Rencana
Article
. .

Mencari remaja dalam drama

Drama Basikalku terbitan TV3 12 tahun lalu nampaknya masih relevan dengan remaja hari ini. Basikalku menyingkap remaja golongan pelajar institusi pengajian tinggi lain daripada kebanyakan drama swasta yang memenuhi siaran TV ketika ini.

Arahan Adman Salleh dan skrip oleh Mansur Puteh sebuah drama yang mendekati remaja di luar tema cinta lapuk dan yang berbasa-basi.

Perwatakan dan peristiwa dalam drama ini tidak terlalu didramakan. Strukturnya mengambil pendekatan mudah sekalipun dunia remaja seringkali dianggap begitu kompleks. Malah pasti lebih kompleks apabila jatuh ke tangan pengarah drama swasta.

Barangkali ada yang masih ingat kegilaan luar biasa Sani (Zulkifli Ismail) kepada basikal dan dunia akademiknya. Basikalku mengemukakan Sani mewakili remaja yang punya cita-cita sekaligus mengisi dunia keremajaan dengan cara tersendiri.

Kalau dibandingkan dengan drama swasta yang berlatarkan dunia kampus sekarang, Basikalku lebih bertanggungjawab dan wajar dihormati. Remaja dalam drama itu hidup dan menyakinkan.

Tetapi mencari remaja dalam drama swasta sekarang cukup menyukarkan. Gambaran dan perwatakan serta mentaliti mereka memang mendukacitakan.

Saya sengaja mengimbaskan Basikalku, arahan pertama Adman semasa di TV3 kerana kini semacam ada satu sindrom menghasilkan drama tentang remaja di institusi pengajian tinggi.

Tetapi terlalu kurang usaha untuk menyingkap persoalan sebenar dunia remaja apa lagi lingkungan kampus. Lalu yang lahir hanya lapisan luar yang nipis tentang remaja.

Kerana itu persepsi drama terhadap remaja perlu diperbetulkan. Remaja perlu tampil selayaknya bukan diperemehkan dengan kerakusan pembikin drama mengisi peluang di TV.

Buktinya remaja yang muncul dalam drama swasta diperemehkan pemikiran dan cita-cita mereka. Pembikin drama swasta perlu keluar daripada tempurung lama untuk melihat remaja daripada kaca mata yang lebih adil.

Bayangkan apabila sebuah drama tentang pelajar di universiti yang hanya ke hulu dan ke hilir mengelek buku tetapi buah bicara mereka tentang teman lelaki dan wanita.

Dalam drama seperti itu, universiti hanya menjadi latar yang kaku. Latar itu sendiri memberikan situasi yang kontras dengan watak-watak yang keanak-anakan memburu kematangan.

Pelakon remaja yang tampil sebagai pelajar langsung hilang karisma. Barangkali drama itu sekadar mahu menampilkan remaja di kaca TV. Buktinya pemilihan mereka hanya kacak dan jelita. Tetapi kehadiran mereka tidak relevan dengan pergolakan dan cabaran daripada realiti sosial di luar drama.

Kehadiran remaja dalam filem maupun drama tempatan sekadar memenuhi tuntutan formula komersial kerana banyak menganggap penonton adalah kalangan remaja. Lalu cita-cita dan karisma mereka meredah keremajaan dan jarang ditonjol secara sewajarnya.

Sebenarnya banyak yang boleh disentuh tentang remaja selain mengaitkan mereka dengan persepsi yang stereotaip dan luaran. Isu remaja hari ini kalau dirujuk kepada drama swasta tidak lebih leka mencari hiburan dan berfoya-foya.

Remaja, mengikut kamus drama swasta sinonim dengan ros merah untuk kekasih, bergaduh di telefon dan bersiar-siar dengan motosikal. Ini termasuklah remaja kampus yang agenda akademik hanya digambarkan pada latar bilik kuliah.

Kata seorang pelajar tahun dua sebuah universiti tempatan; ''Mereka buat cerita dongeng tentang kami''. Pelajar ini kurang senang dengan siri mengisahkan gelagat pelajar sebuah institusi pengajian tinggi yang disifatkan sebagai ''bukan-bukan''.

Dan ini berterusan dengan sekian banyak drama bersiri yang hanya menambahkan lagi pandangan serong terhadap remaja. Drama swasta tidak mampu memikul tanggungjawab mengupas persoalan remaja tetapi sekadar memaparkan remaja.

Hal ini berlaku kerana isu remaja yang dibentangkan ketandusan isi. Sekaligus menjadikan drama swasta sebagai media untuk memoralkan dan mengajar remaja menempuh hidup.

Kerana itu walau apa pun label yang diberikan kepada pengarah kontroversi, Nasir Jani, dia setidak-tidaknya memberikan persepsi menarik tentang remaja menerusi filem Rozana Cinta 87. Tetapi filem ini tidak diingati kerana gagal mencatatkan box office.

Oleh : Ku Seman Ku Hussain
Sumber : Utusan Online 17/7/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000