![]() |
Rencana Article |
. | . |
Pengarah U-Wei Haji Saari yakin filem terbarunya, Kelemahan Almayer akan menemui penonton pada alaf baru di tahun 2000. Sekalipun hanya tinggal tidak sampai sepuluh bulan sahaja lagi untuk meninggalkan 1999, tetapi dia percaya, Kelemahan Almayer dapat disiapkan mengikut jadual.
Kelemahan Almayer adalah adaptasi daripada novel klasik karya Joseph Conrad, Almayer's Folly (1890) yang berlatarkan negeri Sarawak. Pembikinan filem ini adalah usahasama tiga syarikat iaitu dari Belanda, Perancis dan syarikat Gambar Tanah Licin milik U-Wei.
Menurut U-Wei, filem yang dijangka menelan belanja lebih RM5 juta itu telah dirancang sejak lama dulu sebagai buah tangan melangkah ke alaf baru yang tentunya memberi kesan psikologikal kepada penonton.
Kata U-Wei, pihak di Belanda dan Perancis sekarang hanya menunggu olahan skrip yang terakhir daripadanya kerana aspek-aspek lain seperti kewangan telah dibereskan sebelum ini.
Bagaimanapun U-Wei menafikan, Kelemahan Almayer menjadi filem besar kerana menelan belanja yang tinggi sebaliknya lebih percaya isi kandungan dalam karya itu yang menyelak minda mendepani cabaran tahun 2000.
''Saya masih belum berpuas hati dengan skrip ini. Banyak kali telah diolah tetapi terasa masih belum masak sebaiknya,'' ujar U-Wei yang pernah mendapat geran RM1 juta daripada NHK Jepun bagi pembikinan filem Jogho.
Baru-baru ini U-Wei terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan mendapat kecederaan di muka serta tangan kanannya.
Bagaimanapun kata U-Wei pembikinan filem Kelemahan Almayer tidak akan terjejas dengan kejadian itu.
''Semuanya dah beransur pulih. Tetapi saya masih bergelut dengan skrip yang diadaptasi daripada novel Joseph Conrad,'' tegas U-Wei yang baru-baru ini tercetus kontroversi apabila mengkritik Syarat Wajib Tayang yang dikendalikan oleh Finas.
Menurutnya, Kelemahan Almayer dianggap filem penting dalam kariernya kerana pembikinannya lebih mencabar bukan sahaja terpaksa bekerja dengan pelakon-pelakon luar negara malah menyingkap pemikiran Joseph Conrad untuk dikemukakan dalam konteks semasa.
U-Wei menganggap, dia beruntung kerana mendapat kepercayaan daripada syarikat-syarikat besar di luar negara untuk menerbitkan filem tempatan. Penglibatan NHK Jepun dalam pembikinan Jogho serta dua syarikat dari Belanda dan Perancis untuk filem terbaru ini dianggap kepercayaan orang luar kepada karyawan tempatan.
''Tetapi saya lebih gembira kalau tajaan itu datangnya daripada syarikat tempatan,'' kata U-Wei yang telah menghasilkan filem Perempuan Isteri dan..., Black Widow, Kaki Bakar dan Jogho.
''Barangkali kalau ada tajaan daripada pihak tempatan, kita akan lebih kasih dan sayang kepada filem,'' jelas U-Wei yang mahu menghasilkan filem tempatan bukan filem Hollywood.
Sementara itu mengenai tayangan Jogho, U-Wei memberitahu, dia telah menghantar surat rayuan supaya filem itu dapat ditayangkan pada Mac ini menerusi Syarat Wajib Tayang.
''Finas mahu saya merayu, saya rayulah. Dah seminggu tetapi belum ada perkembangan. Saya hendak buat promosi pun susah kerana tarikhnya belum pasti,'' beritahu U-Wei.
Baru-baru ini tercetus kontroversi apabila Finas dikatakan tidak mahu mengambil tahu lagi tentang filem Jogho kerana kecewa dengan sikap U-Wei yang banyak kerenah. Difahamkan U-Wei telah dua kali menunda tarikh yang dipersetujui antara dia dengan Syarat Wajib Tayang.
Bagaimanapun menurut U-Wei, permintaan itu bukanlah terlalu besar sehingga tidak mampu dilaksanakan oleh Finas tambahan pula tidak banyak filem yang ada dalam senarai tayangan.
Oleh : Ku Seman Ku Hussain
Sumber : Utusan Online 19/2/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |