![]() |
Rencana Article |
. | . |
Layakkah P. Ramlee dianggap tokoh perfileman Melayu? Persoalan ini pernah mencetuskan kontroversi ketika bekas pensyarah filem Universiti Malaya, Dr. Anuar Nor Arai kembali ke tanah air pada awal 80-an dulu.
Dr. Anuar cuba berlaku jujur terhadap tokoh ini dengan membawa beberapa perbandingan dan jurus penilaiannya. Sebenarnya bukan mudah untuk menongkah arus ketika P. Ramlee diangkat berdasarkan nilai-nilai lain yang ada kesan sentimentalnya.
Untuk menilai P. Ramlee dalam perfileman, kita perlu melihat P. Ramlee secara berasingan antara keterampilan dia sebagai penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, pelakon dan pengarah filem. Kalau mahu menonjolkan P. Ramlee sebagai tokoh filem, kajian wajar menjurus terhadap P. Ramlee sebagai pengarah filem.
Tetapi menilai semula P. Ramlee dalam perfileman bukanlah menafikan dia sebagai seniman rakyat. P. Ramlee adalah seniman rakyat yang jarang-jarang dilahirkan di dunia.
Bakatnya dalam seni memang menakjubkan. Dia berdiri sebagai pelakon, pemuzik, penyanyi, pengarah dan pelawak. Tetapi untuk menonjolkan P. Ramlee sebagai tokoh perfileman Melayu, P. Ramlee hanya perlu diukur sekitar karya-karya filemnya.
Di negara luar juga mempunyai seniman mereka sendiri yang popular dikalangan masyarakat. Tetapi yang popular tidak bererti mempunyai ketokohan kecuali seniman berkenaan memiliki kedua-duanya sekali.
Perlu diingat bahawa P. Ramlee pernah mengarahkan filem terburuk iaitu Laksamana Do Re Mi semasa di Kuala Lumpur. Tetapi filem ini mencatatkan populariti yang tinggi.
Apakah kita boleh mengukur ketokohan Steven Spielberg (Jurassic Park) atau James Cameron (Titanic) dengan Orson Welles yang melahirkan Citizen Kane? Pada umumnya Citizen Kane dan Orson Welles tidak mampu mengatasi populariti Spielberg atau Cameron.
Tetapi para sarjana filem di dunia mengangkat Orson Welles dan filem Citizen Kane sebagai filem unggul pada abad ke-20. Kenapa tidak Titanic yang mencatat kutipan tertinggi pada abad yang sama?
Untuk berlaku adil kepada sejarah dan tamadun filem Melayu, karya P. Ramlee wajar ''dibaca semula'' bersama karya rakan-rakan dalam generasi pertama di Jalan Ampas. Nama-nama yang tidak wajar dipinggirkan tentulah Hussein Haniff, M. Amin dan Jamil Sulong.
Tentu tidak adil untuk melupakan kehadiran Jebat yang memperlihatkan karismatik Hussein sebagai penyunting yang menjadi pengarah. Untuk mencari tokoh, karya-karya begini perlu dipisahkan dari pengaruh populariti.
Bengkel Teori dan Biografi P. Ramlee anjuran Jabatan Media Universiti Malaya Sabtu lalu boleh dianggap sebagai perintis kepada usaha mencari tokoh perfileman Melayu.
Bengkel sempena bulan memperingati P. Ramlee ini membariskan panel yang mewakili dua generasi berbeza iaitu Aziz Sattar dan Datuk Abdullah Hussein yang mengenali peribadi P. Ramlee. Pensyarah filem Universiti Malaya Mahadi J. Murat, Adman Salleh dan Hassan Mutalib mewakili kalangan akademik dan karyawan generasi baru yang mengenali P. Ramlee menerusi filem-filemnya.
Untuk meletakkan P. Ramlee sebagai tokoh bagi dunia filem Melayu, kajian yang bersifat akademik tidak dapat diketepikan. Frasa klasik ''budak-budak pun minat P. Ramlee'' sesuai untuk membuktikan P. Ramlee sebagai seniman rakyat yang unik.
Mahadi mengesyorkan, usaha mengangkat ketokohan P. Ramlee sebagai legenda dalam perfileman Melayu wajar bertolak dari fakta dan perbandingan yang telus dengan rakan-rakan generasi pertama dulu.
Kata Mahadi, kajian ini perlu supaya jalur karya dalam filem-filem P. Ramlee untuk membolehkan ia dijadikan teori filem Melayu.
''Untuk menjadikan gelaran kepada P. Ramlee mempunyai nilai, kita perlu memisahkan antara populariti dengan kekuatan karya-karya filem P. Ramlee,'' ujar Mahadi.
Menurut Mahadi, populariti filem-filem P. Ramlee juga mempunyai hubungan dengan kecenderungan stesen TV yang banyak menyiarkan filem P. Ramlee berbanding karya pengarah yang lain.
Ini bermakna kalau stesen TV mengulang tayang filem Jebat dan Istana Berdarah arahan Hussein Haniff atau Cucu Datuk Merah arahan M. Amin, kemungkinan populariti yang serupa juga dimiliki oleh kedua pengarah ini.
Untuk generasi akan datang, pengarah yang layak dianggap tokoh dalam perfileman Melayu perlu lahir dari kajian yang terperinci. Masyarakat pula perlu terbuka kepada sudut pandangan yang analitikal terhadap seseorang tokoh.
Kata Adman, secara umum P. Ramlee telah mempengaruhi sudut pandangannya sebagai pengarah dalam Bintang Malam dan Amok. Dalam Bintang Malam, Adman meminjam satu adegan Sumpah Orang Minyak sebagai mengenang P. Ramlee.
Ini membuktikan generasi baru tidak menolak P. Ramlee yang diakui sebagai seniman rakyat. Tetapi pada masa yang sama Adman mengesyorkan untuk mencari tokoh perfileman Melayu, P. Ramlee wajar dibandingkan dengan pengarah seangkatan.
''Sebagai pengarah, saya mendapati Hussein Haniff lebih menguasai filemnya berbanding P. Ramlee,'' kata Adman yang memilih menonton Psycho ketika filem Sesudah Subuh ditayangkan tahun 1967.
Adman mengakui zaman remajanya diisi dengan estetika filem Barat apabila filem tempatan termasuk filem P. Ramlee di Kuala Lumpur semakin menurun mutunya. Bagaimanapun bagi Adman, P. Ramlee konsisten dari filem pertama Penarik Beca hingga Madu Tiga iaitu yang terakhir di Jalan Ampas.
Untuk mencari tokoh perfileman yang boleh dijadikan rujukan pembinaan tamadun filem Melayu, perlu diwujudkan pusat dialog dan membahaskan semua hasil karya generasi pertama dari sudut akademik.
Penglibatan para akademik penting untuk jangka panjang kerana persejagatan akan membuka generasi muda menggunakan kayu ukur yang bersifat akademik.
P. Ramlee tetap Seniman Agung. Kita cuma mencari tokoh perfileman Melayu. Tetapi bukan suatu yang luar biasa kalau seorang Seniman Agung tidak diangkat menjadi tokoh bagi tamadun seni filem tempatan.
Penulis : Ku Seman Ku Hussain (kuseman@pc.jaring.my)
Sumber : Utusan Online 27/6/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |