![]() |
Rencana Article |
. | . |
Pernahkah kita bertanya sejauh mana filem yang dikategorikan sebagai filem remaja mampu memancarkan senario pemikiran, budaya dan cita-cita remaja?
Filem Titanic arahan James Cameron sebenarnya bukanlah sebuah filem remaja sekalipun menampilkan pelakon remaja, Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet.
Titanic sebuah filem tentang manusia dan paparan secara mudah tentang wujudnya kelas dalam sistem masyarakat di sepanjang zaman.
Bagaimana filem remaja yang bermaruah sebenarnya? Filem tentunya boleh dijadikan cermin untuk mengenal dan memahami remaja dan keremajaan mereka. Cukupkah dengan ada percintaan, ada lagu dan ada konsert rock sudah menepati definisi filem remaja?
Kalangan produser atau pengarah kerap memberi alasan bahawa sasaran filem mereka adalah golongan remaja. Kata mereka lagi, remaja adalah satu-satunya faktor yang menghidupkan industri filem di negara ini.
Tanpa remaja, filem Melayu telah lama hilang. Tanggapan ini barangkali ada benarnya. Lihat filem Jogho arahan U-Wei yang keluar daripada ciri-ciri filem remaja tempatan, berapa hari saja ia bertahan di pawagam?
Remaja Melayu muncul sebagai majoriti yang sanggup ke panggung untuk menonton filem Melayu. Tetapi mereka tidak menonton semua filem Melayu lebih-lebih lagi yang menuntut sedikit keterlibatan minda.
Kerana mempunyai sasaran untuk memikat penonton remaja, tidak hairanlah kalau banyak filem yang berorientasikan pasaran memilih tema yang kononnya berkaitan dengan remaja dan proses keremajaan. Maka terpaparlah sekian banyak filem menggarapkan kisah cinta dan tidak kurang juga yang melihat muzik sebagai obsesi remaja.
Alasan ini memang boleh dipakai kerana filem-filem tempatan yang mencatatkan kutipan memuaskan di panggung adalah filem tentang remaja. Sekalipun kurang jelas dan mendalam kupasan tentang remaja, setidak-tidaknya filem ini menampilkan pelakon yang dikelaskan sebagai idola remaja.
Kerana beberapa fakta di atas, filem remaja tidak boleh dipinggirkan. Disebabkan remaja yang menentukan pasaran filem dan filem yang menjadi teman dalam dunia keremajaan, filem yang menjurus dunia remaja perlukan kesungguhan.
Kerana pentingnya filem remaja dalam konteks pasaran hari ini, menghasilkan filem remaja tentulah bukan mudah bagi mengimbangi apa yang remaja beri kepada filem dan yang filem berikan kepada remaja.
Malangnya banyak filem yang mengambil mudah tentang remaja. Banyak yang menyuluh kehidupan dan alam remaja daripada lapisan luar yang nipis. Perlukisan watak dan kehidupan sosial remaja sering diragui kewajarannya.
Cuma beberapa filem yang kelihatan mendekati remaja daripada persepsi yang berbeza dan lebih realistik. Hatta Azad Khan misalnya menerusi Mat Som adaptasi komik karya Lat kelihatan bersungguh-sungguh mengemukakan remaja.
Gaya Hatta mendekati watak Mat Som (Imuda) wartawan sambilan sebuah akhbar di Kuala Lumpur berbeza dengan beberapa filem lain yang menyorot psikologi dan sosial remaja.
Tema kehidupan remaja dalam filem dianggap bermula dengan munculnya filem Rebel Without Cause (1955) arahan Nicholas Ray yang menampilkan pelakon remaja, James Dean dan Natalie Wood. Inilah titik mula di mana filem cuba menyusuri kehidupan dan obsesi remaja yang cukup unik.
Dengan Rebel Without Cause juga James Dean secara mendadak muncul sebagai idola remaja di serata dunia. Gaya dan fesyen James Dean merebak dengan pantas selepas Rebel Without Cause sekalipun filem ini dianggap sebagai ganas oleh sesetengah pengkritik.
Filem American Graffiti (1973) arahan George Lucas juga dianggap sebuah filem remaja yang menarik. Lucas pernah berkata bahawa American Graffiti tidak lebih sebuah nostalgianya melayari keremajaan di Amerika.
Namun Lucas membawa filem ini menyusuri impian dan tuntutan dunia remaja di Amerika dekad 60-an. American Graffiti realistik dengan selera dan mampu mengisi dunia impian remaja.
Golongan remaja yang berfikiran kritis tentunya menyoalkan kewajaran pemaparan watak-watak mereka dalam filem atau pun drama tempatan. Dunia dan obsesi mereka tidak didekati secara bersungguh-sungguh. Wajarkah mereka hanya disinonimkan dengan motosikal berkuasa besar, muzik atau gitar selain kegagalan cinta yang klise?
Remaja melihat dunia mereka yang berbeza apabila jatuh ke tangan pembikin-pembikin filem. Kehidupan mereka hanya dilihat pada lapisan luar tetapi kebanyakannya tidak mampu menyusur dunia remaja yang sebenar.
Dari Jemapoh Ke Manchestee arahan Hishamuddin Rais sebuah filem remaja yang bernada lain. Filem ini menyusuri keinginan remaja yang berani meredah cabaran untuk mencapai cita-cita.
Oleh : Ku Seman Ku Hussain (kuseman@pc.jaring.my)
Sumber : Utusan Online 23/9/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |