![]() |
Rencana Article |
. | . |
Hubungan intim antara bidang kesusasteraan dan pembangunan filem dan teater tempatan seharusnya tidak mencurigakan. Malah antara dua bidang ini perlu saling memanfaatkan untuk mengangkat penghayatan seni kepada khalayak.
Masyarakat kita sebenarnya bukan baru menerima adaptasi sebagai sebahagian daripada persembahan di filem atau teater. Lihat sahaja bagaimana meriahnya penonton menerima filem Jula Juli Bintang Tujuh yang diadaptasi dari bangsawan.
Begitu juga dengan adaptasi cerita rakyat antaranya Tanggang, Badang dan Batu Belah Batu Bertangkup yang diangkat sebagai karya filem. Maknanya adaptasi telah lama bermula dan khalayak dapat menerima perbezaan antara gambaran lisan cerita rakyat dan imej di filem. Sekalipun tujuan membawa cerita bangsawan ke filem kerana strategi pemasaran untuk menarik penonton ke pawagam, tetapi ini bibit-bibit awal bagaimana sebuah karya dilihat dan dikemukakan dalam pendekatan yang berbeza.
Adaptasi perlu lebih menonjol untuk melihat persepsi yang berbeza daripada sumber yang sama. Seorang pengarah filem atau pengarah teater melihat karya sastera daripada persepsi yang berbeza daripada sasterawan. Tetapi perbezaan ini bukanlah halangan untuk menjalin hubungan intim sekalipun ada orang berkata, adaptasi tidak wujud tanpa pertentangan. Antara novelis, penulis skrip adaptasi dan pengarah pasti berlaku pertentangan yang pastinya melahirkan sebuah karya baru yang lebih segar.
Dalam konteks ini kita perlu melupakan ekstremnya Fassbinder semasa mengadaptasi Berlin Alexanderplatz (1980) karya Alfred Doblin menjadi filem yang durasinya 16 jam.
Tetapi perlu melihat bagaimana pengarah Taiwan, Ang Lee mengadaptasikan novel klasik karya Jane Austen, Sense and Sensibility menjadi filem yang diadun cita rasa Timur dan Baratnya. Ang Lee bukan sahaja perlu menghayati budaya British yang melingkari karya Jane Austen malah berkemampuan persepsi baru terhadap novel berkenaan.
Kerana itu adaptasi bukan satu proses menyalin atau memindahkan dari teks ke medium visual tetapi karya baru yang menuntut keterlibatan ilmu, pemikiran dan tanggungjawab. Apabila Marzuki Ali mengadaptasi Macbeth karya Shakespeare menjadi teater Makbeh dan kemudian Julius Caeser dalam senario budaya Sarawak, ia seharusnya menjadi perangsang untuk menghasilkan banyak lagi karya adaptasi.
Marzuki menjadikan Makbeh sebuah karya baru yang berlatarkan Sarawak dari aspek geografi, budaya dan manusianya sekalipun sumber asalnya bari Barat.
Khabarnya Marzuki kini dalam proses mengadaptasi naskhah popular karya Shakespeare, Hamlet dalam senario budaya Orang Asli di negara ini. Memang suatu yang cukup sukar untuk meletakkan Hamlet dalam situasi Orang Asli tetapi inilah manisnya berkarya sambil menimba ilmu.
Adaptasi adalah pertentangan yang berlaku dalam pemikiran antara penulis asal, penulis adaptasi dan pengarah yang akan membawa karya itu ke pentas atau filem. Adaptasi tidak berlaku tanpa pertentangan. Kerana itu jangan terlalu gusar kalau novelis mempunyai sudut pandangan tersendiri terhadap novel mereka. Novel Juara karya S. Othman Kelantan menjadi Jogho apabila difilemkan oleh U-Wei Haji Saari.
Jogho dan Juara masih sama dalam beberapa perbezaan dari aspek persepsi dan pendekatan antara dua medium seni itu. Tetapi semangat dan motif dalam Juara ada dalam Jogho.
U-Wei juga mahu menikmati cabaran mengadaptasi karya di luar budaya Melayu untuk dimelayukan secara menyakinkan. Dia mencuba dengan mengadaptasi karya klasik Greek oleh Euripides, The Bacchae menjadi Bakai. Kini dalam persiapan mengadaptasi novel Jerman, Fire Starter menjadi Main Api.
Kerana itu apabila RTM memperkenalkan slot Teater Novel beberapa tahun lalu, ia diharapkan menjadi landasan dan pemangkin kepada karya adaptasi khususnya dari novel ke TV secara lebih tertonjol dan berterusan.
Teater Novel memperlihatkan sesuatu yang menarik dan sewajarnya selepas 13 siri itu RTM memperlihatkan kesungguhan untuk menjadikan karya sastera sebagai sumber bagi drama-drama di TV.
Tambahan pula kita mempunyai sekian banyak novel yang sesuai untuk diadaptasi tetapi terus tersimpan kerana minat membaca karya-karya tempatan yang begitu rendah. Setidaknya novel-novel besar akan memberikan sedikit sumbangan apabila diangkat ke medium lain yang lebih popular dan berpengaruh.
Kita juga wajar belajar hasil daripada kesetiaan Jamil Sulong membawa novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad dan lantangnya Shahrom Mohd. Dom yang mengadaptasi Langit Petang karya A. Samad Said ke filem. Nampaknya setia dan curang perlu diwaraskan untuk mendapatkan karya adaptasi yang baik.
Oleh : Ku Seman Ku Hussain (kuseman@pc.jaring.my)
Sumber : Utusan Online 22/7/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |