Rencana
Article
. .

Mencari kesinambungan layar lara

Layar Lara dan Kaki Bakar bukanlah filem yang menjadi bualan hangat dalam mainstream filem Melayu. Malah kedua-dua filem ini tidak menjadi bahan sensasi kerana tidak ada yang boleh disensasikan.

Ini adalah antara sejumlah kecil filem Melayu yang tidak diyakini boleh mendaulatkan bangsa dan negara ini oleh banyak pihak. Tetapi filem-filem begini terus mendapat keyakinan daripada golongan minoriti termasuk pengkritik yang percaya boleh mengangkat martabat filem Melayu.

Malangnya pandangan ini kurang disenangi malah dianggap tidak realistik dengan tuntutan komersialisme yang menentukan hayat filem dan pembikinnya.

Baru-baru ini Layar Lara menjulang nama negara apabila pengarah Shuhaimi Baba memenangi kategori Pengarah Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Brussels. Ini kejayaan kedua bagi negara setelah Kaki Bakar arahan U-Wei Saari memenangi Filem Terbaik dua tahun lalu di festival yang sama.

Bagi sesetengah pihak, kejayaan Shuhaimi ataupun U-Wei di Brussels tidak ada suatu yang luar biasa. Layar Lara adalah filem yang gagal disenaraikan sebagai sepuluh filem terbaik Festival Filem dan TV Asia Timur di Pulau Pinang. Dan Kaki Bakar ditolak oleh stesen TV kerana ''tidak bermutu''.

Barangkali untuk mencapai kejayaan di festival yang lebih berprestij, ukurannya adalah karya yang ditolak daripada kayu ukur tempatan.

Apa yang istimewa kejayaan Layar Lara atau Kaki Bakar di Brussel? Hadiah wang tunainya jauh lebih kecil dari Anugerah Skrin TV3 atau Festival Filem Malaysia (FFM).

Tetapi kemenangan yang dicatatkan oleh Shuhaimi dan U-Wei di persada antarabangsa tidak wajar dilihat semudah itu. Laluan mereka yang penuh ranjau itu antara lain untuk memperlihatkan kepada dunia tentang jati diri yang semakin hilang daripada pembikin filem kita.

Festival di Brussels antara yang berprestij dan mempertemukan banyak pembikin filem bebas antarabangsa. Difahamkan tahun ini Festival Filem Antarabangsa Brussels disertai oleh 200 filem dari seluruh dunia.

Pertemuan pembikin filem ini merupakan antara agenda penting untuk melihat tahap dan kekuatan filem-filem bebas yang tidak dinaungi oleh studio-studio gergasi di Amerika Syarikat.

Dalam kemalapan dan kedaifan minda filem Melayu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kejayaan Shuhaimi menerusi Layar Lara adalah penawar yang paling mujarab untuk memberi tafsiran baru terhadap istilah ''kejayaan'' dalam konteks filem Melayu.

Layar Lara kalau dilihat daripada industri dan masyarakatnya adalah sebuah filem kecil yang mempunyai keyakinan luar biasa untuk membukti kemampuan. Banyak filem yang menyertai festival ini didukung oleh industri dalam taraf minda yang berbeza daripada kita.

Malah di negara sendiri Layar Lara terlalu kecil dalam kayu ukur ''kejayaan'' yang telah sekian lama dipakai. Layar Lara dikatakan tidak menepati selera penonton yang menentukan kejayaan filem Melayu di Malaysia.

Kejayaan Shuhaimi atau U-Wei di luar negara yang membuktikan kepada dunia bahawa negara ini mempunyai filem. Tentulah yang ada nilai tempatannya. Sekali lagi filem menjadi duta kecil untuk mengangkat maruah negara di persada antarabangsa.

Anugerah Pengarah Terbaik bagi Shuhaimi dan Filem Terbaik bagi Kaki Bakar wajar menjadi ukuran untuk melihat kembali tafsiran kejayaan dalam konteks kita. Kejayaan di Brussels misalnya juga wajar menjadi ukuran kejayaan yang boleh dipakai di negara ini.

Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh U-Wei dan Shuhaimi adalah kejayaan paling besar dalam sejarah filem Melayu yang berusia enam dekad ini. Secara jujur, generasi baru filem Melayu telah menyambung kejayaan P. Ramlee di peringkat Asia.

Tetapi yang menjadi persoalan sekarang apakah kecemerlangan di Brussels ini ada kesinambungannya? Filem Melayu telah tercatat di peta filem antarabangsa. Tetapi untuk mencari Kaki Bakar atau Layar Lara yang kedua, ketiga dan seterusnya dalam industri filem tempatan adalah suatu yang menyulitkan. Banyak yang tidak berminat untuk berjaya cara ini.

Kecenderongan yang keterlaluan untuk menepati selera penonton tanpa memikirkan mutu yang selayaknya pasti membantutkan laluan yang telah dirintis. Filem-filem kita yang ada di pawagam-pawagam ketika ini terlalu berat untuk dipertanggungjawabkan meneruskan kejayaan.

Shuhaimi atau Layar Lara pasti sendirian lagi. Pembikin filem kini lebih banyak bercakap tentang teori dan formula mereka untuk memancing penonton. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan penonton suka dan kejayaan Shuhaimi pasti tidak memberi makna kepada pembikin filem jenis ini. Mungkinkah Layar Lara ada kesinambungannya?

Oleh : Ku Seman Ku Hussain
Sumber : Utusan Online 13/11/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000