuk menyingkap mesej politiknya.
Mesej politik filem ini ialah Mamat hanya berpindah gelangang daripada politik ke gelanggang laga lembu. Tetapi realitinya Mamat tetap dilingkong adat dan intrig sebuah gelanggang yang matlamatnya mencapai kemenangan dan mendapat imbuhan.
Kedua-duanya berisiko tinggi. Mamat bersedia untuk dijatuhkan dengan pelbagai cara. Dan dia tahu, kejujuran bukanlah tempatnya dalam kedua-dua gelanggang.
Gelanggang di mana dua ekor lembu bertarung bermati-matian tidak ada bezanya dengan dunia politik di mana rakyat selalu dijadikan jambatan mendapatkan sesuatu.
Apakah ini kelangsungan mesej politik U-Wei dalam Perempuan Isteri dan Jalang pada adegan kepala lembu di rostrom?
Filem ini dibuka dengan shot yang mewakili sudut pandangan orang luar menyorot masyarakat terpencil di selatan Thai. Ini mengingatkan point of view shot (P.O.V) pada pembukaan filem Perempuan, Isteri dan Jalang ketika perkahwinan Zaleha (Sofia Jane).
Jogho mengasak dengan ketegangan selepas pembunuhan Lazim (Baharuddin Haji Omar) di gelanggang lembu. Pembunuhan Lazim membakar dendam dan hutang darah yang dituntut oleh anak lelaki Lazim, Sani (Adlin).
U-Wei menutup buah tangannya kali ini dengan pesanan bahawa keadilan sentiasa menuntut korban. Dendam akan bertukar tangan dan politik terus dengan agenda seterusnya. Perjuangan? Bukan di sini tempatnya.
Oleh : Ku Seman Ku Hussain
Sumber : Utusan Online 7/4/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |