Rencana
Article
. .

Filmnet Cafe tayang filem artistik

Filmnet Cafe
AIDA MARIE menunjukkan Filmnet Cafe di Stonor Centre yang menjadi pusat bagi penggemar filem artistik.

Tidak semua peminat filem menggemari filem-filem popular malah banyak yang memilih filem-filem yang kaya dengan penataan artistik dengan latar budaya yang unik.

Tetapi di mana mereka boleh menonton filem-filem seperti ini kerana semua pawagam tempatan menayangkan filem-filem arus perdana dari dalam dan luar negara?

Filmnet Cafe adalah jawapan kepada peminat-peminat yang menggemari filem-filem tersebut yang tidak berpeluang menontonnya di pawagam biasa.

Lantaran itu Filmnet Cafe dianggap panggung alternatif yang memberi tumpuan kepada filem-filem bermutu dan artistik.

Sebagai sebuah kelab filem yang ditubuhkan sejak tahun 1997, The Filmnet Cafe berperanan memberi peluang kepada peminat filem tempatan mengenali filem-filem dari dalam dan luar negara yang terkeluar daripada arus perdana.

Filmnet Cafe yang terletak di No 3, Stonor Centre, Lorong Stonor off Persiaran Stonor, Kuala Lumpur ini telah menayangkan lebih 300 buah filem setahun.

Kelab yang dinaungi oleh The Stonor Centre ini bukan sahaja menyediakan tayangan filem malah membuka peluang meminjamkan filem-filem luar negara kepada ahli-ahli menerusi Friends Of Filmnet.

Koordinator Stonor Centre, Aida Marie Mohamad berkata, Filmnet Cafe adalah kelab yang khusus untuk para peminat filem yang menghargai filem-filem bermutu tempatan dan luar negara.

Aida memberitahu, yuran keahlian kelab filem itu hanya RM60 setahun dan RM50 bagi para pelajar untuk mendapat kemudahan yang disediakan di kelab tersebut.

Bagi mereka yang bukan ahli, Filmnet Cafe mengenakan bayaran RM5 untuk sekali menonton dan RM1 bagi minuman.

Katanya, bagi menyediakan kepelbagaian genre filem, kelab tersebut memfokus kepada sesebuah negara dengan menghidangkan filem-filem terbitan negara tersebut.

Aida memberitahu, untuk Julai ini, Filmnet Cafe menumpukan filem-filem dari Perancis. Sebanyak 12 judul filem disediakan seperti Retour de Martin Guerre, Un Coeur En Hiver dan Divertimento.

Sebelum ini, kelab tersebut memfokus kepada filem-filem sains fiksyen dengan tayangan filem seperti Metropolis, Fifth Element dan Space of The Sea.

Selain filem luar negara, The Filmnet Cafe turut memfokus kepada filem dan pengarah tempatan. Pada Ogos ini, kelab tersebut akan membawakan filem arahan U-Wei iaitu Isteri, Perempuan dan ... dan Layar Lara arahan Shuhaimi Baba.

Filem-filem luar negara tersebut adalah daripada koleksi peribadi pemilik kelab itu, Puvan Selvanathan.

''Kelab ini mengalu-alukan peminat filem yang menghargai filem, berfikiran terbuka serta tidak prejudis terhadap sesebuah filem yang ditayangkan,'' beritahu Aida.

Sehingga kini Filmnet Cafe telah mempunyai lebih 200 ahli yang terdiri daripada karyawan seni tempatan, penuntut serta pegawai kedutaan luar di Kuala Lumpur.

Katanya, sebagai memberi peluang kepada para ahli berkesempatan menonton kesemua filem tersebut, Filmnet Cafe mengadakan tayangan semula filem-filem berkenaan mengikut jadual yang ditentukan.

''Setiap hari, lebih 20 ahli akan datang menonton filem,'' katanya.

Selain menayangkan filem, kelab itu juga memberi peluang kepada karyawan tempatan untuk mempamerkan hasil seni mereka seperti fotografi, arca, lukisan dan sebagainya di ruang pameran di Stonor Centre.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai Filmnet Cafe, peminat filem boleh melayari laman web kelab ini iaitu website.www.filmnet.com.my atau e-mel : filmnet @ tmnet.my.

Oleh : Nor Asikin Hassan
Sumber : Utusan Online 14/7/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000