![]() |
Rencana Article |
. | . |
Jangan terkejut kalau ada penerbit secara jujur berkata, mereka tidak mahu membuat filem bermutu. Sebaliknya memilih membuat filem remaja atau filem komedi. Alasannya filem ini menjanjikan pulangan dan ada peluang mencatatkan kutipan besar box office.
Istilah ''filem bermutu'' bagi sesetengah orang adalah suatu yang cukup menakutkan. Filem yang bermutu pada definisi masyarakat perfileman tempatan adalah filem yang ''syok sendiri''. Dalam kata lain filem yang tidak mempunyai jangka hayat yang lama di pawagam.
Filem bermutu selalu dirujuk kepada filem berjaya di festival filem. Filem ini pula kebetulan kebanyakkannya gagal membuat kutipan yang memuaskan di pawagam. Lalu istilah ''filem bermutu'' adalah filem yang hanya mendapat pujian tetapi merugikan. Inilah yang difahami oleh kebanyakkan orang termasuk karyawan filem sendiri.
Untuk mengambil jalan selamat, mereka akan membuat filem bercorak remaja atau filem komedi kerana ada nilai di pasaran tetapi tidak mendekati ''filem bermutu''.
Apabila ada beberapa filem bercorak remaja dan komedi mendapat sambutan, maka filem jenis ini bukanlah filem bermutu atau tidak perlu mengambil endah tentang mutu.
Persoalannya apakah filem komedi atau filem bercorak remaja tidak perlu dikerjakan dengan matlamat mencapai mutu yang tinggi? Apa kena mengena mutu filem dengan genre atau jenis filem yang mahu dipaparkan kepada penonton?
Benarkah filem komedi atau filem remaja tidak bermutu? Atau adakah hanya filem yang membawa pendekatan drama berat sahaja yang bermutu? Malah ada pula yang memilih membuat filem komedi berbanding filem ''serius''.
Bagaimana bentuknya filem yang dikategorikan sebagai ''serius'' dan ''tidak serius''? Inilah antara kekeliruan dalam masyarakat perfileman tempatan.
Komedi atau remaja sebenarnya adalah genre filem yang tidak kena mengenal sama ada bermutu atau tidak. Kalau dibuat secara sambil lewa, filem itu tidak bermutu. Sama dengan filem yang membawa persoalan berat atau epik tetap tidak bermutu kalau tidak memberi penekanan kepada aspek mutu.
Filem bermutu sebelum ini dirujuk kepada filem-filem arahan Rahim Razali yang selalu menang di festival filem tetapi kecundang di pawagam. Sejak akhir-akhir ini pula filem bermutu dirujuk pula pada filem-filem arahan U-Wei Saari, Mahadi J. Murat dan Adman Salleh.
Kekeliruan ini perlu diperbetulkan sekalipun tidak memberikan kesan yang besar kepada industri filem. Kerana filem bermutu ditafsirkan sebagai filem yang hanya membawa pendekatan yang berat maka orang semakin takut untuk membuat filem bermutu.
Ini adalah satu yang songsang kerana dalam apa bidang sekalipun, secara semula jadi manusia mementingkan mutu. Bagi pengkarya pula matlamatnya adalah mutu yang tertinggi yang mampu dihasilkan.
Kalau dibiarkan ada fahaman yang antifilem-filem bermutu, ini suatu keanihan yang merugikan. Malah nanti banyak pula yang berusaha untuk membuat filem ''tidak bermutu'' kerana dengan cara itu filem mereka akan berjaya di pawagam.
Sama juga dengan istilah ''filem serius'' yang tidak kurang memeningkan. Daripada yang difahami, filem serius adalah bukan tergolong dalam genre komedi kerana bagi mereka komedi adalah filem ''tidak serius''.
Istilah filem serius sebenarnya tidak ada dalam mana-mana sekolah pengajian filem. Sebaliknya serius dalam filem hanya dikaitkan dengan sikap semasa mengerjakan sesebuah filem.
Belum ada lagi filem yang jenis serius. Tetapi ada filem yang dikerjakan secara serius. Dari peringkat mengarah, berlakon, menulis skrip atau menerbitkan filem, semua dilakukan dengan serius.
Semua genre filem menuntut kesungguhan mengerjakan sesuatu. Sekalipun kekeliruan definisi dan istilah ini tidak memudaratkan tetapi setelah industri filem khabarnya mahu melangkah ke dunia global, menggunakan istilah yang tepat tentu lebih bermakna.
Ini sekali gus memberitahu khalayak bahawa ada filem komedi yang memperkatakan isu-isu yang berat dan bukan sekadar ketawa kosong untuk disukat jumlah penontonnya.
Semua jenis filem mempunyai peluang untuk diisi dengan hujah-hujah sama ada yang berat, ringan atau kosong. Jangan takut untuk mengerjakan sesuatu dengan ''serius''.
Penulis : Ku Seman Ku Hussain (kuseman@pc.jaring.my)
Sumber : Utusan Online 3/10/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |